Selasa, 21 Julai 2015

Menu Hari Raya Bakar Lemang Kita

Banyak hari dah tak menulis di blog ni. Banyak cerita nak cerita. Tapi sangat sibuk. Tak menang tangan. Mana sibuk jual kuih raya dan sibuk menikmati akhir-akhir ramadhan. Ramadhan kali ni terasa sangat singkat. Cepat sangat berlalu. Lagi cepat bila dalam kepala ni asyik mengira budget untuk syawal nanti. Budget untuk menu hari raya dan juga duit raya. Baju raya aku dah tak hairan sangat. Berapa kali raya dah tak beli baju raya. Lagi pun baju raya kawan aku bagi tahun lepas yang aku nak pakai raya ke 2 tapi boleh tak muat pulak. Sebelum tu muat jer. Tapi baju tu dah muat tahun ni. Boleh la jadi baju raya. Jubah yang aku beli awal hujung tahun lepas pun baru berapa kali pakai. Tudung pun kawan aku ada bagi. Jadi duit baju raya di masukkan dalam budget menu raya. Ramai dapat faedahnya.

Tahun ni macam tahun lepas, aku angkut kakak aku di Pahang raya di Hulu Langat. Sanggup aku pergi jemput. Sebab nak beraya beramai-ramai. Bukan selalu berkumpul. Setahun sekali pun payah sejak arwah mak dah tak ada ni. Sejak kakak aku pindah pahang. Ada yang ni yang itu pulak tak ada. Jadi apa yang ada ajer la. Paling penting raya. Jadi menu raya mesti kena ada. 

Masa aku kecik dulu. Waktu tu arwah atuk masih ada. Tiap kali menu hari raya mesti  ada dodol, sup tulang, lemang dan nasi himpit. Tulang tu kadang-kadang tu bahagian kepala. Bila balik ramai-ramai arwah atuk dan cucu-cucu lelakinya akan tangkap ayam. Sembelih dan kemudian giliran wanita pula cabut bulu ayam. Ayam segar dimasak rendang atau lemak cili api sangatlah sedap.

Bila arwah atuk tak ada tinggallah arwah nenek yang akan monitor masa masak lemang. Aku sempatlah belajar. Masa tu umur 25 kut. Tapi banyak yang lupa. Bukan setakat banyak, memang semua pun lupa. Padahal baru tahun lepas buat. Jadi kali ni aku ulangkaji. Mak teh aku yang ajar kali ni. Sebab dia pun berguru dengan arwah nenek aku untuk menu utama hari raya ni.

Malam sebelum hari bakar lemang. Buluh tu dah cuci siap-siap dan diterlangkupkan. Supaya kering. Buluh, pulut dan santan pastikan tidak terlangkah. Pantang katanya nanti lemang muntah. Buluh lemang ambil yang tidak terlalu tua. Tidak semua buluh boleh dibuat lemang. Pulut pun perlu dicuci dan ditoskan. Masa masukkan pulut pula tak perlu di padat atau dihentakkan. Sebelum masukkan pulut terlebih dahulu masukkan daun pisang. Daun pisang perlu di pilih yang muda. Barulah lekat pada lemang. Masa masukkan daun pisang gulungan daun pisang tu pastikan tidak terlalu tebal. Kalau boleh selapis ajer.

Santan pula, macam mana nak tau jumlahnya.  
Jika 10 pot pulut. Santan 11 pot. Santan tu diletakkan garam sampai masin pahit. serta letakkan sekeping asam jawa agar lemang tahan lama. Santan ni dimasukkan sedikit demi sedikit sampai penuh buluh. Santan ni membuatkan lemang tu sedap. Rasa lemak-lemak gitu.

Bila dah siap letakkan dibara yang sudah disiapkan. Bukan pada api menyala tau. Masa ni mencabar. Panas bara tu bulu kaki pun boleh terbakar. Kesian aku tengok pak teh aku 
yang jaga api lemang. Bulan puasa. Penat sangat sampai tertidur. Faktor usia pun sama. Tapi kagum aku, pak teh aku walau lututnya sakit dan pergerakan terhad tapi gigih sediakan lemang untuk anak-anak buahnya. Almaklumlah kami ni dah tak ada mak ayah. Jadi menumpang kasih. Maka aku pun ambil alih tugas dengan dibantu mak teh aku. Lemang kalau tak dijaga nanti keras jadi berkerak. Bagi yang ada gigi pun tak boleh gigit nanti. Tapi kejap jer tidurnya  pak teh aku 
ni. Akhirnya dia jaga sampai siap.

Lemang ni makanan tradisi. Setiap kali raya mesti ada. Bila tak dibuat rasa macam ada yang kurang. Masa proses nak buat lemang dan bakar lemang ni la berlakunya kerjasama dan gotong royong. Ringan sama dijinjing berat sama dipikul. Masa ni jugalah mengeratkan silaturahim. Sambil menyulur daun pisang. Sambil berbual. Berborak bertanya khabar. Lama tak berjumpa. Masa ni jugalah anak-anak buah aku dapat bermesra dengan tok teh dan mak tehnya. 


Masa berbuka biasanya lemang dan rendang yang dah masak menjadi juadah. Makan lemang yang masih panas memang sedap. Dimakan dengan rendang ataupun durian. Kali ni macam tahun lepas raya masa musim durian. Makan lemang dengan durian sangatlah sedap. Rasa durian kampung bergabung dengan lemang panas yang rasa lemak-lemak. Masa makan tu makan ramai-ramai pula tu. Makan berebut-rebut lagilah sedap. Lain rasa raya tanpa mak ayah. Tapi terpulang pada diri sendiri bagaimana mahu meraikannya. Yang dah pergi titipkan doa. Yang masih hidup kita hargai. Kita tak tahu syawal ini mungkin terakhir berkumpul. Mungkin dia atau aku yang pergi dahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan