Rabu, 17 Jun 2015

Broga Hill Aku Datang


Termasuk kali ini, ini adalah kali ke 4 aku tulis post ini. Ada sahaja masalah setiap kali nak post. Tapi aku masih lagi belum berputus asa, walau ini adalah kali ke empat aku menulis pekara yang sama. Tak apalah bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian.

Sebenarnya aku tidak sangka cadangan sambil borak-borak untuk mendaki Bukit Broga  menjadi kenyataan. Aktiviti ini menjadi salah satu aktiviti Program Gaya Hidup Sihat (PGHS). Program ini adalah bagi memastikan BMI kami di bawah 26. Jika tidak kontrak untuk tahun 2016 tidak akan disambung. Selama hari ni nak kuruskan badan juga, tapi "why" tak kuat jadinya komitmen tu tiada. Jadi ini adalah peluang paling bagus untuk aku mencapai matlamat untuk turunkan berat badan.  Bukan sahaja kerana kerja tetapi untuk kesihatan diri sendiri. 

Kembali kepada aktiviti mendaki Bukit Broga. Bukit Broga ini sudah sangat terkenal. Selalu sahaja meniti di bibir kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga tua. Bila datang ke mari anak-anak yang masih belum berjalan pun dah mendaki, ibu bapa sanggup dukung. Warga tua atau orag lama pula kelihatan beriadah, ada seorang pakcik berbangsa Cina katanya hari ini sahaja sudah 2 kali naik. Hebat betul pak cik ni, sehebat Bukit Broga yang menjadi tempat warga semenyih, masyarakat sekitar atau dari serata Malaysia beriadah.

Bukit yang ditumbuhi daun lalang ini pernah suatu masa dahulu menjadi lokasi untuk fotografi pra perkahwinan angkasawan negara kita iaitu Datuk Dr Sheikh Muzaphar Shukor pada tahun 2010. Tahun yang sama juga, kali pertama aku mendaki Broga ni. Masa tu buaian yang merupakan props fotografi masih ada lagi di lokasi. Masa tu kami bergerak awal, selepas solat Subuh kerana mengejar matahari terbit. Kawan-kawan yang mendaki waktu tu ramai dari Utusan, mereka bawa lensa kamera panjang-panjang siap dengan tripod. Gigih mereka ni. Tapi sangat berbaloi dapat merakamkan suasana yang sangat indah, ciptaan Allah. Tapi sayang gambar-gambar sudah hilang bila komputer rosak. Bila letak di Blog adalah kenangan, bila nanti dah tak ingat, boleh baca semula. 

Pendakian kali ini keadaan sangat berbeza, mendaki waktu dah cerah, umur pun dah bertambah, Track pun berbeza, lebih curam dari sebelum ini. Lagi pun ini  Bukit Broga terbakar Februari yang lalu. Pasti lanskapnya sudah berbeza. Apalah rupanya? Keadaan kawan parking ni pun dah ada tandas awam berbayar RM 1. Parking pula RM 2. Tak pasti harganya masih sama atau dah naik, sebab masa tu bukan aku yang bayar. Parking kereta atau motor untuk ke Bukit Broga ni terletak berhadapan dengan Rabbit Farm dan hanya lebih kurang 2.5 km dari Universiti Nottinghem.

Perasaan untuk mendaki semakin berkobar-kobar. Sangat teruja, mahu menguji sama ada senaman yang dilakukan pada setiap pagi apabila tiada aktiviti di luar, memberi manfaat atau tidak. Harap-harap ada manfaatnya. Bila lihat papan tanda tu 1.7 km, tak jauh tu. Aku memberi semangat kepada diri sendiri. Paling penting jangan ambil apa-apa benda kecuali gambar dan jangan tinggalkan apa-apa kecuali jejak kaki. Tapi aku rasa ada juga bulu betis yang tertinggal, tu yang datang lagi tu.


Beberapa meter berjalan tak sempat rasa penat lagi, kelihatan pitu gerbang. Masa dulu tak ada ni. Satu perkembangan yang bagus, di taja oleh RHB lagi. Boleh la jadi tempat nak bergaya masa bergambar. Di pintu ini adalah diceritakan serba sedikit tentang Bukit Broga ini.


Perjalanan diteruskan lagi, baru saja nak keluar penuh dan baru jer mula nak panjat-panjat, hujan turun. Atas faktor keselamatan kami berpatah balik. Keselamatan pekara utama. Lagi pun semua masih beringat memandangkan kejadian gempa bumi di Gunung kinabalu baru saha berlaku.


Sebaik sahaja hujan berhenti, perjalan diteruskan kembali. Dua kali lah tiba di lokasi dalam gambar di atas, dan berjaya dilepasi, di bawah adalah cabaran yang seterusnya. Terkial-kial aku naik. Sedikit licin laluan kerana baru sahaja selepas hujan. Pak Ngah memberikan semangat untuk teruskan pendakian. Stamina kali ini lebih baik dari tahun 2010 yang naik tanpa ada persediaan. Masa tu tak bersenam, tercungap-cungap dan banyak kali berhenti. Dalam gelap sibuk mendaki sampai ada yang terkentut. Waktu tu tak mesra lagi semua pun senyap. Nak gelak pun tak larat. Maklumlah semua umur 30 dan tak bersenam.

Cabaran seterusnya, dari jauh nampak batu-batu dan kelibat si Ng, aku pun menjerit panggil. Ng menjerit juga balik " tak bawa hp ke? dalam wasap dh beritahu laluan licin tak sesuai untuk perempuan". Alamak tak kan nak patah balik. Aya pun tak nak naik. Tapi tadi ramai perempuan naik, sebelum ni pun aku dah pernah naik. Sudahnya aku naik. Memang licin sebab baru lepas hujan dan curam. Aku rasa track ni dah lunyai teruk. Yer la, sudah berapa ramai orang dah naik Bukit Broga ni. Berbeza sangat. Dari sini sudah kelihatan kawasan sekelilin, jauh mata memandang.


Dalam terkial-kial memanjat, perasaan gayat tinggi sempat lagi merakam keindahan, waktu ini Aya meneruskan pendakian juga. Semangat sikit ada kawan, kami saling mengingatkan agar berhati-hati.

Berjaya juga harungi batu-batuan, hasilnya dapat melihat kehijauan lalang di atas bukit ini. Hijaunya tak sama seperti dulu tapi tetap indah. Belum habis lagi, perjalan perlu diteruskan, Aku memujuk dan memberi semangat kepada diri. Kali ini bahagian ni tak selicin yang sebelumnya. Dari jauh nampak sayup jer tempat nak dituju.



Dari bahagian in kelihatan pemandangan seperti di bawah, sampai juga aku di sini. Walau bukan mengejar matahari terbit, tetap bersemangat.


Waktu aku sedang panjat-panjat dan berada hampir nak sampai, Ng dan Pak Ngah memberikan galakan dan sambut aku, membuatkan aku rasa terharu, sampai juga akhirnya. Dari sini kelihatan pemandangan seperti gambar di bawah. Lalang yang sangat subur. Tak sangka baru lepas terbakar. Denai pun sudah makin luas. selalunya atas pukul 9 cuaca panas tapi alhamdulillah keadaan redup.



Indah bumi tuhan, melihat keindahan betapa bersyukurnya masih diberikan mata yang dapat melihat, tubuh badan yang sihat, serta kulit yang dapat merasa kenyamanan angin. Besar bumi Allah. 


Belum berakhir lagi, perlu jalan ke hadapan lagi, memandangkan sudah pernah sampai, setakat ini sahajalah aku panjat. Tak baik buat orang menunggu. sekian minit lagi nak tunggu aku yang terkial-kial ni.

Turun semula kurang penat dari naik, hanya perlu berhati-hati kerana jalan licin. Tapi pak Ngah turun macam spiderman dia lompat-lompat. Senang nampaknya. Masa perjalan turun ni sempat aku ambil gambar pokok ni, pokok ni waktu malam memantulkan cahaya, selalu ada di denai-denai, Bila berjalan malam dalam hutan, pokok ni banyak membantu.


Rahsia Pak Ngah melompat-lompat macam spiderman dan berjaya sampai ke puncak Broga walaupun licin adalah kasutnya. Ini kasut yang sangat sesuai. Mencengkam dan tak lah licin. The North Face, harganya berbaloi. alah membeli menang memakai.

Tanah pun tak melekat sangat pada tapaknya, berbeza dengan kasut yang aku pakai, Ng pun tak berjaya sampai pucak keran licin.


Pengalaman kali ini berbeza, dengan orang yang berbeza. Ada pekara baru yang dipelajari. Hidup ini sendirinya sudah satu proses pembelajaran. Alhamdulillah berkat bersenam, bangun tidur otot tak sakit. Tapi masa mendaki terasa jantung saya dicabar. 

Sebaik sahaja turun seperti biasa ada penjual air, biasanya meriah menunggu pendaki yang turun, Kali ni kami tak terkecuali, Mendaki kali ini hanya bawa telefon bimbit. Hebat sangat. Sebelum ini bawa makanan lagi, sarapan dipuncak, minum air milo panas lagi. Masa perjalanan turun berhenti sambung makan ramai-ramai, waktu tu baru bergelak ketawa. 

Masa duduk minum berborak dengan mak cik berbangsa Cina yang menjual air tentang Bukit Broga. Kawasan keliling hutan lalang adalah tanah persendirian, Hutan lalang sahaja tanah kerajaan.

Moga Bukit Broga terus gah berdiri menjadi pasak bumi. moga anak cucu kita nanti masih dapat melihat kehijaun Bukit Broga.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan