Isnin, 17 Ogos 2015

Macam-macam Ada di Pasar Kampung Buloh

Kebiasaannya bila sampai di Terengganu, terutamanya di Kuala Terengganu, Pasar Payang menjadi destinasi wajib. Memandangkan segala macam benda ada di Pasar Payang. Keropok, belacan, pakaian, barang dapur, telur penyu, sayur-sayur sampai lah ke kain sutera. Tapi kali ini aku ke Setiu. Jadi kawan aku ni bawa aku ke Pasar Kampung Buloh di Bandar Permaisuri. Kampung kawan yang bawa aku ni terletak di Bukit Putera. Jadinya aku pun tanya di mana Puyer ada, permaisuri ada, maka di mana rajanya? Kawan aku jawab, di Besut. Kampung Raja.

Tiba sudah di Pasar Buloh. Ain kawan aku ni terus bawa aku ke gerai jual ikan kering. Selalu Ain bawa pulut dengan ikan kering. Di sini rupanya ikan kering ni dijual. Istimewanya ikan kering ni adalah dibuang isiperutnya bersih. Ikan kegemaran rakan-rakan sekerja adalah ikan selar kuning dan ikan tamban. Ikan tamban pula ada dua jenis ada yang besar dan ada yang kecil. Ikan kering selar kuning tu harganya RM 30 sekilo. Memang sedap dimakan dengan nasi panas. Bertambah makan nanti.

Selain dari ikan kering aku selalu pesan nisan. Bukan batu nesan yer. Nisan ni ada dua saiz. ada yang bulat kecil ada yang bulat besar. Biasanya orang di belah pantai barat guna gula melaka. Mereka di sini guna nisan. Aku guna gula ni sebagai salah satu bahan ramuan jamu yang aku buat. Masa hari raya pun aku guna gula ni untuk makan dengan sagu mata ikan. Sedap. Hari ni tak ada pesan-pesan. Beli sendiri. Bila dah beli, penuh tangan dengan ikan masin. Jadi tinggal dulu digerai tu. Peniaganya pun baik dan ramah. Lagi pun Ain dan maknya memang pelanggan tetap gerai tu.

Bukan sahaja ikan kering yang ada di pasar ni. Macam pasar-pasar biasa ada juga dijual baju dan tudung. Harga di pasar ni sangat berpatutan. Salah satu gerai di sini ada menjual baju 
kurung kanak-kanak dengan harga semurah rm 20. Pilihan yang ada pun cantik-cantik semuanya. Jubah untuk kanak-kanak pun ada. Tapi tak ambil pula gambar gerai tu. Pak cik penjual baju pun sangat ramah. Kelihatan sangat kenal jenis-jenis kain yang dijualnya. Kawan aku Mami beli jugalah satu pasang baju untuk anak buahnya. Di gerai yang lain dia beli lagi 2 baju T. 
Dalam berjalan-jalan tu, aku teruja lihat pasar ni. Pasar ni sangat istimewa. Ada orang tapi keadaannya tenang-tenang sahaja. Di pasar ni barangan menjahit pun dijual di sini. Jarang aku ke pasar yang menjual alat jahit yang lengkap seperti di pasar ni. Gambar di bawah baru renda sahaja. 
Macam-macam pilihan renda ada di jual. Belum alatan jahit yang lain. Laku pula tu.


Selalu nyer telur penyu ni jumpa di Pasar Payang. Telur penyu pun ada di pasar ni. Harga telur penyu ni satu RM 4. Di Terengganu ni lah paling senang nak dapat telur penyu. Aku kawan dengan orang terengganu ni merasalah makan telur penyu. Selama hari ni makan percuma sahaja. Sekali tengok harga. Dah pernah rasa dah, jadi aku pun tak beli. Telur penyu ni walau dah dimasak dia tetap cair.


Di pasar ni aku rambang mata. Macam-macam makanan ada. Banyak juga yang aku tak pernah rasa. Banyak sangat. Ada koleh ubi, kerabu sare dan macam-macam lagi. Ada 
makanan tu namanya asam gumpal. Itu aku tak dan nak rasa. Ketupat pun ada dijual di pasar ni. Kerabu sare ni adalah kerabu sejenis 
rumpai laut. Panjang-panjang halus macam mee hoon tapi bukan warna putih. Dibungkus asing dengan kelapa dan kuahnya. Di post aku tentang berkelah di Pantai Rhu Tapai ada aku kongsi gambar rumpai ni.


Bila lihat-lihat. Bukan setakat aku tak pernah rasa. Ada juga makanan yang aku tak tahu pun namanya. Nasi dagang pula dijual siap dibungkus. Kalau tak diberitahu aku pun tak tahu yang dibungkus tu nasi dagang. Makanan orang pantai timur seperti laksam dan lompat tikam pun ada di sini dan laksa seperti biasa mana-mana pun ada laksa.

Bila orang sibuk cerita pasal aiskrim pasu. Kawan aku dari kelantan selalu kata aiskrim pasu macam aiskrim baba. Aku pun tak tahu apalah aiskrim baba tu. Di sini aku jumpa aiskrim baba. Aku pun penuh rasa ingin tahu beria tengok bahan-bahan dan cara dihidangkan. Akhirnya selepas Ain kata sedap, aku pun beli. RM 2 sahaja. Memang sedap, ada aiskrim, roti yang dipotong kecil-kecil, pulut dan macam-macam lagi. Akhir sekali coklat dan ditabur warna-warni yang kecil-kecil tu.

Bagi yang suka kuih tradisional. Ada juga boleh didapati di pasar ni. Banyak pilihan. Macam-macam kuih ada. Sama ada kuih Terengganu, Kelantan atau kuih tradisi lainnya. Penuh tangan dengan hasil belian makanan jer di pasar ni.

Siapa-siapa yang mencari akar siti fatimah dan buah zuriat atau sesuatu yang sewaktu dengannya di sini pun ada. Senang dicari. Akar-akar kayu dan herba pun ada kelihatan. Mana tahukan ada yang mencari bahan-bahan ni. Bukan itu sahaja hand bag pun ada. Paling tak boleh tahan cap MK pun dijual di sini.
Bagi penggemar petai jeruk harga di sini dalam rm 35. Siap dalam balang. Tinggal bawa balik jer. Tapi aku teruja tengok ikan bilis. Murah-murah ikan bilis di sini. RM 15 sekilo pun ada. Padanlah nasi lemak pagi tadi yang mak Ain masak banyak ikan bilisnya. Puas makan. Di bawah inilah ikan kering selar kuning. Siap dibersihkan baru dikeringkan. Ikan kering ni lah yanga harganya rm 30 sekilo. Tapi berbaloi. Sedap dimakan.

Ini makanan kegemaran aku. Petai. Petai jeruk tadi aku tak beli. Tapi petai ni Mami beli. Harganya RM 2 ada 7 papan. Beli 3 ikat RM 5. Bahagia aku rasa hari ni. Di Semenyih RM 5 adalah 5 papan sahaja. Tapi Ain kata jika tak musim harganya berbeza. Sekarang sedang musim petai. Balik tu ulam petailah. Esoknya Mami masak petai letak telur. Sedap sangat. Makan bertambah-tambah.
Aku seronok sangat berada di Terengganu ni. Unik dengan tersendirinya. Ni kunjungan yang 
ke 4. Tapi setiap kali berkunjung ada sahaja pengalaman yang berbeza. Hasil dari beli barang di Pasar Kampung Buluh yang macam-macam ada ni hampir penuh boot kereta. Dua kali aku dan Ain berangkut barang. Penuh tangan dengan ikan kering, petai, baju, durian dan makanan. Sekurang-kurangnya balik nanti yang mengirim tak la kecewa. Serta ada juga ole-ole untuk kawan dan keluarga. Harap-harap ada rezeki lagi datang ke sini. Lupa nak beritahu. Pasar ni adalah pada hari Sabtu dan hari Selasa. Memandangkan Selasa pagi-pagi dah nak balik. Jadi kami membeli pada hari Sabtu. Baru ikan kering jer ni. Belum beli keropok lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan