Rabu, 6 Januari 2016

Mencari Keropok dan Belacan di Merang


Cerita di Terengganu lagi. Masih lagi cerita Ogos yang lalu. Aku ni mengekor jer mana Mami dan Ain pergi. Mereka nak cari keropok dan belacan. Ramai yang kirim keropok dan juga belacan. Aku pun nak beli belacan, senang nak masak asam pedas nanti. Aku selalu makan belacan dari sini, hasil masakan Ain dan Mami. Keropok aku suka makan, asyik sekali mengunyah keropok ikan ni tetapi sayang sekali aku malas nak goreng. Biasanya kalau beli aku bagi pada jiran atau kawan-kawan atau saudara mara. Kalau masih di rumah, gitulah rupanya. Tak bergoreng.

Kedai ni terletak dekat dengan stesen minyak  Shell. Menurut Ain kedai ni dah lama. Di sinilah kalau nak mencari keropok dan juga belacan di Merang ni. Kata Ain belacan kedai ni sedap. Ikut musim juga belacannya. Masa kami ke sini ada lagi belacan. Alhamdulillah dapatlah aku beli belacan. Tapi untuk pengetahuan anda semua, dari bulan Ogos dan hari ni dah pun masuk Januari, belacan tu masih dalam keadaan itu. Berbungkus macam masa mula-mula beli.

 
Dari tepi jalan, kelihatan susunan keropok-keropok keping dalam proses pengeringan. Suatu pemandangan yang asing bagi aku. Aku sangat teruja bila lihat susunan keropok yang banyak. Seingat aku masa aku ke Terengganu sebelum-sebelum ni tak pernahlah pula aku tengok proses pengeringan keropok keping ni. Keropok dikeringkan di bawah cahaya matahari sehingga cukup kering, sebelum dibungkus. Ada juga proses pengeringan secara moden menggunakan elektrik atau pun gas. 


Keropok yang siap dibungkus dengan baik diletakkan di kedai untuk .Bagi memastikan keropok tahan lama kualiti pembungkusan adalah penting. Keropok di sini ada yang dalam bentuk keping ada juga dalam bentuk seperti kentang goreng. Panjang-panjang tapi sedikit halus. Keropok di sini aku memang suka, sedap cukup rasanya. Aku suka keropok keringnya. Biasanya aku makan di rumah Ain. Aku pernah juga beli keropok keping ni kirim dengan Ain. Biasanya kesudahannya aku tak goreng. Kawan yang tolong goreng dan bawa makan di tempat kerja sewaktu minum petang.


Dari pagar masuk lagi sudah kelihatan seolah-olah ada rewang untuk kenduri. Rupanya bukan kenduri tetapi mereka sedang menyiang ikan untuk menjadi bahan keropok keping. Satu pengalaman berharga buat aku. Dapat melihat sendiri proses membuat tulang dari ikan. Mak cik-mak cik yang membuang tulang ikan ni kelihatan sungguh cekap melaksanakan tugasan masing-masing. Ikan yang digunakan adalah ikan parang. Sebelum tulang ikan dibuang, ikan ini terlebih dahulu dijemur tapi bukan sampai kering. Bagi memudahkan proses membuang tulang temulang ikan parang yang banyak tulang.


Mak cik-mak cik ini bukan sahaja cekap, mereka juga ada pembahagian tugasan, ada yang buang kepala dan isi perut, ada yang asingkan tulang dan isi ikan dan ada juga yang asingkan isi ikan dari tulang kecil. Kerja mereka sangat tersusun. Serta bekerjasama. Apabila bahagiannya sudah selesai dibantunya pula rakan yang lain. Di bawah ni gambar ikan yang telah diasingkan dari tulang.

Daripada kepingan isi ikan di atas, menjadi isi ikan seperti di dalam gambar di bawah. Nampakkan betapa ikan parang ni memang banyak tulang. Tapi ikan parang ni sedap, masak asam pedas pun sedap. Teringat pula rasa asam pedas ikan parang. Ikan yang sedap ni bila sudah jadi keropok tak pernah pun lagi aku  tercekik tulang masa makan keropok ikan. Isi ikan ini kemudiannya dicampur dengan bahan-bahan seperti tepung di dalam mesin untuk dijadikan adunan. Mesin ni meratakan bahan-bahan agar sebati dan rata. Atau kata lain ini bahan-bahan ini diuli sebelum dibentukkan panjang-panjang.

  
Adunan yang siap terbentuk, di rebus pula di dalam air panas. Sampai masak. Bila telah masak dan sejuk, daripada bentuk panjang-panjang inilah kemudiannya dipotong nipis-nipis. Masa aku ke Kelantan waktu umur 18, waktu berkunjung ke rumah rakan sebagai ole-ole maknya bekalkan kami keropok yang belum dipotong nipis ni. Ibunya pun ada buat keropok. 


Kepingan-kepingan keropok kemudiannya dijemur sehingga betul-betul kering. Banyak juga keropok yang dihasilkan. Secara tidak langsung penghasilan keropok keping ini membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat. Menurut Ain dia pun pernah buat kerja sambilan asingkan tulang dari isi ikan suatu masa dulu. Tapi pada waktu ini aku hanya lihat mak cik-mak cik yang bekerja.

Terima kasih pada tuan punya kilang keropok, dengan baik hati melayankan saya dan rakan-rakan. Rasa seperti rombongan sambil belajar. Jadinya aku catatkan diblog ini, agar aku tidak lupa. Yer tak pernah aku lihat proses buat keropok yang lengkap. Aku selalunya makan sahaja keropok. Bila ke Terengganu tahunya cari keropok. Melihat kegigihan mereka berusaha menjadikan ispirasi. Usaha tangga kejayaan.

Ahad, 3 Januari 2016

Makanan Timur Tengah di Al Rawsha


Rasa nak makan sesuatu. Bincang-bincang nak makan apa. Tiba-tiba keluar nama Al-Rawsha. Sebenarnya aku nak cuba makan di Too Woo Mba, Sentul. Tapi disebabkan sorang lagi ni katanya teringin nak ke Al-Rawsha, di Bulatan Kampung Pandan. Makan makanan Arab, katanya sedap. Tak apa selagi ada kambing di situ aku setuju ajer. Layankan sahaja la. Ini bermakna entry ni sepatutnya lebih awal dari entry Too Woo Mba. Banyak nyer cerita nak kongsikan? Satu-satu ya, akan dihabiskan. Macamlah blog aku ni orang tunggu entrinya. Banyak lagi cerita masih di fasa draft lagi. 

Makan dan jalan-jalan sahaja kerja aku tahun lepas. Tahun 2016 ni moga rezeki lebih luas. Tak mau kerja tapi nak jalan-jalan dan makan-makan ajer, boleh ke gitu? Pergi makan dan jalan-jalan, lepas tu cerita pasal makan dan jalan-jalan jer. Bahagianya. Berangan lebih, nak tulis blog tapi banyak tak ingat, tak bersedia. Waktu ni pun aku tak ambil gambar buku menu. Terpegun dengan bangunannya yang tersergam. Bangunannya besar, ruang dalamnya luas dan siap dengan hiasan dalaman yang cantik. Ramai pelanggannya. Tapi tempat nyer luas. Jadi pilihlah mana nak duduk.


Aku pilih untuk makan Lamb grill. Bersama roti. Macam capati tu rotinya. Bahagian bawah tetap ada roti. Banyak pula aku makan roti hari ni. Ini pertama kali makan kambing grill cara Timur Tengah. Ada juga kentang goreng. Jenuh aku menghabiskan. Perapan daging kambingnya meresap ke dalam kambing memberikan bau dan rasa yang enak. Masih panas-panas masa dihantar. aroma baunya. Terus perut lapar. Lama tau dalam kereta nak sampai ke sini. Lebih kurang 50 minit. Cuma kambingnya tu kurang juicy. Selebihnya layan bila dimakan. 


Seorang lagi pesan kabsa kambing. kambing yang ni memang sedap. Jus-jus kambing tu memang terasa. Perapan nyer mesra dengan rasa kambing tu. Tak perlu takut pada bau hamis kambing. Aku rasa macam nak habiskan jer. Tapi kang marah pulak empunya nasi ni. Lapar-lapar masa ni. Masa sampai ni hampir pukul 9. Selalu aku makan malam 1830. Manalah tak lapar.


Air aku pilih mint teh. Dihidangkan dalam teko comel dan cawannya pun comel. Aku suka minum teh, minum teh panas-panas kemudian tanpa gula. Sedap betul. Tapi tak semua orang suka teh panas tanpa gula. Teh ni sedap bagi aku. Rasa daun pudina. Memang padanlah dengan makanan yang dimakan. Aku memang dah kurangkan kembali pengambilan ais. Untuk kesihatan. Macam-macam pendapat. Tapi yang penting akibat ais pada diri aku. Aku yang rasa, jadinya pendapat apa pun aku tolak tepi. Bagi aku ais tak bagus untuk kesihatan aku. tapi kalau orang hidang aku minum ajer, tak baik susahkan orang.

            

Jika suka atau pun mahu rasa makanan Timur Tengah datanglah sini. Ada banyak pilihan makanan. Pastinya sedap-sedap. Orang Malaysia ni sangat terbuka. Dah jadi lambakan makanan dah rasanya. Mudah terima selera luar. Lihatlah mana-mana kedai makanan dari negara lain selalunya penuh, macam Sushi King, kena beratur pula kadang-kadang tu. Tengok ajer roti canai. Terus mendapat tempat di selera orang Malaysia walau banyak tohmahan dan video pasal roti canai ni. Itulah keunikan Malaysia ni. walau bangsa apa pun. Tetap suka roti canai.

Sabtu, 2 Januari 2016

NY Steak Shack...Jom Makan Kambing

Sudah pun menghampiri Disember. Saat-saat perhitungan sudah hampir tiba. Sekarang berat aku 69.4 kg. Alhamdulillah. 5.4 kg lagi perlu dihilangkan. Tapi pantang dengar tempat makan atau pasal makanan. Antena tu mulalah panjang. Semalam berborak dengan sepupu aku si Nazirul tu. Kali ni dia kata Kambing di NY Steak Shack sedap. Aku memang percaya cakap dia. Too Woo Mba pun dia yang citer. Sampai ke hari ni Too Woo Mba memang manang.

Aku pun bercerita pada mami yang sememangnya penggemar kambing. 2 entry kat blog ni, gara-gara mencari kambing. Seperti biasa. Jom Ajim. Aku ada banyak nama. Ajim satu dari nama aku. Aku pulak pantang diajak. Asal isi minyak kereta (biasalah kerja makan gaji duit dihabiskan dihujung jari). Masa ada buat cara ada. Bila dah tak ada duduk diam-diam. Tapi bila bercerita tentang rezeki. Rezeki ada di mana-mana. Bukan sekadar wang ringgit. Apa pun aku tetap bersyukur. Aku dan Mami pun ke NY Steak Shack, di. IOI City Mall lagi.

Inilah buku menunya. Kulit luar buku menu ni dah nampak hebat. isinya mesti lagi hebat. Masa kami makan ni nampak macam mereka ni berbincang. Mungkin berbincang strategi perniagaan. Macam mana nak tingkatkan sale. Sempat lagi nak menyibuk hal orang. Bukan hendak sibuk tapi orang macam aku ni yang sedikit kuat visualnya. Sebab nampak sangat mereka ni berbincang. Tu yang perhatian tertumpu ke sana.


Menu pelbagai di sini, ada steak, pasta, burger, salad dan kambing. Untuk hari ni aku tak tengok benda lain. Mata terus cari kambing. Memandangkan aku dan mami penggemar kambing. Lagi pun kata si Nazirul kambingnya sedap. Ada 3 bahagian kambing ada di sini. Tetapi aku pilih lamb shoulder. Rasa sedap kambing yang cheff rini masak hari tu teringat-ingat. Bukan penggemar kambing pun jatuh cinta. Inikan pula penggemar kambing. Bila lagi dia nak ajak makan free ni?


Lepas dah pilih nak makan kambing tu. Kena buat pilihan. Kambing tu nak makan dengan sos apa. Ada 4 pilihan. Sidesnya pun boleh dipilih. Aku nak cuba pumpkin rice. Apalah rasanya agak-agaknya. Kena ada 2, jadi lagi satu aku pilih mashed potatoes. Kena pilih 2 sahaja dari 6 pilihan. Masa ni katanya fries habis. Selalunya fries dan mashed potatao jerlahkan jadi member kambing. Kambing tu pun dia tanya nak masak macam mana. Katanya medium rare tak sesuai untuk kambing. Jadi kambing ni well done la jadinya.


Air pun pelbagai pilihan. Begitu juga dengan kehidupan. Setiap pilihan ada consequence nya. Pilih cappuccino kadang-kadang tak boleh tidur. Ais tak baik untuk orang yang makan jamu. Jadi aku order teh. Coach kata nak kurus perlu kurangkan gula. Jadi aku pilih tea. Kelakar betul tea lipton jer pon. Dalam ni rm 6++. Tiada pilihan teh lain. Bolehlah. Waktu hujan ni sejuk-sejuk. Dapat teh panas ok jugak.


Susun atur premisnya. Tersusun kemas. Hiasannya simple dan menarik. Entah kenapa tempat makan suka sangat warna merah, hitam dan putih? Aku suka duduk kat yang macam kerusi merah tu. Senang aku nak gerak ke kiri ke kanan. Seronok sikit duduk lama-lama sambil berborak. Ada wifi percuma di sini. Tak perlu pasword. Pekerjanya pun peramah dan good looking. Majoriti lelaki.


Gambar di bawah ni saja-saja. Tak ada kerja cari kerja. Mengisi masa lapang, sementara menunggu yang diidamkan. Nak tunjuk bakat terpendam sebenarnya. Konon-konon artistik. Konon-konon kreatif cari angel. Ada cita-cita nak jadi fotographafer. Tapi setakat cita-cita jerlah. Ilmu pun tak ada. Ambil gambar pun belasah sahaja. Ambil gambar dari sudut pandangan sendiri jer. Bolehlah sekadar penghias blog yang tak seberapa ni. 

Inilah dia. Terhidang panas-panas. Masih berasap. Kadang-kadang terdengar lagi decisannya. Aku ralik kejap tengok asapnya. Nampak menyelerakan. Lamb shoulder ni kalau aku beli kat maydin mami perapkan. Bakar dan aku tukang makan. Sedap. Di sini Lamb shoulder ni di grill beralaskan bawang. Aroma bau bawang bercampur bau kambing. Kemudian dilengkapkan dengan bau rosemary. Lapar terus. Siapa suka bawang puas hatilah. Banyak bawangnya. Mami dapat yang tulangnya besar. Membebel jap. Bahagian lemak dia bagi pada aku. Aku memang suka lemak. Dagingnya sukar dipotong. Urat-uratnya sedikit liat. Sukar sedikit bila nak potong. Ambil masa juga untuk dikunyah. 


Nasi labu atau pumpkin rice tu sedap. Aku makan macam tu ajer. Habis tak tinggal sebutir pun. Rezekikan. Mami belanja ni. Rasa labu yang manis tu dan lemak tu di satukan dengan rasa nasi. Apa rasanyer yer? Macam nak cuba buat di rumah nanti. Bilalah tu? Mashed potatonyer juga cukup rasa. Tapi aku celup dengan sos blackpaper. Bagi lagi sedap. Sos button mushroomnya cukup rasa. Cendawannya pun ada. Aku siap habiskan sos cendawan butang tu. Macam makan mushroom soup.


Di bawah ni adalah teh lipton yang aku order. RM6 okey. Kena habiskan ni. Tapi adalah 2 kali aku tambah lagi air panas. Mana-mana aku pergi kalau aku pesan teh jika tiada teko aku mesti tanya boleh tambah air panas tak. biasanya mesti boleh. Tapi di sini tiada air teh lain sebagai pilihan.


Lepas ni kedai mana pulak di IOI City Mall ni yer? Hidup ni banyak benda baru yang boleh dicuba. Ada yang boleh bawa perubahan baik atau buruk dalam kehidupan. Ada juga sekadar penyeri hidup. Tapi penting sebagai hadiah kepada diri setelah bekerja keras. 

Apa pun hari ni makan free. Terima kasih Mami :)

Jumaat, 1 Januari 2016

Sedap Nyer Mee Udang di Pantai Bagan Nakhoda Omar

Hujung Nov yang lalu aku berpeluang lagi ke Sabak Bernam. Dalam tahun ni juga dalam bulan Jun aku berjalan-jalan cari makan di kawasan Haji Dorani, Sungai Besar. Sebenarnya waktu tu untuk menghadiri kenduri arwah anak kepada rakan Mami,  Aku ikut sahaja. Waktu tu Mami ajak. Orang ajak. Seperti biasa, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Tapi kali ni aku ke Sabak Bernam untuk kenduri sambut menantu. Sepupu aku yang khawin di Bangi hujung Oktober yang lepas.

Masa ke Hj Dorani, sakan berhenti bila jumpa tempat-tempat makan yang dikatakan sedap. Beria tanya Mr Google waktu tu disebabkan bukan aku yang memandu jadinya aku gatal tangan Google cari mana tempat makan. Kali ni aku taklah sibuk tanya Mr Google. redha jer dibawa ke mana. Tetapi ternyata Pak Usu aku dan anaknya sangat cekap bab makan. Sekepalalah pulak. Bila Pak Usu aku kata petang nanti kita pergi makan Mee Udang di Bagan Nakhoda Omar. Nama manja tempat ni BNO . Senyum sampai ke telinga aku. Aku memang suka makan mee udang yang aku sangka  "prawn mee". Masa aku belajar di Serdang aku dan kawan sanggup naik taxi ke Mines untuk makan "prawn mee". Itu adalah "prawn mee" paling sedap yang aku pernah makan. Sekarang ni dah merata aku pergi tak jumpa lagi.

Kali pertama aku makan mee udang adalah di Padang Kota, Pulau Pinang, yang ke dua adalah di Kuala Sepetang. Rupanya mee udang ni bukanlah macam "prawn mee" yang aku tergila-gilakan. Rasanya sangat berbeza. Prawn mee tu masakan Cina. Kuahnya tidak pekat dan dimakan bersama petis. Mee Udang pula pekat kuahnya dan udangnya pun  banyak. Walau sangat berbeza mee udang dengan "prawn mee" yang aku idamkan tapi aku tetap makan banyak. walau aku dah belasah berbiji-biji kuih kopi dari labu di rumah kenduri dan setinggan nasi. Sedap rasa kuah Mee udang ni dan kena dengan selera aku rasa masin garam dan bumbunya kena dengan manis udang. Manis udang yer bukan manis gula. Gambar di bawah ni nampakkan mee udang ni menyelerakan.


Tempat ni sangat ramai yang datang untuk makan. Terutama pada hari cuti. Lihatlah betapa santainya kawasan ni. Jadinya perlu ada kesabaran di sini, terutama apabila hujan. Tempat duduk terhad. Hanya ada dua gerai di sini dan apabila duduk di meja A tak boleh order di kedai B. Begitulah sebaliknya. Jika hari tidak hujan dan orang tidak ramai. Bolehlah berborak panjang. 


Jika orang ramai dan dah ada yang tunggu meja tu, kena fahamlah dan perlu ada prihatin. sambunglah borak sambil jalan tepi pantai, atau pergilah berborak di tepi pantai. Di tepi pantai ada yang menjual belon buih dan layang-layang. Ada juga yang menjual air dan kudap-kudapan. Aku pun turut rasa teruja, mengejar belon buih. bolehlah aku tercengang tengok banyak buih belon sekali tiup. Bukan tiup pakai mulut yer. Bulatan benang tebal yang banyak, bukan satu. Bulatan-bulatan tu di rentang melawan arah angin. Terhasillah belon buih yang banyak.


Masa ni aku terfikir kalau buat sesi fotografi jenuhlah berapa orang nak pakai tukang hasilkan belon. Tiba-tiba nampak belon banyak-banyak dari arah angin pantai. Tak perlu pakai ramai orang pun. Dan dan aku nampak pasangan pengantin sedang bergambar. Memang menggunakan belon sebagai latar belakang. Penat jer aku nampak tukang buat belon tu. Tukang ambil gambar pun macam tak puas jer. Tapi kenapa belon depa tak semeriah belon si penjual?


Hari dah nak maghrib. Tak sempat hendak melihat matahari melabuhkan sinarannya. Perlu balik ke homestay. Untuk berehat sebelum majlis esok hari. Dari jauh beginilah kawasannya. Kawasan letak keretanya pun banyak. Tak susah cari tempat letak kereta. Sesuai bawa anak santai-santai di tepi pantai sambil minum petang. Tempat ni pukul 7 dah tutup tau. Lambat tak dapat lah. Nasi goreng udangnya pun sedap tau, bolehlah cuba. Kalau tak nak makan makanan berat boleh lah makan kerang bakar. Makanan ni nombor 2 sebenarnya yang penting adalah proses lepak-lepak makan-makan borak-borak dengan keluarga. Kebelakangan ni sebenarnya dah lama tak begini dengan keluarga Pak Usu aku, kekangan tugas dan rutin harian yang ketat. Sibuk tu memang akan selalu ada. Paling penting luangkan lah masa. 

Terima kasih Nana belanja hari ni...:)


Sabtu, 26 Disember 2015

Berkelah di Pantai Rhu Tapai

Ini adalah sambungan entry aku di Terengganu. Baru berkesempatan. Lama dah sebenarnya aku ke Pantai  Rhu Tapai ni. Aku ke Pantai Rhu Tapai ni pada bulan Ogos yang lalu. Kebetulan pula pada bulan Ogos. Sebenarnya aku suka bulan Ogos. Bulan Ogos semua warga Malaysia tahu, bulan ini merupakan bulan kemerdekaan bumi bertuah Malaysia. Bagi aku pula bulan Ogos adalah bulan aku lahir ke dunia. Bulan Ogos biasanya pada tiap-tiap tahun akan berlaku banyak perkara menarik dalam hidup aku. 

Untuk tahun ini aku ke Terengganu bersama sahabat. Sebelum ke Terengganu ni aku bercuti di Perak juga bersama sahabat-sahabat. Ada juga aku catatkan diblog ni. Macam cerita di Terengganu ni juga, belum sempat nak diceritakan semuanya. Aku nak cerita juga dalam blog ni pekara paling menyeronokkan, tanpa disangka aku dapat hadiah tinted kereta. Bertuah betul bulan Ogos. Tak kisahkan lambat cerita. Selagi aku boleh recall semula. Bila lupa nanti, padan muka aku.


Sebenarnya kali ni aku mengikut sahabat aku Ain ni ke Terenganu dengan hajat yang sangat besar. Lebih besar dari dunia. Wow besarnya hajat. Mudah-mudahan dipermudahkan. Mana tahu di bumi Darul Iman ini semuanya selesai. Manalah tau rezeki pada kali ini. Tak malukan ikut orang balik Kampung? Apasalahnya kan menumpang kasih? Orang tak ada mak ayah macam ni lah menumpang kasih pada yang sudi. Alhamdulillah syukur. Jauh-jauh sampai ke Terengganu. Urusan selesai juga. Hajat tercapai dan urusan dipermudahkan.

Kenapa mesti aku sibuk nak ikut Ain ni balik kampung?Siap ada hajat lagi. Rapat sangat ke? Apa istimewanya antara aku dan Ain ni. Mesti ke nak kena rapat-rapat sangat baru boleh ikut balik kampung? Kadang-kadang tu lama kenal bukan lah ukuran. Kami bukan sekadar berkongsi bulan kelahiran malahan turut berkongsi tarikh lahir. Pulak tu kami sama-sama anak bongsu. Banyak persamaan. Itu tidak bermakna kami kongsi boyfriend yang sama yer. Dia juga peneman bila nak makan sushi. Inilah antara sahabat yang aku ada. Aku kalau bersahabat memang sampai kenal mak ayah.

Alang-alang berada di Setiu ni. Ain yang bawa aku ke Pantai Rhu Tapai ni. Masa datang sini, aku tak tau pun tempat-tempat menarik dekat-dekat sini. Selalunya aku nak ke mana-mana mesti nak tanya Mr Google. Kali ni aku memang ikut ajer di mana aku di bawa. Pasrah betul. Rupanya pantai ni sangat indah. Pasir pantainya yang putih dan lautnya biru. Refleksi dari kebiruan langit yang membiru. Pokok-pokok Rhu banyak di tepi pantai. Adakalanya bagaikan melambai tetamu yang hadir. Kelihatan juga Bot-bot nelayan di tepi pantainya yang indah dan luas.


Sebelum datang ke Pantai Rhu Tapai ni Ain dan Mami beria membuat persiapan untuk berkelah di tepi pantai. Macam-macam makanan dimasak. Ada juga ikan yang siap diperap untuk dibawa ke Pantai untuk dibakar. Meriah nya nanti. Sebab berkelah ni bersama keluarga Ain. Masa ni program BMI letak tepi dulu. Paling penting nikmati saat ini. Tiba di Pantai kami memilih kawasan paling hujung. Hanya beberapa meter dari rumah lama yang mungkin ditinggalkan. Berehat di bawah pokok Rhu. Sambil menikmati belaian angin. Kami siap bawa tikar dan bantal tau. Sememangnya nak berehat sambil makan-makan.


Selesai makan. Matahari sedang memancar dengan terik. Pasir pantai pun panas waktu kami semua sibuk nak mandi. Aku mula-mula rasa was-was. Takut panas, takut muka terbakar. Tapi bila dah mula badan terendam. Rasa sejuk, walau hakikatnya matahari sedang mencanak naik. Tiba-tiba Mami rasa gatal-gatal. Aku pun rasa jugak. Tapi aku tak hiraukan. Punyalah seronok. Tak hirau dah. Tapi Mami dah mula ajak naik. Takut keadaan makin teruk. Macam tak rela jer. Kami pun naik. Warna hijau tulah yang buat gatal. Ain kata tu rumpai. Ni kut yang digunakan untuk buat kerabu sare.


Sambil-sambil berehat kami tunggu nelayan tiba di Pantai. Manalah tahu ada ikan segar atau sotong. Tidak sia-sia menunggu. Penuh teruja aku pun segera berlari melihat nelayan naikkan bot ke Pantai. Sebelum ni aku lihat di Pantai di Yogjakarta. Mereka bekerjasama menolak bot ke Pantai. Di sini dapat lihat mereka saling membantu. Semangat tolong-menolon jelas kelihatan sesama mereka. Sempat pula aku lihat ada bendera Malaysia. Kan dah kata masa aku ke pantai ni bulan kemerdekaan. Pada bot  berkibar megah bendera Malaysia.


Bot baru sahaja naik ke Pantai kami  sibuk merapati bot. Tak sabar  hendak melihat hasil tangkapan. Sanggup berada di atas pasir yang panas. Sanggup terkena pancaran terik matahari. Bukan aku sahaja, anak buah Ain pun sama juga sibuknya. Bagi aku ini pengalaman yang berharga. Mami sibuk membeli. Aku pun sangat sibuk waktu ni. sibuk ambil foto.


Mak cik ni berurusan jual beli. Pak cik nelayan tadi pas baton untuk urusan jual beli pada mak cik ni. Untuk ikan kerisi dan sotong, kami dapat harga yang berpatutan. Sebenarnya bukan kami, Mami yang dapat harga berpatutan dan Mami yang bayar. Harga yang diletakkan membuatkan aku berfikir, berbaloikah harga itu dengan masa yang diambil untuk berada di laut? Berbaloikah harga itu dengan panas terik matahari yang menyelar tubuh dan Wajah? Mulianya pekerjaan mereka sebagai nelayan. Hanya mereka yang cukup mengerti kehidupan mereka sebagai nelayan.


Jika dilihat sotong ni. Besar-besar. Macam sotong yang aku pilih di Bagan Lalang atau di tempat makan ikan bakar terkenal di Melaka untuk sotong celup tepung. Teringat sotong celup tepung yang aku makan pada hari sebelumnya. Bila lihat ni. Teringin pula aku nak rasa mencandat sotong. Besar-besar ni sotong. Di acara tahunan di Terengganu. Acara yang bermusim. Harap-harap dapat rasa.


Waktu siang sotong ni. Aku tolong tengok jer Ain siang. Sambil tu aku belajar. Padanlah, kalau di Melaka atau Bagan Lalang sotongnya ala-ala cincin. Di sini lain pula rupanya. Kali pertama aku tengok orang siang sotong besar ni. hasilnya adalah seperti di dalam gambar di bawah. Resepi si Ain. Sedap sungguh. Sotong segar-segar dari laut. Rasa tak nak berhenti makan. Tapi kena berhenti sebab sudah habis.

Aku sangat gembira hari ni, bukan sahaja sebab makanan atau bukan sahaja keindahan pantai tapi sebab aku dikelilingi oleh orang-orang yang penyayang jiwanya. Walau kami tiada pertalian darah tapi aku dapat rasa kehangatan kasih sayang mereka. Dalam hidup ni tak rugi apa pun apabila menggembirakan orang lain. Budi dan jasa tidak terbatas. moga Allah merahmati kalian.

Aiskrim Magnum di IoI City Mall

IOI City Mall memang terkenal dengan macam-macam kedai makan. Makanan laut, makanan darat makanan udara, semua ada. Makanan Korea, makanan Cina, makanan Jepun, makanan barat, makanan tempatan dan macam-macam negara semua ada. Nak cuba satu-satu dalam masa sehari memang tak akan dapat. Ambil masa berbulan. Tak dapat nak ke sini setiap minggu. habis budget melancong nanti. Tapi tak semua kedai nak dicuba. Antara yang  mesti dicuba oleh aku adalah Aiskrim Magnum. Aku suka makan aiskrim. Tengah hati panas lagi suka aku cari aiskrim. Aku selalu lihat kelibat iklan aiskrim Magnum ni di ruang Fb. Menggoda sungguh. Lihatlah gambar di bawah ni. Nampak sangat sedap.


Sebenarnya dah beberapa kali aku lalu depan kedai Aiskrim Magnum ni. Aku tengok ajer dari luar. Masa aku lalu tu bulan 12 rasanya 2014 lagi masa tu. Aku tengok-tengok harganya dulu. Masa aku menikmati aiskrim Magnum ni pada bulan Jun. Baru nak terbitkan. Simpan sampai bersawang. Entry ala-ala macam dah basi. Tapi nak jugak catatan ni ada di blog ni. Banyak benda aku dah tak ingat. Bila aku baca blog aku ni aku sedarlah aku dah pernah makan di sini. Kalau tak ingat nanti tiap-tiap bulan aku pergi.

Sudah di depan pintu. Jadi aku perlu buat pilihan. Jika nak makan di luar, aiskrim sahaja dalam harga tak sampai RM 10. Aiskrimnya custom made. Pilihlah nak macam mana. Tapi aku nak duduk rehat-rehat. mahu makan di dalam. Aku buka buku menu macam-macam pilihan menu. Tapi aku tengok aiskrim sahaja. Masa ni lupa ambil gambar buku menu. Aiskrimnya ada juga yang harga sampai Rm 25. Pilihan aiskrim yang ada terhad tak berapa banyak. Apa kenalah aku hari tu. Padahal baru jer makan di Dubu-dubu.


Duduk berehat sambil menikmati aiskrim. Satu saat yang sangat indah bagi aku. Tak kira di mana. Walau di parking kereta di stesen minyak. Bila dapat menikmati aiskrim di kerusi yang empuk. Dalam premis yang indah susun aturnya. Tentunya dalam sejuk aircond. Nyaman jer suasana. Hilang penat. Jika sedang penat hilang penat. Jika sedang marah, hilang marah. Jika panas hilang panas. Di Bawah ni gambar aiskrimnya. Lihat pun menarik. Gambar ni sebelum aku curah kuah. boleh ke kata kuah? Bolehlah. 


Makan aiskrim lepas tu nak minum air panas pulak. Macam-macam pulak selera hari ni. Lepas geram ke apa ni? Aku teringin pulak nak minum coppucino. Layankan ajerlah. Bukan kehendak siapa-siapa pun selera diri sendiri jugak kan? Lama lah jadinya aku melepak di sini.

Baiklah dah rasa. Jadi cukuplah sekali. Bukan sebab tak sedap. Tapi cukuplah dah rasa. Kalau ada orang baik hati nak belanja, boleh ajer.

Khamis, 24 Disember 2015

Terlekat di Kedai Buku DuBook di Bangi

Masa aku ke kedai buku Dubook ni hari Jumaat tapi aku cuti.  Jumaatkan hari kerja. Kenapa yer? Kerana aku ada saudara mara. Macamlah aku jer yang ada saudara mara kan? Hari ni aku ambil cuti. Sebab masa yang ada merupakan masa untuk bersama saudara mara kerana esok adalah hari perkahwinan sepupu aku. Jadinya sebagai seorang sepupu serta anak buah yang ringan tulang aku pun bersedia untuk memberi pertolongan semampu diri aku. Padahalnya bukanlah berat sangat yang aku nak tolong pun. Gempak jer lebih. Kenduri diadakan di dewan dan menggunakan khidmat katering. 

Seperti yang dijanjikan aku telah pun tiba tepat pada masanya di Hotel Arina, Bandar Baru Bangi. Terletak di depan bangunan yang berhadap  Billion. Memandangkan aku sampai awal dari keluarga Pak Usu aku. Sebab teruja nak tolong masukkan telur pada bunga telur. Itu jer pun tugasannya. Jadi aku melilau di kawasan tu. Dalam banyak-banyak kedai aku tertarik dengan kedai buku. Kedai buku yang bernama Dubook. Sekali dengar macam nama binatang. Tapi memang gambar binatang tu sebagai logonya. 

Apakan daya hati terpaut. Lalu depan kedai ni pun buat dua kali toleh. Perlahan aku jalan sambil memerhati. Pertama yang mencuri hati adalah coretan-coretan pada dinding luar kedai. Coretan-coretannya diambil dari penulis-penulis agung Malaysia dan Indonesia. Siapa dalam dunia penulisan yang tak kenal Usman Awang? Siapa yang tak kenal dengan Chairil Anuar? perkara ke dua adalah gambar Usman Awang Black and white. Teringat aku banner pertama aku diusia belasan tahun. Aku lukis gambar pengasas PBSM dan gantung di sekolah masa hari PBSM. Suka bereksperimen aku ni.  


Mula-mula hajat hati aku nak cari kedai. Nak duduk-duduk sambil menikmati air kopi. Sambil-sambil tu boleh berangan. Sambil-sambil on line.  Apa yang membuat aku patah balik dan melekat dalam kedai DuBook ni adalah ayat pada pintu kedai. Ayat itulah yang membuatkan aku masuk kedai ni. lepas baca aku senyum. lepas tu bagai disihir aku pun menolak pintu dan melangkah masuk kedai. Nak tahu apa ayatnya. Datanglah sendiri. Ada unsur-unsur kejutan sikit kali ni. Jeng...jeng.....jeng.....

Masa aku di dalam kedai ni. Aku belek buku-bukunya. Tiada tanda harga. Aduhai. Aku masih lagi terus membelek. Dalam pada itu kepala aku ligat berfikir rm berapalah harganya. Yerlah nak buat budget. Kalau boleh nak beli satu buku dari sini. Dalam pada aku membelek. Aku ternampak buku bertajuk Terima Kasih Si Babi Hutan. Penulisnya Lepat. Aku ada like page Lepat ni. Kenal tak Lepat? Aku suka ajer mengikuti kisah dirinya. Secara tidak langsung banyak yang boleh dipelajari dari kisah-kisah dirinya. Apa pun aku suka tengok video anak-anaknya terutama Aminah. Manis dengar dia berbahasa Melayu. Walau membesar di negara orang.


Akhirnya aku tanya adik yang jaga kedai ni. Kenapa tak ada ada tanda harga? Adik tu kata "barulah hipster kak". Aduh terlopong lagi aku. Apa pulak hipster ni? Sebagai orang yang bekerja dengan orang muda. Aku kena klik dengan minat orang muda. Tak pasal jadi satu kerja pulak pada diri aku. Carilah maksud hipster ni. Barulah aku tahu wujud genre hipster dalam penulisan. Orang muda macam-macam idea. Darah panas dan adakalanya masih dalam krisis identiti. Semangatnya membuak-buak. Teringat pula aku isi buku yang aku beli di sini. terbitan DubookTajuknya "Lalu Aku Hidup Sebagai Apa". Buku yang menggabungkan penulisan berinspirasi untuk anak muda dan mengambil semangat HAMKA. Terselit juga kisah anak muda yang berjaya. Seperti HAMKA sendiri. Terlibat dalam penerbitan islam pada usia hujung 20 an.  Kisah Muhamed Al-Fateh berjaya menakluk Constatinopel. Bagus juga hasil garapan penulis-penulis ni.

Selain buku-buku hipster ni. Ada juga buku-buku cinta karya dari penulis dari seberang. Seperti Bila Cinta Bertasbih. Ternyata karya mereka juga mendapat tempat dihati orang-orang hipster ni. Jadinya tak salah mencuba sesuatu yang baru. Masing-masing ada cara masing-masing. Sebenarnya hanya untuk mendapatkan yang satu. Bagi aku yang satu itu adalah keredhaan Ilahi. Aku tertarik dengan konatasi dari hasil penulisan HAMKA

 "kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup, kalau kerja sekadar kerja, kera di hutan juga bekerja".

Jadinya....kesimpulannya di sini Lalu Aku Hidup Sebagai Apa?



Apa pun kedai ini walau motonya "Liar dan Angkuh" memberikan satu dimensi yang baru dalam hidup aku. Aku beli buku disini pada hujung Oktober dan berkesempatan membacanya ketika perjalanan aku di Turki. Ketika melihat keindahan Bursa. Laut Marmara yang terbentang luas. Memang penulisannya memberi inspirasi. Ada juga penulisan Hamka berinspirasikan alam yang sangat seiring frekuensinya dengan hati dan keindahan alam yang sedang aku nikmati dan juga hasil pembelajaran yang diperolehi.

Cari lah buku di sini. Mana tahu ada yang berkenan di hati. Jika tidak tahu nak pilih yang mana satu. Tidak mengapa, kerana di satu sudut tersenarai 10 buku yang terlaris. Dari situ bolehlah dijadikan panduan.Apa pun aku suka dengan "freedom of writing". Orang macam aku yang tiada asas penulisan pun boleh menulis.