Rabu, 19 Ogos 2015

Cendol Songkok Tinggi, Cendol Madu Rembau dan Ensiklopedia Bergerak di Cendol Leman Dawi

Sebenarnya ni cerita sebelum ramadhan lagi. Ketika menghadiri majlis perkahwinan anak kepada rakan sekerja di Tampin. Tapi kan dah kata banyak cerita nak diceritakan. Hanya kesempatan sahaja kurang untuk bercerita. Kadang-kadang tu bahan ada tapi mood tak ada. Kadang-kadang tu mood ada, idea pula tak ada. Mujurlah ni bukan berkaitan dengan kerja makan gaji. Kalau kerja tak ada mood macam mana? Bila rezeki atau gaji pula tak ada mood. Masa tu baru haru. 

Berbalik semula pada kenduri. Kenduri kahwin zaman sekarang macam-macam. Bila di Johor contohnya air berjenis-jenis. Teruja jadinya nak minum air. Sekarang ni kenduri ada macam-macam makanan. Dalam dewan ada pula macam-macam stall. Ada laksMa, aiskrim, cendol dan ada pula bahagian untuk kanak-kanak. Lengkap dengan gula-gula, cup cake, strawberry coklat dan macam-macam lagi. Malaysia memang kaya dengan makanan. Alhamdulillah.

Sebut tentang cendol. Masa majlis ni kami masing-masing menikmati cendol. Cendol ni namanya Cendol Songkok Tinggi. Penjaga stall cendol songkok tinggi ni, siap pakai songkok tinggi degan pakai tanda nama lagi. Rasa cendol yang mereka ni hidangkan pun sedap. Ada yang bertambah-tambah. 

Semasa makan cendol teringat dalam perjalan pergi tadi banyak kedai cendol di tepi-tepi jalan. Dalam kereta dah fikir-fikir balik nanti nak singgah. Nak sangat rasa cendol yang mereka kata boleh tambah-tambah. Rupanya kawan-kawan aku pun sama nak rasa cendol tu. Kawan aku Ng dah siap bagi tau dekat Aya. Jangan terkejut nanti bila 4 kali berhenti bila keluar dengan aku. Memang betul tu. Sebab tu aku suka ikut jalan kampung jika tidak tergesa-gesa. Suka singgah-singgah. 

Tak sampai lagi ke tempat yang diidam dah singgah di Kedai Cendol Madu Rembau. Di sini specialnya, cendolnya menggunakan madu, jika kita order cendol madu. Macam-macam pilihan cendol ada di sini. Semuanya nampak sedap-sedap. Ada juga cendol special. Aku nak order cendol jagung tapi kena marah dengan Ng. Katanya cendol jagung di Semenyih pun ada. Aku pun order cendol madu. Beza rada cendol menggunakan madu dengan gula merah biasa. Rasanya lebih manis. Aku suka rasanya. Untuk kudap-kudapan. Ng order cucur udang untuk kami. Perut rasa dah penuh.


Akhirnya sampai juga di kedai cendol yang boleh tambah-tambah. Tapi terlajak pula sebab jalannya aku biasa dan sedikit kekeliruan. Sanggup patah balik. Bila lagi nak sampai sini. Rupanya ada jual nasi sup. Nasi yang dihidangkan bersama sup ayam dalam satu mangkuk. Mangkuknya sederhana sahaja. Aku ni suka sup. Walau rasa perut penuh aku nak rasa supnya. Kawan-kawan lain dah seronok makan cendol. Aku sorang makan nasi sup. Mereka siap tambah lagi. Lepas dah menikmati nasi sup baru aku makan cendol. Makan ke minum cendol? Di atas meja tu disediakan ais, cendol, santan dan air gula merah. Jadi tambahlah berapa kali pun. Tambah percuma sahaja.


Selama hari ni aku hanya dengar tentang cendol yang boleh ditambah percuma. Tapi rupanya ada yang istimewa di sini. Masa mula-mula masuk aku dah tercengang-cengang tengok ada seorang pak cik ni bercerita. Di sisinya ada ensiklopedia dan beberapa buku. Ada juga buku yang ditampal keratan-keratan akhbar. Teringat aku pada arwah mak. Dulu dia selalu tampal keratan akhbar pada buku. Dari situlah aku baca maklumat lama-lama antaranya tentang Mokhtar Dahari dan Mumtaz Jaafar. Bila ditanya kita asal dari mana. Habis diceritanya sejarah negeri tu sampailah ke bilangan penduduk pun dia tahu. Bukan sahaja itu kepantasan harimau bintang berlari pun dia ingat. Siap tahu di muka surat mana maklumat yang disebut tu ditampal. Hebat. Adakalanya bersastera pun ada. Aku berfikir-fikir siapalah pak cik ni. Apa pun terhibur juga. Sambil-sambil menikmati cendol. Tersenyum-senyum aku dengar cerita-cerita dari pak cik ni. 


Di bawah ni gambar cendol dan nasi sup. Nasi sup tu boleh lah untuk alas perut. Sebelahnya pula cendol yang pertama. Harganya RM 2.50 sahaja. Kemudian jika nak tambah, tambah sendiri. Layan dirilah yer. Ikutlah nak santan banyak mana. Nak manis tambah banyak gula melaka. Ikut selera sendiri.Tapi sup tak ada tambah-tambah yer. Jadinya penat memandu jadi hilang bila dapat makan cendol sejuk-sejuk ni. Rasa manisnya memberikan rasa kembali bertenaga untuk perjalanan seterusnya.


Ternyata yang singgah di sini bukan sahaja orang tempatan. Malahan orang dari negeri di bawah bayu pun ada menjamu selera di sini. Menikmati cendol. Sambil-sambil tu dengarlah maklumat-maklumat negeri-negeri atau tempat asal pengunjung tersebut. Pak cik akan ceritakan selengkap-lengkapnya. Bila tiba pengunjung baru beliau akan beramah mesra dan tanya dari mana. Lepas tu mulalah beliau bercerita. 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan