Cerita di Terengganu lagi. Masih lagi cerita Ogos yang lalu. Aku ni mengekor jer mana Mami dan Ain pergi. Mereka nak cari keropok dan belacan. Ramai yang kirim keropok dan juga belacan. Aku pun nak beli belacan, senang nak masak asam pedas nanti. Aku selalu makan belacan dari sini, hasil masakan Ain dan Mami. Keropok aku suka makan, asyik sekali mengunyah keropok ikan ni tetapi sayang sekali aku malas nak goreng. Biasanya kalau beli aku bagi pada jiran atau kawan-kawan atau saudara mara. Kalau masih di rumah, gitulah rupanya. Tak bergoreng.
Kedai ni terletak dekat dengan stesen minyak Shell. Menurut Ain kedai ni dah lama. Di sinilah kalau nak mencari keropok dan juga belacan di Merang ni. Kata Ain belacan kedai ni sedap. Ikut musim juga belacannya. Masa kami ke sini ada lagi belacan. Alhamdulillah dapatlah aku beli belacan. Tapi untuk pengetahuan anda semua, dari bulan Ogos dan hari ni dah pun masuk Januari, belacan tu masih dalam keadaan itu. Berbungkus macam masa mula-mula beli.
Dari tepi jalan, kelihatan susunan keropok-keropok keping dalam proses pengeringan. Suatu pemandangan yang asing bagi aku. Aku sangat teruja bila lihat susunan keropok yang banyak. Seingat aku masa aku ke Terengganu sebelum-sebelum ni tak pernahlah pula aku tengok proses pengeringan keropok keping ni. Keropok dikeringkan di bawah cahaya matahari sehingga cukup kering, sebelum dibungkus. Ada juga proses pengeringan secara moden menggunakan elektrik atau pun gas.
Keropok yang siap dibungkus dengan baik diletakkan di kedai untuk .Bagi memastikan keropok tahan lama kualiti pembungkusan adalah penting. Keropok di sini ada yang dalam bentuk keping ada juga dalam bentuk seperti kentang goreng. Panjang-panjang tapi sedikit halus. Keropok di sini aku memang suka, sedap cukup rasanya. Aku suka keropok keringnya. Biasanya aku makan di rumah Ain. Aku pernah juga beli keropok keping ni kirim dengan Ain. Biasanya kesudahannya aku tak goreng. Kawan yang tolong goreng dan bawa makan di tempat kerja sewaktu minum petang.
Dari pagar masuk lagi sudah kelihatan seolah-olah ada rewang untuk kenduri. Rupanya bukan kenduri tetapi mereka sedang menyiang ikan untuk menjadi bahan keropok keping. Satu pengalaman berharga buat aku. Dapat melihat sendiri proses membuat tulang dari ikan. Mak cik-mak cik yang membuang tulang ikan ni kelihatan sungguh cekap melaksanakan tugasan masing-masing. Ikan yang digunakan adalah ikan parang. Sebelum tulang ikan dibuang, ikan ini terlebih dahulu dijemur tapi bukan sampai kering. Bagi memudahkan proses membuang tulang temulang ikan parang yang banyak tulang.
Mak cik-mak cik ini bukan sahaja cekap, mereka juga ada pembahagian tugasan, ada yang buang kepala dan isi perut, ada yang asingkan tulang dan isi ikan dan ada juga yang asingkan isi ikan dari tulang kecil. Kerja mereka sangat tersusun. Serta bekerjasama. Apabila bahagiannya sudah selesai dibantunya pula rakan yang lain. Di bawah ni gambar ikan yang telah diasingkan dari tulang.
Daripada kepingan isi ikan di atas, menjadi isi ikan seperti di dalam gambar di bawah. Nampakkan betapa ikan parang ni memang banyak tulang. Tapi ikan parang ni sedap, masak asam pedas pun sedap. Teringat pula rasa asam pedas ikan parang. Ikan yang sedap ni bila sudah jadi keropok tak pernah pun lagi aku tercekik tulang masa makan keropok ikan. Isi ikan ini kemudiannya dicampur dengan bahan-bahan seperti tepung di dalam mesin untuk dijadikan adunan. Mesin ni meratakan bahan-bahan agar sebati dan rata. Atau kata lain ini bahan-bahan ini diuli sebelum dibentukkan panjang-panjang.
Adunan yang siap terbentuk, di rebus pula di dalam air panas. Sampai masak. Bila telah masak dan sejuk, daripada bentuk panjang-panjang inilah kemudiannya dipotong nipis-nipis. Masa aku ke Kelantan waktu umur 18, waktu berkunjung ke rumah rakan sebagai ole-ole maknya bekalkan kami keropok yang belum dipotong nipis ni. Ibunya pun ada buat keropok.
Kepingan-kepingan keropok kemudiannya dijemur sehingga betul-betul kering. Banyak juga keropok yang dihasilkan. Secara tidak langsung penghasilan keropok keping ini membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat. Menurut Ain dia pun pernah buat kerja sambilan asingkan tulang dari isi ikan suatu masa dulu. Tapi pada waktu ini aku hanya lihat mak cik-mak cik yang bekerja.
Terima kasih pada tuan punya kilang keropok, dengan baik hati melayankan saya dan rakan-rakan. Rasa seperti rombongan sambil belajar. Jadinya aku catatkan diblog ini, agar aku tidak lupa. Yer tak pernah aku lihat proses buat keropok yang lengkap. Aku selalunya makan sahaja keropok. Bila ke Terengganu tahunya cari keropok. Melihat kegigihan mereka berusaha menjadikan ispirasi. Usaha tangga kejayaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan