Ahad, 6 Jun 2021

Pantai Remis

Kali pertama aku ke Pantai ni masa umur 10 tahun rasanya. Arwah ayah baru beli kereta. Walau kereta terpakai. Gembiranya bukan kepalang. Toyato wagon warna putih. Arwah ayah bawak berniaga sayur. Waktu ni ayah bawak Tok Hussein untuk tolong pandu kereta. Tok Hussein ni pembantu arwah ayah. Setiap kali ke pasar borong ayah bawak. Tok Hussein ni polis pencen.  Arwah lama dah lama tak memandu. Untuk perjalanan jauh kurang cekap mungkin. Kereta pertama ayah pun Toyata. Warna hijau. Aku ingat lagi. Ada kipas kecik. Sempat lah aku naik kereta tu ikut arwah ayah berjual pisang. Berjual sayur dan ikan. Kereta tu terjual lepas tak lama arwah tak lagi bekerja kapal korek. Lepas tragedi kapal terbalik. Aku pergi sekolah pun dihantar naik motor. Jual sayur pun naik motor. Masa umur aku berapa, tak ingat. Motor pun kena curi. Dugaan membesarkan anak-anak.


Pantai Remis ni terletak di Sungai Sembilang, Jeram. Kali pertama jugak aku dapat tengok sawah padi. Kelakar tu pokok jagung aku sangka padi. Bila aku umur 41 aku pulak bawak anak buah aku tengok padi..  Sejak tu pantai remis ni selalu kami sekeluarga kunjungi. Aku yang waktu tu suka kumpul kulit siput. Tiap cuti merengek nak ke pantai. Mak ayah layan kan. Duduk la aku di gigi pantai leka mengumpul siput. Tak pasal satu keluarga mencari siput. Masa aku leka mengorek pasir cari remis. Datang pasangam suami isteri. Tengok apa aku buat. Aku pun baru tahu cari remis. Boleh makan. Sedap bila kena cara masakan.


Saban kali datang singgah ke sini. Kadang dengan kawan-kawan. Kadang dengan keluarga. Macam-macam perubahan. Pantai dah dibenteng dengan batu-batu. Mula dulu ada yang jual-jual air dan jajan jajan. Lepas tu gerai menjual hasil laut baik kering baik yang basah makin bertambah. Maka selalunya aku singgah bila nak cari mentarang. Waktu tu sekilo RM 8- RM 10. Masa ni dah usia 30 an. Kadang-kadang selepas menikmati indahnya pantai. Menikmati pula kerang bakar. Waktu ni kerang nya besar-besar. Masa ni tak cari sendiri dah remis. Order jer. Nak masak apa? Pilih jer. Cuma arwah mak dan arwah ayah lah dah tak ada waktu ni.


Tapi kekurangan tu ditambah pulak. Anak-anak buah. Aku angkut ke sini. Menikmati indah pantai. Sekarang ketam bakar ada, ikan bakar ada. Macam-macam ikan. Macam-macam menu ada. Sediakan aja wang. Pantai ni semakin meriah. Makin ramai pengunjung. Menjadi tempat beriadah petang-petang. Menjadi tempat singgah bagi mereka yang ikut jalan dalam keutara. Sekarang lebih meriah. Ramai singgah sini sebelu ke tempat tempat menarik di Kuala Selangor, Sekinchan, Sabak Bernam dan Sungai Besar. Dimeriahkan dengan anak-anak bermain layang-layang. Layang-layang jualan meriah tergantung. Pantai ni menjadi lokasi punca rezeki ramai orang.

Senja di sini menghadiahkan pemandangan matahari terbenam yang indah. Langit indah. Laut pun indah. Makin banyak kenderaan. Makin luas kawasan ni. Kedai makan tu pun makin luas. Bukan belah yang nampak ni jer. Sebelah kiri lepas kawasan parking tu ada tempat jualan. Ada juga kedai-kedai makan. Bahagian pantai yang boleh di akses pun makin luas. Menampung jumlah pengunjung yang datang.

Bila air surut pasirnya nampak luas. Dulu ni mesti leka aku kutip kulit siput dari hujung ke hujung. Aku masih simpan tau. Ada juga bukan aku kutip. Ada yang dihadiahkan. Entah lah kenapa aku boleh suka kumpul kulit siput pulak. Pernah di pantai Morib aku boleh ambil kepala patung dari tanah liat di pantai. Budak masa tu, mana tahu takut. Lepas pembesaran otak dah sempurna. Aku baru berfikir. Baru buang. Bila menyelusiri pantai ni macam-macam boleh jumpa. Masa ke PD dengan BFF aku. Kami jumpa botol hitam diikat kain merah. Serius seram. Malam tu masing-masing ngadun sukar tidur. Sekarang aku dah tak kumpul kulit siput. Biarkan ia kekal di laut. 

Balik dari jalan-jalan. Siapa nak beli ole-ole ikan masin, belacan bagai untuk kawan-kawan-kawan, jiran, adik beradik, mak mak mertua boleh lah menjengah ke gerai-gerai yang ada di kawasan ni  Macam-macam pilihan ada. Biasanya akan beli beberapa jenis ikan masin buat ole-ole atau saja buat stok di rumah. Kadang lalu sahaja. Cuci mata. Tengok-tengok apa yang ada.



Macam-macam jenis ikan masin dijual di sini. Kecik besar. Pilih jer. Mahal murah semua ada. Penggemar ikan masin boleh rambang mata. Belacan dia begitu rupa. Selalu tengok belacan Melaka dan Terengganu. Kat sini pun ada dijual belacan. Belacan aku beli di Terengganu dulu ada lagi. Maka tak lah sibuk cari belacan. Dulu kalau kursus di melaka mesti beli belacan. Penting belacan ni. Buat sambal. Masak asam pedas. Masak sambal tumis mesti letak belacan. 


Kalau nak cari belangkas. Di sini pun ada jual haiwan purba ni. Belangkas yang ada telur sedap dibakar, masak lemak cili padi atau masak asam pedas. Kena pandai siang. Ada bahagian yang ada racun. Kalau tak dibuang boleh memudaratkan. Nak makan belangkas siap masak boleh lah lajak ke depan lagi. Ke Faridah Mentarang Bakar di Sekinchan. Macam-macam menu berasaskan belangkas ni ada. Aku belum cuba lagi masak semdiri belangkas ni. Pertama kali makan cikgu Bob bawa dari area sini lah. Bawak ke kem. Bakar dan makan ramai-ramai. 


Pernah dengar telur ikan mayong? Telur ikan yang bulat-bulat tu? Sedap kalau masak asam pedas. Aku pernah buat. Tapi tu lah. Amatur. Masa arwah ayah jual ikan ada arwah bawak balik. Arwah mak masak sedap jer. Kenapa aku masak tak sedap yer? Di sini ada dijual telur ikan mayong tu. Aku memang beli lah. Benda susah nak jumpa. Pandai tak pandai masak belakang kira. Resepi dan you tube ada. Kalau boleh sediakan peti polistrin putih tu. Boleh beli macam-macam hasil laut. Kerangan pun macam-macam. Untung-untung musim mentarang. Boleh ler beli sekilo dua. Sekarang harganya boleh tahan. Pernah lah aku beberapa kali singgah sini. Bukan musim mentarang. Hampa lah jugak.


Di satu bahagian lagi tempat jualan makan-makan. Boleh lah bawak anak-anak makan-makan lepas penat berjalan digerai-gerai. Peniaga-peniaga ni lah yang memeriahkan kawasan Pantai Remis ni. Moga pantai ni terus terpelihara kebersihannya. Menjadi manfaat kepada penduduk sekitar dan kepada kami yang suka singgah singgah menikmati angin pantai dan indah laut. Suka juga makan kerang 




 

Rabu, 6 Mei 2020

Kampung Sungai Haji Dorani: Makan Kenduri

Ini adalah peluang untuk menghadiri kenduri di kawasan perkampungan tepi sawah. Tau tak? Apa yang seronok kenduri di kampung-kampung adalah hari rewang. Bagi aku lah. Seronok potong-potong bawang bagai, sambil berborak atau dengar orang berborak. Paling best masa rewang pun disediakan makan. Kalau potong lembu.Asa rewang ni lah ada dihidang sup lembu ni. Tapi kali ni, aku ikut orang jer. Tak da.lah rewang.

Apa yang seronok bila kawan dengan kawan dari merata tempat, merasa lah rewang di merata negeri. Ada setengah tempat. Lelaki yang bertugas masa rewang ni. Ada setengah tempat, campur. Tak semua tempat panggil rewang. Jarang dah jumpa rewang ni. Kali akhir aku tolong rewang 2 tahun lepas. Kenduri di Sg Lui, Hulu Langat. Kenduri buat sambal petai. Jenuh kikis petai. Tapi seronok, ramai-ramai. Tahu-tahu siap. Siap guna gosok periuk untuk kikis kulit petai tu. Belajar sesuatu jugak lah disitu.

Makan kenduri di kampung ni sedap. Masih menggunakan pinggan dan dihidang begitu. Zaman sekarang kan kebanyakan kenduri secara buffet. Pinggan, cawan dan mangkuk pun ada yang guna jenis pakai buang. Asalkan memudahkan. Terpulang apa cara pun. Paling penting niat nya menjamu orang makan. 


Apa paling aku ingat kenduri di sini. Dapat maggie dan air soyan. Ni kali pertama aku dapat macam ni. Satu lagi yang paling aku ingat, dihidangkan bontot ayam goreng tepung panas-panas. Tak pernah lagi mana-mana kenduri aku pergi dihidang bontot ayam. Memang seronok lah kami layan kan. Menu paling best, sup lembu lah. Bertambah makan. Last sekali makan tapai. Tapi bungkus dengan daun getah. Jarang-jarang jumpa juga ni.


Balik dari kenduri. Masa untuk foto-foto. Waktu ni pagi menguning. Aku pernah bermalam di rumah kawan tepi sawah di Teluk Intan dan menangkap ikan di sawah dan beraktiviti rumah tepi sawah di Tanjung karang. Kaya kan. Bangun pagi sawah terbentang luas. Arwah mak aku cerita. Kampung aku dulu pun ada sawah. Tapi dah tak dikerjakan. Padi tak menjadi. Kadang tu bila nak ke kebun, masih lagi guna perkataan sawah tu. Sekarang dah jadi dusun durian.

Tak ada apa yang kekal abadi. Kita terus dihambat kemajuan dan perubahan. Selalunya harganya bukan lah percuma. Ada yang terkorban dan dikorbankan.

Sabtu, 2 Mei 2020

Kampung Sungai Haji Dorani: Menikmati Indahnya Jeti Nelayan

Sampai di Muara Marine Park. Kami tak terus ke penginapan. Ambil peluang menikmati keindahan landskap sekitar kawasan. Di hadapan mata terbentang muara sungai, laut, kaki langit. Subhanallah. Indah. Bagai dilukis.  Biasan Air di muara menjadi imej cerminan langit. Pakai kamera hp. Ini jer lah hasil terbaik, merakamkan pertembungan diantara air tawar dengan air masin dan kawasan jeti nelayan. 

                     

Ini adalah satu pekara yang dah lama aku idam-idamkan. Tengok dari dekat jeti nelayan. Selalu tengok dari jauh, sambil lalu jer disepanjang ke sini selepas Kapar ada beberapa perkampungan nelayan yang selalu menggamit pandangan. Dah usia ni baru dapat tengok dekat-dekat  bot nelayan yang bamyak-banyak.
  
                      

Paya bakau kawasan ni, agak-agak kalau cari siput sedut yang selalu makan tu ada tak? Masa ni air tengah surut. Tak berani nak jalan-jalan jauh lagi dan masa tak mengizin kan. Kalau tak dah main lumpur kot.

                   

Waktu kami di kawasan jeti ni, ada beberapa orang sahaja. Tak ramai. Aku rasa orang yang ada ni bukan nelayan. Tengah bersiap-siap nak ke laut nampaknya. Bawa box coleman dan macam keperluan menangkap ikan. Waktu ni bukan masa  nelayan ke laut dan bukan masa ikan sampai dari laut. Kalau tak mesti geram jer tengok ikan segar-segar. Baru tangkap pulak tu.

                   

Aku seronok sangat mengambil gambar. Benda yang aku jarang dapat tengok secara hidup nyata. Teritip menjadikan tiang perumah. Masa usia belasan aku pernah tidur di kampung nelayan di Pulau Pangkor. Tak sama. Ni di muara sumgai. Pulau Pangkor tu Pulau. Bot nelayan nya di di gigi pantai. Bersusun
                   
                   

Ikan belacak, memang tempat dia lah. Kawasan berlumpur. Ikan ada kaki. Haiwan amfibia atau dua alam. Tapi lebih aktif bila di luar air. Ikan ni aku selalu nampak di Pantai Remis. Tu yang kenal tu. Gambar tak jelas. Tak apa. Paling penting gambar kenangan ada.

                   

Rupa boat nelayan. Tengok puas-puas. Teringin jugak nak rasa pengalaman tangkap ikan di laut lepas. Simpan dalam wish list lama dah. In sha Allah satu hari nanti. Kalau zaman sekolah suka lukis gambar boat nelayan. Tapi tak pernah nya siap.
                    

Tempat duduk. Ada pangkin. Boleh duduk-duduk borak-borak. Melepaskan lelah. Sambil tengok pertemuan antara laut dengan sungai. Pertemuan dua pengaruh yang zahir nya sama iaitu air tapi hakikatnya sangat jauh berbeza. Keberadaan mereka dan cabaran yang berbeza mereka menjadi mereka jauh berbeza. Sungai dan laut. Sama-sama ada hebat nya.

                    

Ada tiang kelihatan, tapi bukan rumah api. Lampu bila saat gelap sebagai tanda panduan. Kelihatan juga bot yang usang terbiar. Banyak kelihatan yang bot terbiar dan usang. Bukan tu satu jer. Entah lah siapa pemiliknya.

                    

Ada bot yang baru ke laut. Mereka yang bersiap-siap tadi. Sudah lepas ke laut. Nampak sayup dalam gambar ni. Dalam nyata. Luas kawasan ni. Banyak bot dan sampan nelayan.

                    

Aku beranikan diri untuk turun hampir dengan sampan. Tu lah paling hampir. Hebat nelayan. Berpanas. Kadang hujan ribut. Ombak besar. Aku dapat makan ikan. Besar jasa mereka kepada masyarakat. Sekali berpanas sikit macam ni pun aku dah tak tahan terik sinar matahari. Moga Allah luas kan rezeki mereka.

                       

Kawasan ni mencuri perhatian aku. Asyik aku tengok kocakan air nya yang hasikan alunan air yang besar dan deras. Takut pun ada juga aku rasa.

                        

Lepaskan pandangan buat kali terakhir. Nak balik bilik dah, nak bersiap ke kenduri pula. Cantik pemandangan di sini. Warna bot dan sampan menambah warna pada wajah jeti ni. Menambah seri.

                       

Tapi disatu sudut. Sampah merata. Insan-insan buang. Aduhai. Sayang betul. Banyak tempa menarik jadi macam ni. Kawasan air terjun, tepi pantai. Berkunjung untuk menikmati kecantikan. Tapi meninggalkan kejelikan. Kita sama-sama jaga apa yang indah. Agar nikmat indah terus dapat dikongsi. Agar nanti yang indahnjuga diwariskan apa anak cucu kita warga dunia.

                       

Tapi aku suka tengok ni. Kunci air. Selalu nampak di kawasan ada sawah. Untuk mengawal aras air.

                                 

Khamis, 30 April 2020

Kampung Sungai Haji Dorani: Menikmati Suasana Pagi dan Sarapan

Bangun pagi setelah tidur yang lena. Terjaga sekejap kerana hujan lebat dan angin kuat dan teringat sedang hampir dengan muara. Selebihnya dah tak ingat dunia. Bangun pagi rasa badan segar. Cukup rehat. Kami bersiap sedia untuk berjalan kaki menikmati susana pagi kawasan sekitar. Jalan kaki baik untuk kesihatan. Kami pun waktu ni sedang dalam program Gaya Hidup Sihat untuk turun kan BMI. Syarat untuk kekal bekerja.

                      

Tujuan utama sebenarnya, nak menikmati sarapan dalam suana kampung dan  makan sarapan masakan masyarakat kampung ni. Macam tak selaras jer kan dengan nak turunkan BMI aktiviti ni. Kami ke sini 13 Jun 2015. Lagi beberapa hari sahaja lagi untuk menyambut Ramadhan. Jadi tak apa makan banyak sikit untuk beberapa hari ni. Alasan untuk menyedapkan hati senang.
      
                      

Lagi pun dah berjalan kaki. Tak apa makan banyak. Alasan yang kuat lagi untuk makan. Dalam dilema betul. Jalan kaki ke kedai makan tak rasa jauh pun. Dalam perjalanan, nampak tali air. Kampung aku tak macam ni. Yer kan, ni kawasan dekat dengan Muara. Kampung aku hulu sungai  mana sama landskap dan cuacanyam Peluang ni maka menikmati suasan aman kampung. Pagi yang nyaman. Udara yang pastinya segar. 

                     

Ni lah aktiviti aku paling suka. Sarapan pagi, selepas jogging atau jalan kaki. Paling penting bawah 830 pagi. Dia punya nikmat lain macam. Sarapan makan roti canai tapi ambik macam-macam untuk dikawankan dengan roti canai. Semua pun sedap. Mujur perut satu dan tengah hari kami nak menghadiri jemputan kenduri. Paling penting murah. Rasa makan di gerai ni istimewa, unik. Bagi aku tak sama dengan tempat lain. Sebagai bonus. Harganya berpatutan. Bukan sekeping roti canai aku makan. 
    
                      

Dari luar, ni rupa kedainya. Meriah dengan penduduk tempatan. Tandanya memang sedaplah kan. Maka kami tak salah pilih kedai. Bila ke tempat orang. Ambil peluang untuk rasa masakan, makanan. Kalau dapat borak-borak dengan orang-orang tempatan lagi bagus.
                      

Perut dah kenyang. Berat kaki nak melangkah pulang ke penginapan. Maka jalan kaki ni pilihan yang tepat. Dah la kalori roti canai tu boleh tahan. Aku belasah 2 keping pulak tu. Apa pun roti canai sudah pun di dalam perut. Sesal kemudian tiada gunanya.


Selasa, 28 April 2020

Kampung Sungai Haji Dorani: Bermalam di D' Muara Marine Park

Ini lah kawasan tempat penginapan kami malam ni. Masa kami ke sini namanya D'Muara Marine Park. Sekarang namanya Dorani Bayu Resort, Marine Park. Semua pun Mami dengan Ain yang uruskan. Aku tinggal ikut jer. Dalam gambar ni yang kelihatan adalah chalet terapung dari jauh. 

                     

Ada dua pilihan penginapan di sini. Sama ada menetap di Chalet terapung atau di apartment. Chalet terapung ni ada yang menghadap laut ada yang menghadap hutan paya bakau. Kami menetap di apatment. Apartment ni bukan lah bertingkat-tingkat tu. Di sini apartment tu berkonsepkan rumah teres. Macam di rumah. Ada 2 bilik. Ruang tamu, tandas dan juga dapur.

                            

Tempat ni sesuai juga untuk aktiviti hari keluarga atau pun lokasi berkursus. Aman tenang. Pemandangan yang indah. Anak-anak boleh lihat laut. Perkampungan nelayan. Mengenali hutan paya bakau. Boleh juga jalan-jalan mengenali sawah padi di kampung berdekatan. Harga nya berpatutan. 

                           

Lokasi tempat ni dan tidak jauh sangat dari Shah Alam. Masih di dalam negeri Selangor. Menarik nya perjalan ke sini ada banyak lokasi yang boleh singgah. Untuk makan, beraktiviti atau sekadar foto-foto.

                     

Bila dah malam, ada juga tu ambil peluang jalan-jalan di kawasan penginapan. Ke lobi. Ambil iron sebenarnya. Sambil-sambil tu menjengok ke kawasan chalet terapung. Malam gelap. Nampak tu jer la.Bila ke ruang makan nya cuma menikmati angin laut.  Kalau siang nampak laut dari ruang makannya.

                      

Malam-malam buatlah aktiviti sendiri. Masa ni benyak disesalkan. Tak bawak peralatan membakar dan dapur portable Tak beli makanan laut. Kalau tak boleh mengunyah. Ada dapur di sini. Ada kettle. Ada peti sejuk. Tapi aku dah tak ingat ada apa di dapurnya.  Teh tarik jer lah yang mampu dihasilkan. Air tangan si Ain. Memang sedap masak. 


                      

Semua ni pun dah jadi kenangan. Sekurang-kurangnya. Pernah melalui cerita ni sama-sama. Antara orang-orang baik yang dikirim Tuhan. Ni cerita 12 Jun 2015. Sikit lagi dah nak cukup 5 tahun berlalu. Masa begitu pantas. Keadaan menjauhkan atau merapatkan jarak. Tapi ia tetap lekat dihati.
   

Isnin, 27 April 2020

Kampung Sungai Haji Dorani: Pasar Makanan Laut dan Hasil Pertanian Tempatan

Perut dah kenyang dah makan, perjalanan diteruskan ke tempat penginapan untuk malam ni. Semakin hampir aku sangat teuja Semakin masuk ke kawasan perkampungan. Di tepi jalan ada jualan. Makanan laut segar-segar. Kalau bawak periuk dengan dapur kecil boleh bawak merata tu kan bagus. Macam-macam boleh masak. 


Puas geram dan menahan selera tengok makanan laut segar-segar. Nampak pula ikan masin bergantungan. Aku tak tahu apa nama pasar ni. Aku memang suka pasar-pasar macam ni. Arwah mak pun suka. Ikan masin yang pelbagai. Ikan masin ni sedap. Pembuka selera. Ada dibuat gulai.  Dibuat masak lemak cili padi tambah nenes. Ada digoreng kosong. Ada juga digoreng dikawan kan dengan gorengan hirisan bawang dan cili padi. Menambah makan.


Deretan kedai yang menjual hasil laut atau pun hasil pertanian. Kata mudahnya, sayur-sayur kampung. Segar-segar. Keladi pun ada. Keladi ni kalau tak lena cara. Boleh gatal. Aku tak pernah lagi masak keladi. Selalu tengok arwah mak proses. Renyah juga kerjanya. Pisau dan tangan dilumur minyak. Baru potong keladi tu. Tapi bab makan sedap. Pandai. Keladi ni masak lemak cili padi dengan siput sedut. Memang asyik menyedut. Ditambah dengan kuah lemak yamg pedas-pedas dan manis batang keladi. Bagi yang suka asam pedas, ada juga yang letak keladi. Atau keladi sahaja masak asam rebus. Semua pun sedap. Ramadhan. Tapi ingat makan. 


Daun kantan di sini murah. Boleh lah beli. Campur dalam masakan asam pedas atau masak lemak cili padi letak pucuk paku daun kantan udang dan telur pipit. Terangkat. Biasanya yang suka masak laksa ada jer stok bunga kantan ni. Sekarang ni kan dah ada cara simpan bunga kantan bagi tahan lama. Mami pulak selalu buat kerabu ikan bilis. Bunga kantan adalah antara bahan-bahannya. Kalau mami buat. Baunya dah cukup untuk buat perut lapar.



Aku rasa, sayur yang sebelah kangkung tu adalah keladi kelemayar. Hidup ditepi-tepi tali air. Sedap dimasak tumis dengan cili padi bawang merah bawang putih dan ikan bilis. Arwah mak pernah masak. Cepat mata aku menangkap kewujudan sayur ni. Susah juga nak dapat. Tak macam kangkung. Selalu ada. Tapi kangkung kampung macam ni susah dapat. Jenis ni batang dia kena belah. Untuk keselamatan. Supaya tidak termakan apa yang tak perlu.


Masa kami sampai dah petang-petang. Jadi pasar ni dah kurang meriah. Aku pun tak pasti pukul berapa pasar ni bermula. Tulah kenapa tak tanya. Pasar ni pun ada jual makanan yang dah siap. Bukan lah jual sayur dengan barang basah sahaja.


Sebut-sebut pucuk paku, memang ada jual pucuk paku di sini. Sayur-sayur kegemaran. Lama betul aku tak jumpa pucuk manis. dari mula PKP sampai lah sekarang. Dah Fasa ke 4 PKP baru ada ingat nak menulis di Blog. Alhamdulillah yang ni dah entry ke 4.


Buah pun ada. Ni kalau nak buat goreng pisang ke cekodok pisang ke kek pusang ke boleh lah borong. Atau nak buat kudap kudap. RM 5 juga yang pisang sekilo sekarang ni. Aku tak pernah beli pisang. Baru jer Rabu lepas aku tanya harga pisang pada taukey pisang. 











Ahad, 26 April 2020

Kampung Sungai Haji Dorani: Singgah Pekan Sungai besar Jumpa Jukebox atau pun peti lagu

Selamat sampai ke lokasi penginapan, selepas check in. Kami ke luar semula untuk makan malam. Mencari kedai di Pekan Sungai Besar. Apa yang menarik perhatian aku peti lagu ni. Jukebox. Masuk duit untuk dengar lagu. Last aku jumpa di Persanjung kedai mamak di Ipoh nun. Kalau aku tak silap lah. 17 tahun yang lalu. Lama sangat dah. Dalam cerita-cerita Mat Saleh kan ada  adegan masuk duit dengar lagu.

Tak payah cerita Mat Saleh la. Dulu-dulu di kedai fast food pun ada mesin ni. Bayar 50 sen dan pilih lagu apa nak dengar. Sambil tu berangan sambil menikmati makanan minuman. Atau pun borak sambil layan lagu. 

Jukebox atau peti lagu ni terkenal pada tahun 1930. Seronok jugak tahu sejarah Jukebox ni. Satu masa dulu sebelum kita ada Mp3 dan segala macam gadjet. Asalnya dari Selatan Amerika Syarikat. Masa ni arwah mak ayah aku pun tak lahir lagi. Arwah nenek dah ada lah di dunia waktu ni. Muda sikit dari Mantan PM kita Tun Dr Mahathir.


Masa ni ada satu pak cik tengah layan ada satu lagu ni. Beberapa kali dia masuk duit untuk dengar lagu yang sama. Lepas tu dia tanya aku siapa penyanyi lagu tu. Penyanyi baru juga pada waktu tu. Aku pun kadang kadang layan juga. Di bawah ni lah rupa peti lagu ni dari dekat.


Sekarang harganya boleh tahan. RM 8K ada yang RM 12K. Nak jumpa pun susah. Biasanya ada dikedai kedai makan macam ni lah. Menjadi koleksi peribadi yang berharga. Tapi sayang aku tak ingat apa nama kedai ni.

12 Jun 2015