Memaparkan catatan dengan label Ikan Bakar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ikan Bakar. Papar semua catatan

Ahad, 6 Jun 2021

Pantai Remis

Kali pertama aku ke Pantai ni masa umur 10 tahun rasanya. Arwah ayah baru beli kereta. Walau kereta terpakai. Gembiranya bukan kepalang. Toyato wagon warna putih. Arwah ayah bawak berniaga sayur. Waktu ni ayah bawak Tok Hussein untuk tolong pandu kereta. Tok Hussein ni pembantu arwah ayah. Setiap kali ke pasar borong ayah bawak. Tok Hussein ni polis pencen.  Arwah lama dah lama tak memandu. Untuk perjalanan jauh kurang cekap mungkin. Kereta pertama ayah pun Toyata. Warna hijau. Aku ingat lagi. Ada kipas kecik. Sempat lah aku naik kereta tu ikut arwah ayah berjual pisang. Berjual sayur dan ikan. Kereta tu terjual lepas tak lama arwah tak lagi bekerja kapal korek. Lepas tragedi kapal terbalik. Aku pergi sekolah pun dihantar naik motor. Jual sayur pun naik motor. Masa umur aku berapa, tak ingat. Motor pun kena curi. Dugaan membesarkan anak-anak.


Pantai Remis ni terletak di Sungai Sembilang, Jeram. Kali pertama jugak aku dapat tengok sawah padi. Kelakar tu pokok jagung aku sangka padi. Bila aku umur 41 aku pulak bawak anak buah aku tengok padi..  Sejak tu pantai remis ni selalu kami sekeluarga kunjungi. Aku yang waktu tu suka kumpul kulit siput. Tiap cuti merengek nak ke pantai. Mak ayah layan kan. Duduk la aku di gigi pantai leka mengumpul siput. Tak pasal satu keluarga mencari siput. Masa aku leka mengorek pasir cari remis. Datang pasangam suami isteri. Tengok apa aku buat. Aku pun baru tahu cari remis. Boleh makan. Sedap bila kena cara masakan.


Saban kali datang singgah ke sini. Kadang dengan kawan-kawan. Kadang dengan keluarga. Macam-macam perubahan. Pantai dah dibenteng dengan batu-batu. Mula dulu ada yang jual-jual air dan jajan jajan. Lepas tu gerai menjual hasil laut baik kering baik yang basah makin bertambah. Maka selalunya aku singgah bila nak cari mentarang. Waktu tu sekilo RM 8- RM 10. Masa ni dah usia 30 an. Kadang-kadang selepas menikmati indahnya pantai. Menikmati pula kerang bakar. Waktu ni kerang nya besar-besar. Masa ni tak cari sendiri dah remis. Order jer. Nak masak apa? Pilih jer. Cuma arwah mak dan arwah ayah lah dah tak ada waktu ni.


Tapi kekurangan tu ditambah pulak. Anak-anak buah. Aku angkut ke sini. Menikmati indah pantai. Sekarang ketam bakar ada, ikan bakar ada. Macam-macam ikan. Macam-macam menu ada. Sediakan aja wang. Pantai ni semakin meriah. Makin ramai pengunjung. Menjadi tempat beriadah petang-petang. Menjadi tempat singgah bagi mereka yang ikut jalan dalam keutara. Sekarang lebih meriah. Ramai singgah sini sebelu ke tempat tempat menarik di Kuala Selangor, Sekinchan, Sabak Bernam dan Sungai Besar. Dimeriahkan dengan anak-anak bermain layang-layang. Layang-layang jualan meriah tergantung. Pantai ni menjadi lokasi punca rezeki ramai orang.

Senja di sini menghadiahkan pemandangan matahari terbenam yang indah. Langit indah. Laut pun indah. Makin banyak kenderaan. Makin luas kawasan ni. Kedai makan tu pun makin luas. Bukan belah yang nampak ni jer. Sebelah kiri lepas kawasan parking tu ada tempat jualan. Ada juga kedai-kedai makan. Bahagian pantai yang boleh di akses pun makin luas. Menampung jumlah pengunjung yang datang.

Bila air surut pasirnya nampak luas. Dulu ni mesti leka aku kutip kulit siput dari hujung ke hujung. Aku masih simpan tau. Ada juga bukan aku kutip. Ada yang dihadiahkan. Entah lah kenapa aku boleh suka kumpul kulit siput pulak. Pernah di pantai Morib aku boleh ambil kepala patung dari tanah liat di pantai. Budak masa tu, mana tahu takut. Lepas pembesaran otak dah sempurna. Aku baru berfikir. Baru buang. Bila menyelusiri pantai ni macam-macam boleh jumpa. Masa ke PD dengan BFF aku. Kami jumpa botol hitam diikat kain merah. Serius seram. Malam tu masing-masing ngadun sukar tidur. Sekarang aku dah tak kumpul kulit siput. Biarkan ia kekal di laut. 

Balik dari jalan-jalan. Siapa nak beli ole-ole ikan masin, belacan bagai untuk kawan-kawan-kawan, jiran, adik beradik, mak mak mertua boleh lah menjengah ke gerai-gerai yang ada di kawasan ni  Macam-macam pilihan ada. Biasanya akan beli beberapa jenis ikan masin buat ole-ole atau saja buat stok di rumah. Kadang lalu sahaja. Cuci mata. Tengok-tengok apa yang ada.



Macam-macam jenis ikan masin dijual di sini. Kecik besar. Pilih jer. Mahal murah semua ada. Penggemar ikan masin boleh rambang mata. Belacan dia begitu rupa. Selalu tengok belacan Melaka dan Terengganu. Kat sini pun ada dijual belacan. Belacan aku beli di Terengganu dulu ada lagi. Maka tak lah sibuk cari belacan. Dulu kalau kursus di melaka mesti beli belacan. Penting belacan ni. Buat sambal. Masak asam pedas. Masak sambal tumis mesti letak belacan. 


Kalau nak cari belangkas. Di sini pun ada jual haiwan purba ni. Belangkas yang ada telur sedap dibakar, masak lemak cili padi atau masak asam pedas. Kena pandai siang. Ada bahagian yang ada racun. Kalau tak dibuang boleh memudaratkan. Nak makan belangkas siap masak boleh lah lajak ke depan lagi. Ke Faridah Mentarang Bakar di Sekinchan. Macam-macam menu berasaskan belangkas ni ada. Aku belum cuba lagi masak semdiri belangkas ni. Pertama kali makan cikgu Bob bawa dari area sini lah. Bawak ke kem. Bakar dan makan ramai-ramai. 


Pernah dengar telur ikan mayong? Telur ikan yang bulat-bulat tu? Sedap kalau masak asam pedas. Aku pernah buat. Tapi tu lah. Amatur. Masa arwah ayah jual ikan ada arwah bawak balik. Arwah mak masak sedap jer. Kenapa aku masak tak sedap yer? Di sini ada dijual telur ikan mayong tu. Aku memang beli lah. Benda susah nak jumpa. Pandai tak pandai masak belakang kira. Resepi dan you tube ada. Kalau boleh sediakan peti polistrin putih tu. Boleh beli macam-macam hasil laut. Kerangan pun macam-macam. Untung-untung musim mentarang. Boleh ler beli sekilo dua. Sekarang harganya boleh tahan. Pernah lah aku beberapa kali singgah sini. Bukan musim mentarang. Hampa lah jugak.


Di satu bahagian lagi tempat jualan makan-makan. Boleh lah bawak anak-anak makan-makan lepas penat berjalan digerai-gerai. Peniaga-peniaga ni lah yang memeriahkan kawasan Pantai Remis ni. Moga pantai ni terus terpelihara kebersihannya. Menjadi manfaat kepada penduduk sekitar dan kepada kami yang suka singgah singgah menikmati angin pantai dan indah laut. Suka juga makan kerang 




 

Isnin, 1 Jun 2015

Berbuka Puasa di Ikan Bakar Sri Nikat

Ramadhan ni ada juga yang mengambil kesempatan mengeratkan silaturahim. Berkumpul ramai-ramai. Rakan-rakan atau saudara mara untuk berbuka puasa bersama-sama. Untuk ramadhan ni 2 kali aku ke ikan bakar sri nikat ni untuk berbuka puasa. Gambar-gambar dalam blog ni pula adalah kunjungan sebelum ramadhan yang lalu yang hanya sempat disimpan di draft. Akhirnya ada juga kesempatan menulis.

Bagaimana boleh 2 kali ke Sri Nikat ni? Asalnya melayankan seorang rakan. Asalkan jumpa di masjid untuk terawih mesti sebut ikan bakar jom. Aku sedia faham ikan bakar tu maknanya di batu 23 Sungai Lui, Hulu langat la. Cukup kali ke tiga aku pun dah tak sampai hati. Yer la bila yang ajak tu umur dekat 60. Kami pun rancang satu hari untuk ke Sri Nikat.

Dari Kg Pasir, Semenyih perjalanan ke Sri nikat tak mengambil masa yang lama. Dalam 30 minit boleh sampai kalau naik honda hybrid, tapi kalau naik saga BLM aku lebih 30 minit. Setiap kali sebelum pergi mesti  buat tempahan siap-siap. Supaya tidak lama menunggu. Almaklumlah nak bakar lagi ikan tu. Sanggup ke nak menunggu bila waktu berbuka da sampai tapi makanannya tak nampak lagi? Jadi bila dah tempah siap-siap, masa berbuka puasa tu sempatlah nanti.

Ikan di Sri Nikat ni segar-segar. Kita datang pilih ikan. Terus dibakar. Menu tak banyak pilihan. Ikan Talapia atau ikan patin. Bakar atau goreng berlada. Sayur pula ada kangkong, cendawan atau kailan. Dimasak belacan, ikan masin atau biasa. Nasi pula boleh pilih nasi kosong atau nasi goreng kampung.

Menu dah sampai. Nampak menyelerakan kan? Aku pun tak faham. Sebenarnya dah bertahun dah kedai ni dari aku umur belasan sampai la umur aku da 3 siri ni. Ikan bakarnya tetap menjadi pilihan. Bermula dari aku membawa rakan sekerja ke sini mereka pun suka datang ke sini. Bagaikan satu acara bagi kami untuk makan di sini. Pantang disebut mesti akan ke sini. Istimewanya di Sri Nikat ni ikannya dibakar di atas haba arang. Bukan pada pan bakar burger. Ikannya diibakar sedang elok. Tidak hangus atau rentung. Ikannya pula manis sedap dan berasa serta tidak hanyir atau bau lombong. Sebelum dibakar perut ikan ini dimasukkan dengan bumbu istimewa. Resipi zaman berzaman. Disinilah kelainan rasanya daripada ikan bakar di tempat lain. Bukan senang yer nak jumpa tempat yang isi ikannya lembut. Setengahnya isi ikan bila besar sangat akan jadi terlalu padat rasanya akan kurang sedap. Tapi di sini walau ikannya besar, teksturya tetap lembut.


Ikan bakar ni akan jadi lagi sedap bila dimakan beramai-ramai. Berebut-rebut cubit isi ikan. Bersilang-silang tangan pula masa mengambil. Lagi meriah bila bertembung. Eh...ada orang nak datang kata orang tua-tua. Lepas tu berebut pula kepala ikan atau ekor ikan. Kalau aku, aku suka lemak di bahagian perut tu. Lepas tu gigit-gigit isi pada tulang sirip ikan tu. Layan sangatlah. Sapa tengok pun aku dah tak peduli. Untuk makluman, seekor ikan ni 500 ke 800g biasanya untuk 2 orang makan. Pernah juga sekor 1 kg. Itu pun walau 2 orang makan tetap habis di makan. Harga ikan ikut saiz. Ada sekali tu 3 orang makan rm 75. Ada juga makan 4 orang rm 53. Tengok juga apa yang dipesan. 


Untuk dua orang makan seperti di bawah ni dalam rm 35. Termasuk air limau suam satu jug kecil. Kenyang dah tentu kenyang. Sedap memang sedap la. Jika ke sini aku suka kangkungnya. Tak kisahlah masak apa. Adik yang masak ni memang pandai masak sayur, ala-ala kampung. Kuah sayur tu pun nanti aku hirup. Nasi gorengnya memang terbaik. Selalu juga kecewa bila order nasi goeng kampung tapi habis. Bukan nasi yang habis tapi cili padi yang dah habis. Tapi sejak order dulu sebelum datang ni, tak pernah kecewa dah. Kawan aku pula suka sangat air asamnya. Semangkuk tu dia sorang boleh habis kan. Aku kalau dengan keluarga semangkuk cukup. Kuah asam ni antara sebab mereka ni berulang datang ke sini. Lepas tu tanya aku pula resepinya. Aku ni spesis tahu makan ajer.


Di bawah ni suasana dah nak maghrib, atau sudah hampir waktu nak berbuka. Walaupun waktu makan sudah terhidang, kesempatan untuk berdoa tetap diambil. Berdoa banyak-banyak waktu menunggu berbuka ni. Saat berbuka adalah antara waktu mustajab doa-donya. Doalah yang baik-baik. Bulan ramadhan ni juga sangat bagus bila belanja orang berbuka puasa. Jadi ambillak kesempatan banyak-banyak untuk mendapatkan keredhaanNya.


Aku kongsikan suasana di sini. Indah sangat. Sebelum ni ada karaoke di sini tapi sekarang ni dah tiada. Jika dilihat dalam gambar kelihatan kepala paip. Itulah teempat cuci tangan yang disediakan. Ada paip-paip dekat dengan setiap pondok jadi tak perlu jalan jauh-jauh cari paip.


Ini lah pemandangan Ikan Bakar Sri Nikat pada waktu malam. Indah kan? Makan atas air dalam kolam ikan. Kalau gayat pilih meja di atas tanah. Jika suka bersila ada juga tempat makan yang sesuai bagi yang suka bersila. Tapi jika bawa orang lama tak boleh bersila. Kesian mereka yang sakit lutut. Tapi orang-orang lama di tempat aku kerja suka sangat ke sini. Makan beramai-ramai di sini sambil bercerita dan bergurau senda. Walau dah dimeja makan cerita pasal kerja tak pernah tertinggal. Pernah satu hari aku cadangkan denda 20 sen jika cerita tentang kerja. Macam mana kontrol pun keluar juga.


Tempat dalam gambar di bawah ni, adalah sebelum hujung. Dihujung tu tak boleh ramai-ramai. Berdua atau berempat sesuai duduk dihujung sekali tu. Tapi bila dengan kawan-kawan meja ni jadi piliha. Seronok bila datang ramai-ramai ke sini. Ada tu yang datang siap bawa durian. Makan ramai-ramai dengan kawan-kawan atau bersama keluarga tercinta.


Dulu masa arwah mak hidup kami sekeluarga selalu ke sini. Seorang seekor ikan bila makan. Hebat tak? Kami memang suka makan ikan talapia atau ikan patin. Bakar atau goreng. Sambut hari lahir anak buah pun pernah di sini ramai-ramai satu keluarga. Tapi semuanya kini tinggal kenangan. Bila ke sini lihat tempat ni semua kenangan tu terimbau kembali. Walaubagaimanapun syukur kerana sempat menikmati detik-detik indah itu.


Tengok tu. Makan sampai tinggal tulang. Menceritakan betapa sedapnya ikan bakar di sini. Untuk kali kedua dalam ramdhan ni kami pesan ikan talapia goreng berlada. Ini pun menjadi pilihan setiap kali datang. Ikan digoreng garing tapi masih boleh dicubit. Ekornya boleh digigit. Rangup sekali. Sambalnya enak bila dimakan dengan nasi. Puasa hati. Pastikan ikan yang dibeli tu sekor 800g ke atas jika makan dua orang. Kalau tak nanti tak puas hati.


Apa yang berlaku adalah esoknya kakak tu kata nak datang makan ikan talapia goreng cili lagi. Layankan ajerlah. Semasa aku menulis blog ni. Sekali lagi, untuk kali ke tiga pulak akak tu ajak pergi lagi hari Rabu nanti. Bila lah nak ke terawih kalau gini.

Kedai ni terletak di Paya Lebar, Batu 23 Sungai Lui, Hulu Langat. Atas sikit dari lorong ke Puncak D'Lui. Menghala ke kampung orang asli. Laluannya sempit dan sedikit gelap. Tapi tempat ni memang best. Dari pekan batu 18 belok ke kanan. Jika terus nanti ke Pangsun Sungai Congkak.


Ni no telefon Ikan Bakar Sri Nikat

0132639056