Khamis, 23 Julai 2015

Tempoyak Ikan Patin dan Nasi Ayam Kukus sedap di Bandar Pusat Jengka

Aku selalu ke Jengka, Pahang. Sebab kakak aku duduk di sini. Abang aku dan kakak aku kahwin dengan orang Jengka. Aku pula, jenis yang bila ke mana-mana mesti cari makanan yang sedap bagi masyarakat setempat di kawasan itu atau makanan yang sedap di kawasan itu. Memandangkan aku selalu ke sini ada beberapa tempat yang aku suka pergi makan.

Selalunya bila di Jengka senang nak dapat ikan patin sangkar berbanding di semenyih. Jadi aku selalu menggunakan kesempatan yang ada untuk makan puas-puas makanan kegemaran aku ni. Sama ada beli segar di Pasar Malam hari Sabtu di Bandar Pusat atau aku beli di Pekan Sehari di Jengka 14 pada hari isnin. Biasanya ikan sangkar. Jika nasib baik dapatlah beli yang sungai. Biasanya mak mertua kakak aku atau kakak aku yang masakkan. Kalau tak dapat aku akan makan dekat hentian Temerloh. Orang Pahang masak tempoyak memang sedap. Kakak ipar aku pun pakar masak tempoyak. Bila dia masak 3 kali pun aku boleh tambah.

Memandangkan aku di Bandar Pusat Jengka. Jadi aku cerita pasal ikan patin tempoyak bandar ni. Sebenarnya di Bandar Pusat Jengka ni ada 3 kedai yang bagi aku sedap patin tempoyaknya. Satu dah tutup. Tapi kali ni aku nak cerita tentang ikan patin tempoyak di kedai yang terletak di dalam  Anjung Selera. Anjung Selera ni terletak berhampiran dengan stadium. Anjung selera ni menjadi tumpuan bila waktu makan tengah hari. Ramai orang di di sini seawal pukul 1130. Di sini pun ada banyak kedai yang menjual ikan patin tempoyak. Jadi boleh pilih. Kedai yang kena dengan selera aku. Adalah kedai Selera Ambang Qaseh. Kedai ni dari gerbang masuk Anjung Selera adalah di bahagian belakang sekali sebelah kiri. Jika dari belakang kedai makan ni kelihatan seperti di dalam gambar di bawah.


Rasa ikan patin tempoyaknya sangat sedap. Rasa kuah tempoyaknya yang sedang elok masamnya membuatkan aku sampai menghirup kuah. Rasa pedas yang membuka selera. Masak tempoyak ala Pahangnya cukup asam garam. Penambah rasanya diletakkan pula daun kesom. Sangat aku suka bahagian perut yang berlemak. Sebenarnya sebelum aku beli untuk bawa balik bahagian kepala. Aku sudah pun merasa sepotong ikan patin yang aku pastinya pilih bahagian tengah yang berlemak. Bila dah rasa, sampai bungkus bawa balik ni mestilah sedap. Ikannya segar. Menurut tokey kedai ni ikan ni dari Temerloh. Harga makanan di kedai ni pun berpatutan. Istimewanya bila makan di Pahang ni. Orang tempatan yang berniaga. Pakaian kemas siap berbaju kurung sedondon lagi. Bagi pengunjung kedai ini juga dsediakan air sirap dan bubur percuma. Masa aku datang ni hari Khamis, aku makan bubur kacang di sini sahaja. Jumaat aku datang lagi. Kali ni bubur jagung, bubur kegemaran aku, dicampur sagu mata ikan dan juga pulut barangkali. Tapi memang sedap. Hari ni dibekalkan bungkusan jagung, dah la dah makan. Bungkus pula lagi.


Selain ikan patin tempoyak, nasi ayam kukus dan nasi ambang juga antara yang selalu aku makan bila ke Bandar Pusat ni. Nasi ni kakak aku yang kenalkan. Lambat beli memang tak dapat. Semalam kami lambat, jadi hari ni cepat-cepat beli. Kedai ni sebelah Takzim Centre. Tepi Jalan menghadap deretan kedai yang ada kedai Anakku. Kiranya jika dari balai bomba sampai  di simpang  U-Mart.  Belok kanan dan gerai tu di tepi jalan sebelah kiri. Ada banyak gerai di sini. Dalam gambar di bawah, pakai tudung biru tu kakak aku dan tokey nasi ayam kukus. Kakak aku nilah yang bertanggungjawab menyebabkan aku gemok sepanjang duduk di sini. Dialah yang kenalkantempat makan yang sedap-sedap di sini.


Nasi ambang ni nampak sedap, lebih kurang nasi kukus bezanya ada mee hoon dan serunding kelapa, betul mungkin namamya serunding kelapa. Apabila memilih bahagian ayam. aku pilih mesti bahagian yang ada tongkeng ayam ni. Suka sangat makan tongkeng ayam. Sebab tu mulut susah nak diam. Ada sahaja yang benda yang aku nak cerita.


Ini pula ayam kukus. Ayam kukusnya sangat berasa. Bumbunya dengan gabungan rempah dan serai yang special tu. Baunya sedap membuka selera. Ayamnya yang segar dan empuk nyaman jer bila dikunyah. Bila dikunyah perlahan penuh nikmat rasanya. Ada juga ulam-ulam dan sambal belacan. Bukan itu sahaja tempe goreng pun ada serta kuah kari yang dibungkus asing. 


Bahaya aku duduk Bandar Pusat ni lama-lama. Kakak aku asyik ajak makan. Makanan sedap-sedap pula tu. Habis BMI aku. Bila berniaga masak sedap-sedap orang mesti cari. Jauh pun sanggup datang. Dijual pula dengan harga yang berpatutan. Paling penting apa pun dibuat kerja atau berniaga itu adalah satu ibadah. Lakukan ikhlas dan kerana Allah. InsyaAllah semuanya akan lancar. Ada lagi satu kedai yang nasi ayam kukusnya sedap,tapi ayamnya  1/4. Jika ada rezeki insyaAllah aku kongsikan.

Selasa, 21 Julai 2015

Resepi asam pedas ringkas

Asyik makan rendang dan kuih raya jer sepanjang seminggu raya ni. Alhamdulillah semasa beraya di rumah nenek saudara di Melaka dapat makan asam pedas. Aku memang tunggu jer di dapur untuk lihat cara nenek masak. Aku memang suka asam pedas. Arwah mak masak adalah paling sedap. Nenek ni mak saudara arwah mak dan terkenal dengan kehandalannya memasak.

Ikan yang nak dimasak adalah ikan parang. Ikan ni kena makan hati-hati. Tulangnya panjang-panjang. Ikan dicuci bersih terlebih dahulu. Siap ada telur lagi. Rezeki. Selalu arwah mak buat asam pedas terubok atau ikan sisa nabi. Cara nenek ni masak berbeza dengan cara arwah masak.


Bawang merah, bawang putih dan cili kering dikisar. Kemudian ditambah kunyit serbuk dan digaul rata. Semua tu ditumis sehingga naik bau. Jika suka ketukkan halia dan juga serai. Bagi yang suka belacan letak sesedap rasa. Tapi ramai yang masalah resdung atau alahan , letaklah belacan sedikit buat penyedap rasa. Tapi belacan ni lah yang buat asam pedas rasa sedap.  Paling penting dalam asam pedas ni adalah asam jawa. Barulah rasa asamnya. 


Bila sudah mendidih, kuah tu dah masak, masukkan ikan. Akhir sekali masukkan garam sesedap rasa serta limau purut. Masukkan serai yang telah diketuk. Asam pedas arwah mak tak letak serai dan daun limau purut. Lain tempat lain orang lain caranya. Mengikut citarasa masing-masing.


Sudah siap dan boleh dimakan. Sangat ringkas. Jika suka daun kesom dan bunga kantan bolehlah dimasukkan sekali. Tapi aku suka asam pedas yang diletakkan sayur sawi pahit. Biasanya peniaga Cina yang jual atau ada juga dijual di Tesco. Tapi yang ini pun sedap juga. Habis aku kerjakan.

Menu Hari Raya Bakar Lemang Kita

Banyak hari dah tak menulis di blog ni. Banyak cerita nak cerita. Tapi sangat sibuk. Tak menang tangan. Mana sibuk jual kuih raya dan sibuk menikmati akhir-akhir ramadhan. Ramadhan kali ni terasa sangat singkat. Cepat sangat berlalu. Lagi cepat bila dalam kepala ni asyik mengira budget untuk syawal nanti. Budget untuk menu hari raya dan juga duit raya. Baju raya aku dah tak hairan sangat. Berapa kali raya dah tak beli baju raya. Lagi pun baju raya kawan aku bagi tahun lepas yang aku nak pakai raya ke 2 tapi boleh tak muat pulak. Sebelum tu muat jer. Tapi baju tu dah muat tahun ni. Boleh la jadi baju raya. Jubah yang aku beli awal hujung tahun lepas pun baru berapa kali pakai. Tudung pun kawan aku ada bagi. Jadi duit baju raya di masukkan dalam budget menu raya. Ramai dapat faedahnya.

Tahun ni macam tahun lepas, aku angkut kakak aku di Pahang raya di Hulu Langat. Sanggup aku pergi jemput. Sebab nak beraya beramai-ramai. Bukan selalu berkumpul. Setahun sekali pun payah sejak arwah mak dah tak ada ni. Sejak kakak aku pindah pahang. Ada yang ni yang itu pulak tak ada. Jadi apa yang ada ajer la. Paling penting raya. Jadi menu raya mesti kena ada. 

Masa aku kecik dulu. Waktu tu arwah atuk masih ada. Tiap kali menu hari raya mesti  ada dodol, sup tulang, lemang dan nasi himpit. Tulang tu kadang-kadang tu bahagian kepala. Bila balik ramai-ramai arwah atuk dan cucu-cucu lelakinya akan tangkap ayam. Sembelih dan kemudian giliran wanita pula cabut bulu ayam. Ayam segar dimasak rendang atau lemak cili api sangatlah sedap.

Bila arwah atuk tak ada tinggallah arwah nenek yang akan monitor masa masak lemang. Aku sempatlah belajar. Masa tu umur 25 kut. Tapi banyak yang lupa. Bukan setakat banyak, memang semua pun lupa. Padahal baru tahun lepas buat. Jadi kali ni aku ulangkaji. Mak teh aku yang ajar kali ni. Sebab dia pun berguru dengan arwah nenek aku untuk menu utama hari raya ni.

Malam sebelum hari bakar lemang. Buluh tu dah cuci siap-siap dan diterlangkupkan. Supaya kering. Buluh, pulut dan santan pastikan tidak terlangkah. Pantang katanya nanti lemang muntah. Buluh lemang ambil yang tidak terlalu tua. Tidak semua buluh boleh dibuat lemang. Pulut pun perlu dicuci dan ditoskan. Masa masukkan pulut pula tak perlu di padat atau dihentakkan. Sebelum masukkan pulut terlebih dahulu masukkan daun pisang. Daun pisang perlu di pilih yang muda. Barulah lekat pada lemang. Masa masukkan daun pisang gulungan daun pisang tu pastikan tidak terlalu tebal. Kalau boleh selapis ajer.

Santan pula, macam mana nak tau jumlahnya.  
Jika 10 pot pulut. Santan 11 pot. Santan tu diletakkan garam sampai masin pahit. serta letakkan sekeping asam jawa agar lemang tahan lama. Santan ni dimasukkan sedikit demi sedikit sampai penuh buluh. Santan ni membuatkan lemang tu sedap. Rasa lemak-lemak gitu.

Bila dah siap letakkan dibara yang sudah disiapkan. Bukan pada api menyala tau. Masa ni mencabar. Panas bara tu bulu kaki pun boleh terbakar. Kesian aku tengok pak teh aku 
yang jaga api lemang. Bulan puasa. Penat sangat sampai tertidur. Faktor usia pun sama. Tapi kagum aku, pak teh aku walau lututnya sakit dan pergerakan terhad tapi gigih sediakan lemang untuk anak-anak buahnya. Almaklumlah kami ni dah tak ada mak ayah. Jadi menumpang kasih. Maka aku pun ambil alih tugas dengan dibantu mak teh aku. Lemang kalau tak dijaga nanti keras jadi berkerak. Bagi yang ada gigi pun tak boleh gigit nanti. Tapi kejap jer tidurnya  pak teh aku 
ni. Akhirnya dia jaga sampai siap.

Lemang ni makanan tradisi. Setiap kali raya mesti ada. Bila tak dibuat rasa macam ada yang kurang. Masa proses nak buat lemang dan bakar lemang ni la berlakunya kerjasama dan gotong royong. Ringan sama dijinjing berat sama dipikul. Masa ni jugalah mengeratkan silaturahim. Sambil menyulur daun pisang. Sambil berbual. Berborak bertanya khabar. Lama tak berjumpa. Masa ni jugalah anak-anak buah aku dapat bermesra dengan tok teh dan mak tehnya. 


Masa berbuka biasanya lemang dan rendang yang dah masak menjadi juadah. Makan lemang yang masih panas memang sedap. Dimakan dengan rendang ataupun durian. Kali ni macam tahun lepas raya masa musim durian. Makan lemang dengan durian sangatlah sedap. Rasa durian kampung bergabung dengan lemang panas yang rasa lemak-lemak. Masa makan tu makan ramai-ramai pula tu. Makan berebut-rebut lagilah sedap. Lain rasa raya tanpa mak ayah. Tapi terpulang pada diri sendiri bagaimana mahu meraikannya. Yang dah pergi titipkan doa. Yang masih hidup kita hargai. Kita tak tahu syawal ini mungkin terakhir berkumpul. Mungkin dia atau aku yang pergi dahulu.

Ahad, 12 Julai 2015

Berbuka Puasa di KOA Donglai Baru

Alhamdulillah syukur kawan aku ajak berbuka puasa. Kawan aku ni berkerja dengan JAKOA Hulu Langat. Katanya berbuka di Kampung Orang Asli Donglai Baru. Aktivitinya, lepas berbuka solat maghrib berjemaah dan berterawih. Tempat ni terletak berhampiran Empangan Semenyih. Aku betul-betul teruja. Aku kata pada kawan aku ini kali pertama aku ke perkampungan orang asli. Dah balik rumah baru aku teringat aku pernah ke perkampungan orang asli di Taman Negara Pahang. Masa tu yang kami kunjungi adalah dari suku kaum Batek. Siap cuba sumpit lagi.

Tapi kali ini pengalamannya berbeza. Kali ini aku berpeluang berbuka bersama mereka. Lagi seronok kawan aku ambik dan hantar semula ke rumah. Rezeki hari ini. Sebaik sahaja tiba dalam pukul 5 petang, mereka masih lagi bergotong royong memasak makanan berbuka puasa. Penduduk yang muslim dan bukan muslim saling bekerjasama. 


Kakitangan JAKOA, NGO dan pengerak masyarakat turut sama bergotong royong. Macam-macam juadah disediakan. Ada juga sup kambing yang disumbangkan oleh orang kuat JAKOA Hulu Langat. Mereka ni murah hati dan rapat dengan orang-orang asli di bawah jagaan Daerah Hulu Langat. Rupanya ini adalah acara setiap tahun. Tahun ini KOA Donglai Baru jadi tuan rumah untuk majlis berbuka puasa ini. Di daerah lain juga ada diadakan majlis berbuka puasa, kebanyakannya menggunakan khidmat katering, jadi KOA donglai Baru ni istimewalah kerana berjaya bergotong royong.


Inilah suasana perkampungan ini. Perkampungan ni jauh dari kesibukan. Jauh dari kampung-kampung yang lain. Dari rumah aku dalam lebih kurang 25 minit. Ada juga rumah batu di sini. Di sini ada satu tadika untuk anak-anak di kampung ni, agar mereka tidak keciciran. Anak-anak di kampung ni ringan tulang. Mereka berebut nak membantu masa menghidang. Sedang yang di dalam sibuk menyediakan juadah berbuka, anak-anak lelaki pula menyusun meja di luar.

Ni lah sebahagian daripada anak-anak yang sangat rajin dan ringan tulang tu. Mereka boleh bertutur dalam bahasa Melayu dan bahasa mereka. Mereka sungguh keletah rajin dan juga bijak. Anak-anak ni juga comel. Senyuman mereka sangat manis. Juadah-juadah ni chef utamanya isteri ustaz dari Pangsun. Masakannya sedap. Lelaki pula masak sup kambing.


Meriah suasana berbuka pada hari ini, gambar sengaja aku kaburkan. Aku mengambil peluang berbual dengan beberapa penduduk di sini. Mereka ni ramah. Seronok berbual dengan mereka. Sambil layankan seorang anak kecil yang menangis bila tengok bapanya tak ada. Sebenarnya bapanya pergi solat. Sudahnya diam sendiri. Percaya bapanya tinggalkan depan kami.


Selepas makan, tiba-tiba ada salah seorang buka durian, Meriah pula dengan durian. Lepas sebiji ke sebiji dibuka. Aku pun tumpang sekaki. Sedang makan Batin dari Pangsun buka durian, tengoklah gambar di bawah skillnya. Atas peha jer dia buka durian. Aku yang asyik makan tiba-tiba rasa diperhatikan. Anak-anak comel tadi dah duduk di hadapan aku tersenyum-senyum tengok aku makan. aku pun pelawa mereka makan durian. Tetapi mereka tak nak. Mereka asyik dengan ayam goreng.


Kulit-kulit durian jer yang tinggal. Semua ni aku yang makan. Percayalah. Musim durian kali ni paling banyak kali aku dapat makan durian percuma. Minggu sebelum ni, balik kampung makan durian. Tak termasuk yang beli lagi. Selalunya bila dah makan sekali, sekali tu jer lah. dah tak da ulang tayang dah. Tapi musim durian kali ini aku sangat berselera makan durian. Sebenarnya tak habis di sini, di beri bekal bawa balik lagi.


Di bawah ni adalah dari mereka kepada tetamu-tetamu istimewa yang hadir, aku teruja bila tengok isi di dalam bakul ni. Pucuk ubi, durian dan bunga kantan. Semua ni sekarang boleh tahan harganya bila di beli. Terutama sekali bunga kantan. Pak cik aku tanam pokok kantan, selalu dicuri. Kesian pak cik aku dah la berumujr, sampai hati pencuri-pencuri ni.



Semakin malam perkampungan ni semakin meriah dengan kanak-kanak. Saling berkejaran. Ramai rupanya kanak-kanak diperkampungan ni. Dari keratan akhbar 2009 Anak-anak Orang Asli di sini sudah dihantar oleh ibu bapa mereka ke sekolah berhampiran yang membuktikan kesedaran terhadap pendidikan semakin tinggi berbanding sebelumnya. Namun, tidak dinafikan masih ada yang tercicir ekoran beberapa masalah termasuk atas faktor kewangan. Walaupun jumlahnya rendah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Johan Abdul Aziz menegaskan, adalah menjadi kewajipan pihaknya memastikan semua anak Orang Asli di kawasan itu menerima pendidikan sempurna. Beliau berkata, pihaknya mengesan antara punca ibu bapa tidak menghantar anak mereka ke sekolah ialah ketiadaan surat beranak dan kad pengenalan serta faktor kewangan.
Banyak  juga aktiviti yang dijalankan di sini sama ada dari pihak kerajaan ataupun NGO, bagi memajukan mereka. Semoga anak-anak ini dapat berdiri sama tinggi dengan anak-anak yang lain. Kerana dari ucapan Penolong Pengarah sewaktu majlis berbuka puasa, di daerah Hulu Langat ini adalah kadar yang tertinggi anak-anak orang asli buta huruf.





Mini Buffet Ramadhan di Laman Grill

Bila tiba hujung ramadhan ni selalu menjadi serba salah apabila ada jemputan untuk menghadiri majlis berbuka atau jemputan berbuka puasa bersama-sama. Di 10 malam terakhir ini lah kalau boleh mahu kehadiran terawikh penuh. Bukan tiap-tiap bulan ada solat terawikh. Tapi aku layankan jer ajakan rakan-rakan untuk berbuka bersama-sama. Tambahan pula yang ajak ni kakak-kakak yang dah berumur dekat 60 tahun. Teringat pada arwah mak. Tak dapat layankan mak sendiri layankan yang ala-ala mak pun jadilah. Kali ni aku berbuka di Laman Grill.

Asalnya, kakak ni bercerita teringin nak makan western food, nak makan steak katanya. Kebetulan pula masa menyertai program bersama Jamu Susuk Dara, seorang rakan bercerita tentang mini buffet di Laman Grill, katanya sedap dan puas hati. Aku pun cadangkan pada kakak ni, katanya dia tak nak buffet. Aku pun kalau boleh nak elakkan buffet sebab dah mula makan tak banyak. Mungkin umur dah 35 ni, tak macam masa muda dulu. Boleh makan banyak-banyak.

Aku pun google lah dengan gigihnya manalah tempat dekat-dekat dengan semenyih ni yang sedap steaknya, selain Laman Grill. Aku dapati beberapa tempat. Akhirnya aku pilih tempat di Saujana Impian. Jadi selepas sahaja kami hantar rakan menaiki bas ke Kelantan di jalan Reko dan selepas temankan rakan tersebut berbuka puasa. Kami pun bergerak ke Saujana Impian dari Jalan Reko. Tapi sayang kedai di situ tutup. Kedai lain di area Bangi. Aku malas nak google dah. Malas juga nak guna google map cari jalan. Maka memang rezeki ke Laman Grill. Mujur kakak tu yang memandu, dan mujur juga dia tak marah. Itulah lain kali telefon dulu pastikan buka. Harapan kami ke Laman Grill, mungkin boleh order selain buffet. 


Sebaik sahaja memasuki Laman Grill, seorang adik manis layankan kami, terangkan tentang mini buffet di Laman Grill. Di luar Laman Grill ni pun ada diletakkan maklumat tentang mini buffet ni. Memang kena mini buffet juga nampaknya. Harga mini buffet ni termasuk GST tau. Ada juga tempat solat di sediakan di sini. Kami dah selesai solat, jadi tiada masalah. Masa sampai tu pun dah hampir pukul 9 malam. Buffet tamat 930. Boleh la, sebab yang penting akak ni nak makan steak. 


Di bawah ni menu untuk main dish, jadi pilih lah yer. Kawan aku cerita charbroiled sirloin steaknya sedap. Aku pun nak cuba, memandangkan ini kali pertama aku ke Laman Grill. Kawan aku pun pesan makanan yang sama. Bila baca review tentang Laman Grill ni, jadi 50/50 jugak nak ke sini. Macam-macam komplain, tandas tak ada air lah, macam-macam lah. Sebelum ni pun ada ke mari, tetapi sampai jer depan restoran kawan aku nak ke Al-Rawsha pulak, makan makanan arab. Layankanlah. Jadi hari ni memang rezeki untuk makan di Laman Grill.


Menu bukan sahaja untuk orang dewasa, untuk kanak-kanak pun ada. Menu nyer berbeza dengan menu dewasa. Sesuailah menunya dengan kanak-kanak. Kanak-kanak di sini bagi umur 5 hingga 10 tahun.


Sebaik sahaja menu aku sampai terkejut aku tengok kentangnya. Tak pernah aku tengok menu western tiba-tiba kentangnya macam kentang goreng cili. Kentang goreng cili memang makanan kegemaran aku. Lagilah kalau arwah mak yang masak memang sedap. Letak pula ikan bilis. Saladnya simple sahaja.  Blackpaper sosnya sepadan dengan steak. Menjadi teman yang mesra. Steak tu sendiri pun sudah mempunyai rasanya. Dagingnya lembut. Mudah dikunyah dan tak liat. Rasa dagingnya. Aku makan perlahan-lahan. Kunyah satu-satu menikmati rasa daging. Tak ingat nak ambil gambar. Bila teringat dah tinggal hampir separuh. Sebenarnya masa temankan kawan berbuka di Jalan Reko tadi dah makan nasi separuh. Ni boleh muat lagi.


Sambil mengunyah daging yang enak tu sambil menikmati suasan restoren ni. Di satu sudut meriah dengan petikan akhbar tentang Laman Grill. Laman Grill ni ada satu lagi cawangan di Shah Alam. Ramai orang tahu Laman Grill ni. Siapa tak kenal Chef Zubir.

Dapurnya boleh di lihat. Nampaklah chef-chef di dalam tu bekerja. Susun atur atau kemas atau pun tidak jelas kelihatan. Restoren ni kelihatan eksklusif dan selesa. Memandangkan aku duduk menghadap dapur. Aku belanja gambar dapur. Ini cara ambil gambar agar kepala pengunjung restoren ni tak kelihatan.


Inilah mini buffetnya. Menu yang ringan dan ringkas. Perut tengah kenyang jadi tak banyak yang aku makan. Aku banyak minum air tembikai laicinya dan air nescafe. Disebabkan kenyang juga aku hanya ambil gambar dan tak berapa ingat apa makanan yang ada. Mini pizza dan roti john antara yang aku ingat.

Pencuci mulut yang ada. Aku cuba sagu yang
yang warna merah tu. Sedap tapi manis sangat. Lain-lain aku tak cuba. Kek batik tu kelihatan menarik. Tapi apakan daya kenyang sangat dah.
Sambil menikmati nescafe panas. Sambung menikmati suasana di restoren ni. Sambil makan kurma. Masa ni ramai dah balik. Aku rehat-rehat dulu. 

Selesakan? Datang dengan kawan-kawan atau keluarga ke sini. Mereka mesti suka. Borak-borak dan bercerita panjang pun tak apa. Hiasan yang di gunakan juga berpadanan dengan konsep restoren ni.

Ini suasana penuh di sini. Bila buffet tak lah penuh sangat masih ada ruang untuk laluan. 
Pencahayaan dan penggunaan menambahkan lagi seri ruang di sini. Saya rasa selesa di sini.

Jika sukakan ruangan di bahagian luar. Ada juga tempat di bahagian luar. Tapi tak rasa aircondla.
Bila sudah lama duduk menikmati makanan dan suasana di dalam. Tibalah masa untuk balik. Nak balik Semenyih ni, macamlah jauh sangat. Dari highway memang kelihatan Laman Grill ni. Besar sign boardnya. Sebenarnya di kawasan ni banyak tempat makan. Macam-macam pilihan. Tapi Laman Grill ni ada pelanggannya juga. Penuh jer.
Bila aku tengok pintu tu aku teringat yang aku baca di review tentang pintu. Macam-macam. Moga Laman Grill ni terus maju jaya. Senang sikit nak makan steak tak perlu pergi jauh-jauh dan yang penting halal.
Alhamdulillah. Selesai sudah layankan akak sorang ni nak makan steak. Katanya nanti nak bawa aku cuba yang di Bangsar pula. Apa pun aku kagum dengan chef Zubir ni. Ada 2 cawangan Laman Grill dah. Moga lebih ramai yang berjaya seperti ini.

Cermin Kereta Pecah Nak Buat Macam Mana

Memandangkan kami semua ada program memasak bubur lambuk di IKBN Dusun Tua maka kami berkongsi kereta ke sana. Kereta aku tinggal di rumah Ain. Parking elok-elok tepi rumah dia. Seperti selalu tinggalkan Tata (nama kereta aku) tanpa sebarang rasa was-was. Kami berempat pun ke IKBN dengan menaiki kereta Zaid.

Sebaik sahaja selesai membahagikan bubur lambuk di kawasan Kampung Pasir, Sungai Lalang, aku pun nak ambil kereta untuk pulang ke rumah. Tiba-tiba tengok cermin kereta belah pamandu pecah. Ada kesan terkena batu. Cermin kereta pecah nak buat macam mana? Ini adalah kali pertama aku hadapi.

Malam aku ada Majlis Berbuka di Menara PGRM. Macam mana nak pergi dengan cermin kereta pecah macam ni? Tutup pintu kereta pun da dengar macam nak berderai. Sempat ke nak baiki. Nak buat macam mana dengan cermin pecah. Takut pulak aku nak drive jauh-jauh. Takut kaca masuk mata. Alhamdulillah kawan aku sanggup datang dari Serdang ambik aku untuk ke majlis berbuka. Bukan apa, bapanya sudah jemput, percuma pula tu. Tak baik menolak rezeki. Walaupun sedang menghadapi cermin kereta pecah macam di dalam gambar di bawah.


Penat dari pagi memasak bubur lambuk. Penat masak konon. Padahal potong-potong bahan-bahan dan tolong bungkus serta agihkan jer. Chefnya special dari IKBN Dusun Tua. Mereka yang lelaki yang kacau buburnya. 
Walaubagaimanapun aku tak tau nak buat macam mana dengan cermin pecah aku ni. Nak pecahkan terus atau biar jer retak seribu. Mana yang selamat. Aku malas nak fikir aku terus call agen insurans kereta aku. Kawan aku juga. Mujur kali ni dia nasihatkan aku beli yang mahal sikit. Selalunya aku beli rm 75 jer untuk cermin. Aku beli insurans kereta etiqa. Jadi katanya dia suruh aku cari kedai yang ada etiqa specialist windscreen. Aku pun google yang berhampiran dengan rumah aku. Lepas tu aku 
berehat, sebelum bersedia ke majlis berbuka. Tak sabarnya sebab jumpa kawan-kawan.

Esoknya pagi-pagi aku bawa kereta aku ke bengkel di Reko Sentral. Aku bawak kereta aku dalan keadaan cermin retak seribu tu. Bawak perlahan-lahan. Ada tinted jadi cermin tu tak relai. Masa aku bawa kereta tu hari Jumaat. Mujur aku datang awal. Depa nak solat Jumaat. Alhamdulillah adik-adik ni baik. Macam agen insuran tu kata, boleh claim sekali dengan tinted. Tapi tinted untuk cermin yang pecah tu jer la. Tapi aku nak cepat jadi aku tak tinted. Kemudian nanti baru aku buat. Adik di bengkel tu kata kalau aku nak tinted dan nak claim kemudian pun boleh. Bawa resit, tapi kena cepat lah.

Sebelum aku datang aku call dulu bengkel ni tanya apa keperluan. Dalam keadaan cermin retak tu kalau boleh semuanya tepat. Tak adalah ke hulu ke hilir dalam keadaan cermin retak. Kawan-kawan aku kata susah dan lambat claim insuran ni. Kena report polis dulu. Tapi aku tanya agen insuran aku tu dia kata tak perlu report polis. Bila aku tanya owner bengkel dia kata aku hanya perlu bawa cover note dan fotostat ic. Untuk pastikan yang aku boleh claim insuran. Aku email dulu cover note tu. Alhamdulillah owner bengkel tu kata boleh. Barulah aku bawa kereta aku ke sana. Semua urusan sangat mudah. Kejap sahaja dah tukar cermin baru.

alamat bengkelnya:-
No 9G Jalan Reko Sentral 1,
 Reko Setral Kajang,
43000 Kajang,
Selangor

No hp 013-2078085

Alamat ni pun aku dapat hasil dari tanya mr google. Maklumat di hujung jari. Paling penting pandai menggunakan maklumat serta bijak memilih malumat yang sahih.