Ahad, 12 Julai 2015

Berbuka Puasa di KOA Donglai Baru

Alhamdulillah syukur kawan aku ajak berbuka puasa. Kawan aku ni berkerja dengan JAKOA Hulu Langat. Katanya berbuka di Kampung Orang Asli Donglai Baru. Aktivitinya, lepas berbuka solat maghrib berjemaah dan berterawih. Tempat ni terletak berhampiran Empangan Semenyih. Aku betul-betul teruja. Aku kata pada kawan aku ini kali pertama aku ke perkampungan orang asli. Dah balik rumah baru aku teringat aku pernah ke perkampungan orang asli di Taman Negara Pahang. Masa tu yang kami kunjungi adalah dari suku kaum Batek. Siap cuba sumpit lagi.

Tapi kali ini pengalamannya berbeza. Kali ini aku berpeluang berbuka bersama mereka. Lagi seronok kawan aku ambik dan hantar semula ke rumah. Rezeki hari ini. Sebaik sahaja tiba dalam pukul 5 petang, mereka masih lagi bergotong royong memasak makanan berbuka puasa. Penduduk yang muslim dan bukan muslim saling bekerjasama. 


Kakitangan JAKOA, NGO dan pengerak masyarakat turut sama bergotong royong. Macam-macam juadah disediakan. Ada juga sup kambing yang disumbangkan oleh orang kuat JAKOA Hulu Langat. Mereka ni murah hati dan rapat dengan orang-orang asli di bawah jagaan Daerah Hulu Langat. Rupanya ini adalah acara setiap tahun. Tahun ini KOA Donglai Baru jadi tuan rumah untuk majlis berbuka puasa ini. Di daerah lain juga ada diadakan majlis berbuka puasa, kebanyakannya menggunakan khidmat katering, jadi KOA donglai Baru ni istimewalah kerana berjaya bergotong royong.


Inilah suasana perkampungan ini. Perkampungan ni jauh dari kesibukan. Jauh dari kampung-kampung yang lain. Dari rumah aku dalam lebih kurang 25 minit. Ada juga rumah batu di sini. Di sini ada satu tadika untuk anak-anak di kampung ni, agar mereka tidak keciciran. Anak-anak di kampung ni ringan tulang. Mereka berebut nak membantu masa menghidang. Sedang yang di dalam sibuk menyediakan juadah berbuka, anak-anak lelaki pula menyusun meja di luar.

Ni lah sebahagian daripada anak-anak yang sangat rajin dan ringan tulang tu. Mereka boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan bahasa mereka. Mereka sungguh keletah rajin dan juga bijak. Anak-anak ni juga comel. Senyuman mereka sangat manis. Juadah-juadah ni chef utamanya isteri ustaz dari Pangsun. Masakannya sedap. Lelaki pula masak sup kambing.


Meriah suasana berbuka pada hari ini, gambar sengaja aku kaburkan. Aku mengambil peluang berbual dengan beberapa penduduk di sini. Mereka ni ramah. Seronok berbual dengan mereka. Sambil layankan seorang anak kecil yang menangis bila tengok bapanya tak ada. Sebenarnya bapanya pergi solat. Sudahnya diam sendiri. Percaya bapanya tinggalkan depan kami.


Selepas makan, tiba-tiba ada salah seorang buka durian, Meriah pula dengan durian. Lepas sebiji ke sebiji dibuka. Aku pun tumpang sekaki. Sedang makan Batin dari Pangsun buka durian, tengoklah gambar di bawah skillnya. Atas peha jer dia buka durian. Aku yang asyik makan tiba-tiba rasa diperhatikan. Anak-anak comel tadi dah duduk di hadapan aku tersenyum-senyum tengok aku makan. aku pun pelawa mereka makan durian. Tetapi mereka tak nak. Mereka asyik dengan ayam goreng.


Kulit-kulit durian jer yang tinggal. Semua ni aku yang makan. Percayalah. Musim durian kali ni paling banyak kali aku dapat makan durian percuma. Minggu sebelum ni, balik kampung makan durian. Tak termasuk yang beli lagi. Selalunya bila dah makan sekali, sekali tu jer lah. dah tak da ulang tayang dah. Tapi musim durian kali ini aku sangat berselera makan durian. Sebenarnya tak habis di sini, di beri bekal bawa balik lagi.


Di bawah ni adalah dari mereka kepada tetamu-tetamu istimewa yang hadir, aku teruja bila tengok isi di dalam bakul ni. Pucuk ubi, durian dan bunga kantan. Semua ni sekarang boleh tahan harganya bila di beli. Terutama sekali bunga kantan. Pak cik aku tanam pokok kantan, selalu dicuri. Kesian pak cik aku dah la berumujr, sampai hati pencuri-pencuri ni.



Semakin malam perkampungan ni semakin meriah dengan kanak-kanak. Saling berkejaran. Ramai rupanya kanak-kanak diperkampungan ni. Dari keratan akhbar 2009 Anak-anak Orang Asli di sini sudah dihantar oleh ibu bapa mereka ke sekolah berhampiran yang membuktikan kesedaran terhadap pendidikan semakin tinggi berbanding sebelumnya. Namun, tidak dinafikan masih ada yang tercicir ekoran beberapa masalah termasuk atas faktor kewangan. Walaupun jumlahnya rendah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Johan Abdul Aziz menegaskan, adalah menjadi kewajipan pihaknya memastikan semua anak Orang Asli di kawasan itu menerima pendidikan sempurna. Beliau berkata, pihaknya mengesan antara punca ibu bapa tidak menghantar anak mereka ke sekolah ialah ketiadaan surat beranak dan kad pengenalan serta faktor kewangan.
Banyak  juga aktiviti yang dijalankan di sini sama ada dari pihak kerajaan ataupun NGO, bagi memajukan mereka. Semoga anak-anak ini dapat berdiri sama tinggi dengan anak-anak yang lain. Kerana dari ucapan Penolong Pengarah sewaktu majlis berbuka puasa, di daerah Hulu Langat ini adalah kadar yang tertinggi anak-anak orang asli buta huruf.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan