Sabtu, 29 Ogos 2015

Cari Mee Kicap Di Mee Kari Daud Mat Jasak

Selepas meredah kesukaran untuk tiba di Ipoh ni, macam sukarlah sangatkan? Bukan kena jalan kaki berkilometer pun. Akhirnya selepas 2 jam 1/2 perjalanan aku menaiki ETS akhirnya aku tiba di Ipoh pukul 1630. Padahal keluar rumah seawal 1030 pagi. Lapar pun ada. Mujur sebaik sahaja kawan aku ambil di stesen kereta api, kawan aku nak bawa aku makan mee kicap di Mee Kicap Daud Mat Jasak. Sedap katanya.

Suatu masa dahulu Ipoh ni bukanlah suatu bandar yang asing bagi aku. Selalu juga aku ke sini dulu. Pernah aku berkursus di sini sebanyak tiga kali. Setiap kali selama sebulan. Selepas hampir 12 tahun aku rasa Ipoh ini asing sangat. Banyak yang aku sudah ketinggalan. Dulu yang aku tahu Mee Rebus Ramli dan Nasi goreng udang di Stesen Kereta api. Sejak kebelakangan ni Ipoh terkenal dengan mee kicapnya. Sebelum ni aku pernah rasa mee kicap di Ipoh ni. Tapi sebelum tu belum ada blog lagi. Dalam tahun 2013 rasanya.

Apa mee kicap tu? Mee kicap ni bahan utamanya adalah kicap. Ada yang suka kicap cair ada yang suka kicap pekat. Mee kicap ni adalah masakan ala Cina. Bukan semata-mata tuang kicap ajer tau. Kicap ni di masak dan ada bumbu-bumbunya. Antaranya adalah bawang putih dan halia. Di mee diletakkan taugeh dan daun bawang serta sos yang diletakkan asing. Mee kicap ni dimakan sama ada dengan kuah sup atau kari. Dalam sup dan kari tu pula ada bahan-bahan-bahan macam yong tau fu seperti kek ikan. Sebab tu kebanyakan kedai yang menjual mee kicap ada dijual mee kari. Tapi karinya tidaklah sepekat mee kari kita yang adakalanya makan, jika ada resdung tu, sampai ke kepala rasanya. Ni kari ala-ala Cina. Bila makan di sini, boleh pilih nak mee atau kuey tiaw.


Bahan dalam sup atau mee kari tu pun boleh dipilih. Kata orang putih customade. Jika tak pilih akan dipilihkan. Bila dipilihkan akan ada 3 jenis sahaja. Rupa mee kari di sini adalah seperti di dalam gambar di bawah. Jadi namanya mee kari. Mee kari Daud Mak Jasak ni memang dah bertahun-tahun. Sangat terkenal bukan sahaja di kalangan orang Ipoh malahan satu Malaysia. Mee kari dan mee kicapnya mempunyai rasa tersendiri.   


Bila petang sesuai sangat minum petang di kedai ni. Sambil menikmati pemandangan bangunan dan lalu lintas di Jalan Datuk Onn Jaafar. Macam kat Jepun pulak. Minum kopi sambil menikmati pemandangan simpang paling sibuk di Jepun. Melihat orang yang mungkin beratus sedang melintas di Shibuya Junction. Di Ipoh ni, masa makan mee, aku menikmati pemandangan ambulans yang sedang dengan pantas ke tempat kemalangan.


Inilah rupa kedainya. Sekarang ni telah diturunkan kepada anaknya. Orang kata rasa mee di sini kekal sama. Walau telah turun kepada anaknya. Bukan kedai ini sahaja yang ada malahan sudah ada beberapa cawangan. Ramai yang datang makan di kedai ni. Masa aku datang tadi mujur ada satu meja kosong. Sedang aku makan ada lagi yang datang bersama keluarga. Sampai sambung meja. Meriah suasana di kedai ni.


Walaupun sukar untuk parking kereta. Bagi orang Ipoh yang memang sudah biasa di kedai ini bagi mereka mudah mencari parking. Mujur aku datang dengan orang Ipoh. Bila aku dah pesan mee kicap, aki nampak akak tu goreng mee, baunya sangat menyelerakan. Tambah pula dengan perut aku yang dah lapar. Tapi Yan masak malam ni. Makan banyak nanti kenyang.

Sudahnya aku beli bungkus mee goreng dan Hajar pun bungkus kuey tiaw goreng. Teringin nak makan. Nanti balik Semenyih teringat-ingat macam mana? Baik beli. Meenya pun dicampur juga bahan yong tau foo tu. Untuk makan 1 mee kicap, 1 mee kari dan juga 2 air serta bungkus hanya RM 15 sahaja. Alhamdulillah kawan aku belanja.

Apa sahaja perniagaan apabila kualitinya dijaga pasti akan berjaya dan bertahan lama. Kejayaan juga tidak datang bergolek. Perlu ada usaha. Usaha tangga kejayaan. Pengusaha mee kicap ni bermula lebih 40 tahun yang lalu. Sekarang legasinya diteruskan oleh anak-anaknya. Bukan mudah untuk kekalkan rasan agar tetap sedap dan menjadi pilihan ramai.
 
Sambungan dari:
 

Sarapan Pulut Lepa Sedap di Terengganu


Masih lagi cerita percutian di Terengganu, percutian konon. Asalkan tak perlu fikir tentang kerja cuti lah tu. Kali ni nak cerita tentang sarapan pulut lepa sedap di Terengganu. Terutama di kawasan Merang. Di kedai ni bukan sekadar pulut lepanya sedap, nasi dagang dan juadah yang lain-lain pun boleh tahan sedapnya. Siapa lambat habislah makanan tau.

Apa pulut lepa tu? Selalu yang didengari pulut panggang kalau di Selangor ni. Pulut lepa ni sama macam pulut panggang, bezanya isinya adalah ikan. Seperti di dalam gambar di bawah ni. Kali pertama makan pulut lepa ni Ain yang bagi rasa. Masa tu bertandang di rumahnya. Sedap sangat makan satu nak satu lagi dan lagi. Istimewa pulut lepa ni adalah inti ikan tu. Bila dimasukkan ke dalam mulut. Bila mula dikunyah rasa pulut yang lemak dan isi ikan yang sangat berasa tu sangat nikmat rasanya. Pasangan yang serasi pulut dan isi ikan. Dibangkitkan pula dengan aroma daun pisang yang dibakar. Alamak mana nak cari pulut lepa sekarang ni?


Nak buat pulut lepa ni kenalah buat inti ikannya. Bertuah betul pergi ke Terengganu kali ni. Banyak dapat tengok secara langsung. Waktu di pantai dapat lihat nelayan naikkan boat dan lihat hasil tangkapannya. Nak beli belacan dapat lihat proses buat keropok keping. Kali ni dapat lihat proses buat pulut lepa. Sebenarnya kedai ni kedai kakak Ain. Kebetulan balik dari berkelah di pantai, singgah untuk hantar ikan dan sotong yang dibeli. Sementara tunggu Ain goreng sotong aku menyemak di dapur tengok abang iparnya buat pulut lepa.


Isi ikan yang sudah siap adalah seperti gambar di atas. Untuk buat isi ikan ni antara bahan-bahannya adalah halba bawang dan santan. Macam senangkan. Untuk resepi klik lah di tulisan biru tu. Bila dah siap isi ikan proses menyumbat isi ikan di dalam pulut pula. Mereka ni cukup menjaga kebersihan tau. Kedai ni pun tersusun dan bersih. Tanpa was-was.

Pulut lepa yang sudah siap dibungkus dengan daun pisang. Inilah rupanya sebelum dipanggang. Bila dibakar lagilah aromanya menggigit perut. Terus lapar jadinya. Biasanya kalau tak pesan memang tak ada harapanlah nak makan pulut lepa ni. Biasanya Mami akan pesan banyak-banyak untuk dibawa balik. Menunjukkan betapa sedapnya pulut lepa ni. Nanti tinggal panggang jer bila di rumah.


Lambat nak tunggu panggang. Nikmati begini pun sedap juga. Tak sabar nak rasa. Aku suka pulut dia. Rasanya lemak-lemak tak begitu manis dan padan dengan rasa ikan.  Cara buat pulut ni pun ada di tulisan biru. Di tempat aku pulut ni dimakan dengan rendang atau sambal tumis. Terutama sewaktu sarapan. Jadi inilah bagusnya berkawan dengan macam-macam orang. Dapat merasa kepelbagaian makanan.


Di sini aku dapat makan nasi dagang, menu wajib yang harus dimakan bila berada di Terengganu. Mak Ain pun masa datang ke Selangor ni pernah masakkan nasi dagang. Memang terbaik. Anak beranak semua pandai masak. Gulai ikannya cukup rasa asam garam. Bertambahlah bila makan. Ini pun kalau lambat memang tak dapatlah makan nasi dagang.


Kedai ni dekat dengan Sekolah Rendah merang. Sambil duduk makan sambil lihat keindahan kawasan. Kawasan kedai ni seperti yang saya kata tadi. Bersih dan kemas. Tenang jer pagi-pagi sarapan di sini. Nasib jauh. Kalau dekat boleh datang hari-hari. 


Suasan kedai ni jelas menunjukkan betapa kemas dan teliti pemiliknya. Bagi penggemar kopi, macam-macam kopi ada dijual di sini. Pilih sahaja mana yang suka. Kemudian bayar. Banyak pilihan nak minum apa. 


Tempat parking pun luas, tak payah pening-pening kepala bersesak-sesak. Aku suka kedai ni dari segi makanan, susun atur dan pemiliknya pun sangat baik dan ramah. Bila ikhlas masaknya baik hatinya murah rezeki Allah bagi. Moga Allah luaskan rezeki kakak ni dan keluarganya. Begitu juga dengan rezeki kawan-kawan yang membaca blog ni.




Jumaat, 21 Ogos 2015

Dari Semenyih ke Ipoh naik ETS

Beberapa hari sebelum ke Terengganu geng-geng Kaki Jongket mempelawa aku ke Ipoh. Nak bawa aku jalan-jalan katanya. Ni lah kawan-kawan aku. Sweet sangat, tua-tua gini ada orang nak bawak jalan-jalan. Mana la sempat nak rasa bosan macam ni. Ada sahaja aktivitinya. Geng Kaki Jongket ada beberapa orang lagi. Tapi geng September gataway ni pulak apabila sebahagian kami-kami ni sahaja yang bercuti. Pra bercuti sebelum percutian yang besar. Ada masa aku update cerita perjalanan geng kaki jongket. Apa-apa pun sebelum ke Terengganu selesaikan permohonan cuti aku terlebih dahulu. Dalam kepala ni dah berfikir macam mana dari Semenyih nak ke Ipoh ni. Nak naik bas, nak naik dari mana? Pilihan yang ada adalah beli tiket bas di TBS atau di Pudu Raya. Jika di Jalan Reko, pilihan yand ada sangat terhad.  Nak naik ETS pun ok juga.


Akhirnya aku membuat keputusan naik ETS. Pantas dan selesa. Tiket ETS ni aku beli semalam. Balik dari Terengganu dah petang. Esoknya penat pula nak bawa kereta ke Kajang tu. Malas sebenarnya. Mujur dapat tiket pukul 1. Lain-lain dah habis. Waktu tu baru pukul 11 pagi hari Khamis. Cepat betul habis. Aku nak ke TBS beli tiket bas. Malas pula nak naik komuter. Lagi pun nanti lewat masuk kerja semula. 


Dapat tiket ETS bermakna perjalanan baru akan bermula. Sebelum tu beberapa pertimbangan aku lakukan. Mana nak parking kereta. Siapa nak hantar. Sudahnya aku membuat keputusan untuk parking di TBS. Jadi tak perlu sesiapa ambil atau hantar. Aku pun balik nanti tak tentu masa. Perjalanan dari Semenyih ke TBS mengambil masa 30 ke 40 min. Mengikut keadaan lalu lintas. Aku harap kereta aku selamat parking di TBS. RM 4 sehari. Kawan aku selalu parking di sini. Katanya selamat. Dulu RM 3 sahaja.

Dari TBS aku perlu ke KL Sentral. Untuk mudah, naik sahaja komuter. Tapi kena sampai awal. Komuter ni lambat sikit dan jadual perjalanannya tidak sekerap LRT. Hari ni aku pun tak tahu kenapa ngek sangat aku boleh beli tiket LRT. Beli pakai mesin. Disebabkan kelam kabut aku pun tak tengok laluan. Terus sentuh perkataan KL Sentral. Bila dah naik, tengok map tu, baru aku perasaan LRT tidak ke KL Sentral. Disebabkan jarang guna publik transport sejak akhir-akhir ni. Setiap kali naik selalunya aku tengok dulu jalannya. Kali ni aku belasah jer. Rupanya selama hari ni aku naik dari komuter Kajang. Tiket komuter dari Kajang ke TBS baru RM 1 jer. Dari komuter Kajang mana ada pilihan sama ada naik Komuter atau LRT. Selalu kawan aku hantarkan ke stesen komuter. Kali ini belajar berdikari.

Padanlah RM 3.30. Padahnya bila terlalu automatik. Aku pun mulalah bertanya. Adalah dua orang aku tanya. Adik-adik ni pun terangkanlah. Baik adik ni. Aku pun takut juga tak sempat.  Masa tu dah pukul 12. ETS pukul 1300. Alhamdulillah sampai di hentian Masjid Jamek dalam pukul 1215. Sepantasnya aku berjalan. Turun tangga laju-laju.  Alhamdulillah bila aku sampai tertulis lagi 4 min akan gerak. Lagi pun dari stesen Masjid Jamik selang satu stesen jer ke KL Sentral. Star ni cepat dan pantas sempat aku tiba di KL Sentral pukul 1230.

Bila tiba di tempat menunggu tu ingatkan dah lewat. Rupanya ramai lagi menunggu. Lepas 30 minit menunggu. Pengumuman kata ETS ke Ipoh delay. Akan berlepas pada 1315. Perut dah lapar. Dahaga lagi. Ingat dah nak masuk rupanya delay. Bila dah 1316 baru diumumkan  ETS dari Ipoh dah tiba. Beberapa minit lepas tu diumumkan pulak berlepas pukul 1330. Lama aku berdiri. Ramai juga yang sama-sama berdiri menunggu dengan aku. Tempat duduk tak cukup, ada juga yang duduk di kerusi KFC. 

Sebelum ni aku ke Ipoh juga. Naik ETS. Ini pertama kali aku rasa delay. Ingat yer lain kali naik komuter. Senang untuk ke KL Sentral dari TBS. Rancang dengan teliti perjalanan. Serta pastikan destinasi dan laluan yang betul. Akhirnya selepas 2 jam 30 minit perjalanan aku tiba juga di Ipoh dengan selamatnya.

Rabu, 19 Ogos 2015

Cendol Songkok Tinggi, Cendol Madu Rembau dan Ensiklopedia Bergerak di Cendol Leman Dawi

Sebenarnya ni cerita sebelum ramadhan lagi. Ketika menghadiri majlis perkahwinan anak kepada rakan sekerja di Tampin. Tapi kan dah kata banyak cerita nak diceritakan. Hanya kesempatan sahaja kurang untuk bercerita. Kadang-kadang tu bahan ada tapi mood tak ada. Kadang-kadang tu mood ada, idea pula tak ada. Mujurlah ni bukan berkaitan dengan kerja makan gaji. Kalau kerja tak ada mood macam mana? Bila rezeki atau gaji pula tak ada mood. Masa tu baru haru. 

Berbalik semula pada kenduri. Kenduri kahwin zaman sekarang macam-macam. Bila di Johor contohnya air berjenis-jenis. Teruja jadinya nak minum air. Sekarang ni kenduri ada macam-macam makanan. Dalam dewan ada pula macam-macam stall. Ada laksMa, aiskrim, cendol dan ada pula bahagian untuk kanak-kanak. Lengkap dengan gula-gula, cup cake, strawberry coklat dan macam-macam lagi. Malaysia memang kaya dengan makanan. Alhamdulillah.

Sebut tentang cendol. Masa majlis ni kami masing-masing menikmati cendol. Cendol ni namanya Cendol Songkok Tinggi. Penjaga stall cendol songkok tinggi ni, siap pakai songkok tinggi degan pakai tanda nama lagi. Rasa cendol yang mereka ni hidangkan pun sedap. Ada yang bertambah-tambah. 

Semasa makan cendol teringat dalam perjalan pergi tadi banyak kedai cendol di tepi-tepi jalan. Dalam kereta dah fikir-fikir balik nanti nak singgah. Nak sangat rasa cendol yang mereka kata boleh tambah-tambah. Rupanya kawan-kawan aku pun sama nak rasa cendol tu. Kawan aku Ng dah siap bagi tau dekat Aya. Jangan terkejut nanti bila 4 kali berhenti bila keluar dengan aku. Memang betul tu. Sebab tu aku suka ikut jalan kampung jika tidak tergesa-gesa. Suka singgah-singgah. 

Tak sampai lagi ke tempat yang diidam dah singgah di Kedai Cendol Madu Rembau. Di sini specialnya, cendolnya menggunakan madu, jika kita order cendol madu. Macam-macam pilihan cendol ada di sini. Semuanya nampak sedap-sedap. Ada juga cendol special. Aku nak order cendol jagung tapi kena marah dengan Ng. Katanya cendol jagung di Semenyih pun ada. Aku pun order cendol madu. Beza rada cendol menggunakan madu dengan gula merah biasa. Rasanya lebih manis. Aku suka rasanya. Untuk kudap-kudapan. Ng order cucur udang untuk kami. Perut rasa dah penuh.


Akhirnya sampai juga di kedai cendol yang boleh tambah-tambah. Tapi terlajak pula sebab jalannya aku biasa dan sedikit kekeliruan. Sanggup patah balik. Bila lagi nak sampai sini. Rupanya ada jual nasi sup. Nasi yang dihidangkan bersama sup ayam dalam satu mangkuk. Mangkuknya sederhana sahaja. Aku ni suka sup. Walau rasa perut penuh aku nak rasa supnya. Kawan-kawan lain dah seronok makan cendol. Aku sorang makan nasi sup. Mereka siap tambah lagi. Lepas dah menikmati nasi sup baru aku makan cendol. Makan ke minum cendol? Di atas meja tu disediakan ais, cendol, santan dan air gula merah. Jadi tambahlah berapa kali pun. Tambah percuma sahaja.


Selama hari ni aku hanya dengar tentang cendol yang boleh ditambah percuma. Tapi rupanya ada yang istimewa di sini. Masa mula-mula masuk aku dah tercengang-cengang tengok ada seorang pak cik ni bercerita. Di sisinya ada ensiklopedia dan beberapa buku. Ada juga buku yang ditampal keratan-keratan akhbar. Teringat aku pada arwah mak. Dulu dia selalu tampal keratan akhbar pada buku. Dari situlah aku baca maklumat lama-lama antaranya tentang Mokhtar Dahari dan Mumtaz Jaafar. Bila ditanya kita asal dari mana. Habis diceritanya sejarah negeri tu sampailah ke bilangan penduduk pun dia tahu. Bukan sahaja itu kepantasan harimau bintang berlari pun dia ingat. Siap tahu di muka surat mana maklumat yang disebut tu ditampal. Hebat. Adakalanya bersastera pun ada. Aku berfikir-fikir siapalah pak cik ni. Apa pun terhibur juga. Sambil-sambil menikmati cendol. Tersenyum-senyum aku dengar cerita-cerita dari pak cik ni. 


Di bawah ni gambar cendol dan nasi sup. Nasi sup tu boleh lah untuk alas perut. Sebelahnya pula cendol yang pertama. Harganya RM 2.50 sahaja. Kemudian jika nak tambah, tambah sendiri. Layan dirilah yer. Ikutlah nak santan banyak mana. Nak manis tambah banyak gula melaka. Ikut selera sendiri.Tapi sup tak ada tambah-tambah yer. Jadinya penat memandu jadi hilang bila dapat makan cendol sejuk-sejuk ni. Rasa manisnya memberikan rasa kembali bertenaga untuk perjalanan seterusnya.


Ternyata yang singgah di sini bukan sahaja orang tempatan. Malahan orang dari negeri di bawah bayu pun ada menjamu selera di sini. Menikmati cendol. Sambil-sambil tu dengarlah maklumat-maklumat negeri-negeri atau tempat asal pengunjung tersebut. Pak cik akan ceritakan selengkap-lengkapnya. Bila tiba pengunjung baru beliau akan beramah mesra dan tanya dari mana. Lepas tu mulalah beliau bercerita. 



Isnin, 17 Ogos 2015

Macam-macam Ada di Pasar Kampung Buloh

Kebiasaannya bila sampai di Terengganu, terutamanya di Kuala Terengganu, Pasar Payang menjadi destinasi wajib. Memandangkan segala macam benda ada di Pasar Payang. Keropok, belacan, pakaian, barang dapur, telur penyu, sayur-sayur sampai lah ke kain sutera. Tapi kali ini aku ke Setiu. Jadi kawan aku ni bawa aku ke Pasar Kampung Buloh di Bandar Permaisuri. Kampung kawan yang bawa aku ni terletak di Bukit Putera. Jadinya aku pun tanya di mana Puyer ada, permaisuri ada, maka di mana rajanya? Kawan aku jawab, di Besut. Kampung Raja.

Tiba sudah di Pasar Buloh. Ain kawan aku ni terus bawa aku ke gerai jual ikan kering. Selalu Ain bawa pulut dengan ikan kering. Di sini rupanya ikan kering ni dijual. Istimewanya ikan kering ni adalah dibuang isiperutnya bersih. Ikan kegemaran rakan-rakan sekerja adalah ikan selar kuning dan ikan tamban. Ikan tamban pula ada dua jenis ada yang besar dan ada yang kecil. Ikan kering selar kuning tu harganya RM 30 sekilo. Memang sedap dimakan dengan nasi panas. Bertambah makan nanti.

Selain dari ikan kering aku selalu pesan nisan. Bukan batu nesan yer. Nisan ni ada dua saiz. ada yang bulat kecil ada yang bulat besar. Biasanya orang di belah pantai barat guna gula melaka. Mereka di sini guna nisan. Aku guna gula ni sebagai salah satu bahan ramuan jamu yang aku buat. Masa hari raya pun aku guna gula ni untuk makan dengan sagu mata ikan. Sedap. Hari ni tak ada pesan-pesan. Beli sendiri. Bila dah beli, penuh tangan dengan ikan masin. Jadi tinggal dulu digerai tu. Peniaganya pun baik dan ramah. Lagi pun Ain dan maknya memang pelanggan tetap gerai tu.

Bukan sahaja ikan kering yang ada di pasar ni. Macam pasar-pasar biasa ada juga dijual baju dan tudung. Harga di pasar ni sangat berpatutan. Salah satu gerai di sini ada menjual baju 
kurung kanak-kanak dengan harga semurah rm 20. Pilihan yang ada pun cantik-cantik semuanya. Jubah untuk kanak-kanak pun ada. Tapi tak ambil pula gambar gerai tu. Pak cik penjual baju pun sangat ramah. Kelihatan sangat kenal jenis-jenis kain yang dijualnya. Kawan aku Mami beli jugalah satu pasang baju untuk anak buahnya. Di gerai yang lain dia beli lagi 2 baju T. 
Dalam berjalan-jalan tu, aku teruja lihat pasar ni. Pasar ni sangat istimewa. Ada orang tapi keadaannya tenang-tenang sahaja. Di pasar ni barangan menjahit pun dijual di sini. Jarang aku ke pasar yang menjual alat jahit yang lengkap seperti di pasar ni. Gambar di bawah baru renda sahaja. 
Macam-macam pilihan renda ada di jual. Belum alatan jahit yang lain. Laku pula tu.


Selalu nyer telur penyu ni jumpa di Pasar Payang. Telur penyu pun ada di pasar ni. Harga telur penyu ni satu RM 4. Di Terengganu ni lah paling senang nak dapat telur penyu. Aku kawan dengan orang terengganu ni merasalah makan telur penyu. Selama hari ni makan percuma sahaja. Sekali tengok harga. Dah pernah rasa dah, jadi aku pun tak beli. Telur penyu ni walau dah dimasak dia tetap cair.


Di pasar ni aku rambang mata. Macam-macam makanan ada. Banyak juga yang aku tak pernah rasa. Banyak sangat. Ada koleh ubi, kerabu sare dan macam-macam lagi. Ada 
makanan tu namanya asam gumpal. Itu aku tak dan nak rasa. Ketupat pun ada dijual di pasar ni. Kerabu sare ni adalah kerabu sejenis 
rumpai laut. Panjang-panjang halus macam mee hoon tapi bukan warna putih. Dibungkus asing dengan kelapa dan kuahnya. Di post aku tentang berkelah di Pantai Rhu Tapai ada aku kongsi gambar rumpai ni.


Bila lihat-lihat. Bukan setakat aku tak pernah rasa. Ada juga makanan yang aku tak tahu pun namanya. Nasi dagang pula dijual siap dibungkus. Kalau tak diberitahu aku pun tak tahu yang dibungkus tu nasi dagang. Makanan orang pantai timur seperti laksam dan lompat tikam pun ada di sini dan laksa seperti biasa mana-mana pun ada laksa.

Bila orang sibuk cerita pasal aiskrim pasu. Kawan aku dari kelantan selalu kata aiskrim pasu macam aiskrim baba. Aku pun tak tahu apalah aiskrim baba tu. Di sini aku jumpa aiskrim baba. Aku pun penuh rasa ingin tahu beria tengok bahan-bahan dan cara dihidangkan. Akhirnya selepas Ain kata sedap, aku pun beli. RM 2 sahaja. Memang sedap, ada aiskrim, roti yang dipotong kecil-kecil, pulut dan macam-macam lagi. Akhir sekali coklat dan ditabur warna-warni yang kecil-kecil tu.

Bagi yang suka kuih tradisional. Ada juga boleh didapati di pasar ni. Banyak pilihan. Macam-macam kuih ada. Sama ada kuih Terengganu, Kelantan atau kuih tradisi lainnya. Penuh tangan dengan hasil belian makanan jer di pasar ni.

Siapa-siapa yang mencari akar siti fatimah dan buah zuriat atau sesuatu yang sewaktu dengannya di sini pun ada. Senang dicari. Akar-akar kayu dan herba pun ada kelihatan. Mana tahukan ada yang mencari bahan-bahan ni. Bukan itu sahaja hand bag pun ada. Paling tak boleh tahan cap MK pun dijual di sini.
Bagi penggemar petai jeruk harga di sini dalam rm 35. Siap dalam balang. Tinggal bawa balik jer. Tapi aku teruja tengok ikan bilis. Murah-murah ikan bilis di sini. RM 15 sekilo pun ada. Padanlah nasi lemak pagi tadi yang mak Ain masak banyak ikan bilisnya. Puas makan. Di bawah inilah ikan kering selar kuning. Siap dibersihkan baru dikeringkan. Ikan kering ni lah yanga harganya rm 30 sekilo. Tapi berbaloi. Sedap dimakan.

Ini makanan kegemaran aku. Petai. Petai jeruk tadi aku tak beli. Tapi petai ni Mami beli. Harganya RM 2 ada 7 papan. Beli 3 ikat RM 5. Bahagia aku rasa hari ni. Di Semenyih RM 5 adalah 5 papan sahaja. Tapi Ain kata jika tak musim harganya berbeza. Sekarang sedang musim petai. Balik tu ulam petailah. Esoknya Mami masak petai letak telur. Sedap sangat. Makan bertambah-tambah.
Aku seronok sangat berada di Terengganu ni. Unik dengan tersendirinya. Ni kunjungan yang 
ke 4. Tapi setiap kali berkunjung ada sahaja pengalaman yang berbeza. Hasil dari beli barang di Pasar Kampung Buluh yang macam-macam ada ni hampir penuh boot kereta. Dua kali aku dan Ain berangkut barang. Penuh tangan dengan ikan kering, petai, baju, durian dan makanan. Sekurang-kurangnya balik nanti yang mengirim tak la kecewa. Serta ada juga ole-ole untuk kawan dan keluarga. Harap-harap ada rezeki lagi datang ke sini. Lupa nak beritahu. Pasar ni adalah pada hari Sabtu dan hari Selasa. Memandangkan Selasa pagi-pagi dah nak balik. Jadi kami membeli pada hari Sabtu. Baru ikan kering jer ni. Belum beli keropok lagi.

Ahad, 16 Ogos 2015

Sata Sedap di Menggabang Telipot, Terengganu

Terengganu kita. Yeaaaaa.....sudah berada di Terengganu. Satu perjalanan yang tidak dirancang. Biasanya yang tak dirancang inilah yang menjadi. Alhamdulillah perjalanan kali ni semuanya ditaja. Syukur Allah bagi rezeki melalui insan-insan yang berhati mulia. Dikesempatan berada di Terengganu ini aku pun gunakan untuk mencari sata. Aku pernah sampai di Terengganu ni pun bukan mudah nak dapat sata yang sedap. Sata yang ikannya banyak. Jadi aku pun tanyalah kawan aku yang dari Terengganu ni mana ada jual sata yang sedap. Pertama kali aku makan sata masa aku umur 18 tahun. Masa tu hanya rasanya biasa-biasa sahaja. Tak lah sampai aku berkenan. Kunjungan aku sekali lagi pernah juga beli sata. Bila makan rasanya seperti yang sudah rosak. Masa tu dalam perjalanan balik ke Selangor dah. Beli makan dalam kereta. Tapi kecewa.

Jadi di mana kali pertama aku makan sata sedap ni? Aku ni tak berputus asa. Bila kakak aku kata sedap aku percaya. Aku pun cuba. Memang sedap. Waktu tu di Cheras. Kawasan kedai. Depannya gerai-gerai makan. Jalan sembilang rasanya. Masa tu tahun 2012. Lama dah berlalu. Memandangkan aku ni orang Selangor, kesempatan makan sata yang sedap aku gunakan sungguh-sungguh. Bayangkan aku pernah nak beli sata tapi harganya RM 7.5 secucuk. Memang aku tak beli. Tak berbaloi. Baik makan nasi berlauk, dengan air limau suam. Kenyang. Di Terengganu ni harga secucuk yang ada 4 sata hanya RM 2. Bahagianya duduk Terengganu. Petai seikat ada 7 papan baru RM 2. Beli 3 ikat RM 5 di Pasar Buloh. Ditempat aku RM 5, hanya 5 papan. Bila jalan jauh-jauh pula jalan cantik. Tak perlu bayar tol. Walau jalan kampung jalannya luas. Payah nak jumpa jalan belubang jika nak dibandingkan dengan jalan Sungai Lalang Semenyih. Kos nak baiki rim bengkok akibat langgar lubang dah sekian. Jadi tak cukup buat satu kerja jika tidak berniaga.

Berbalik pada cerita sata sedap di Terengganu ni. Kawan aku memberikan kerjasama yang sangat bagus dalam usaha mencari sata sedap ni. Katanya kena awal. Sata di kedai yang kami nak pergi ni cepat habis. Apa sata ni sebenarnya? Sata ni diperbuat daripada ikan dan kelapa. Untuk bagi sedap adalah ditambah bumbu-bumbunya. Kemudian dibungkus dengan daun pisang dan dicucuk dengan buluh. Barulah dipanggang. Rasa ikan dicampur dengan wangi bumbunya dan wangi daun pisang selepas dipanggang. Sedap sangat. Tambah pula lemak-lemak manis rasa kelapa dan bumbunya yang memberi perisa kepada sata serta mesra pula dengan rasa manis ikan segar yang digunakan.


Sata ni sedap sangat dimakan. Saiz sata di kedai ni pun besar. Makan 2 sudah rasa puas dan kenyang. Rasa ikan memang terasa melebihi rasa kelapa. Beli banyak pun tak menyesal. Sedap lagi bila dimakan terus panas-panas. Nikmatnya. Inilah kelebihan menjadi rakyat Malaysia. Kepelbagaian citarasa di Malaysia ni, membuatkan banyak adanya pilihan makanan. Makanan-makanan ni lah yang menggamit kehadiran aku di Terengganu.


Di kedai ni juga ada dijual pulut lepa. Pulut lepa ni pula pulut yang intinya ikan. Dikedai ni ikannya dicampur kelapa. Pulut lepa ini juga dibalut dengan daun pisang dan dipanggang. Selain daripada sata bolehlah dapatkan pulut lepa di sini. Punyalah cepat habis. Itu sahaja yang tinggal yer. Waktu ni belum pun pukul 1030 tau. Jadi inilah rezeki kami, kami borong semua. 


Rasa pulutnya sedikit manis dan inti ikannya sedap bila di makan. Bagi yang sukakan rasa manis mungkin suka rasa pulut dari kedai ni. Harga pulut lepa ni RM 0.50 sahaja satu. Pulut lepa ni tak seperti pulut panggang. Pulutnya lagi tebal dan intinya tidak bercili. 


Inilah kedainya. Kedai ni di terletak di tepi jalan Menghala ke Kuala Terengganu. Kali ni kedatangan aku ke Kuala Terengganu aku belajar makan pulut lepa. Sebelum ni kawan aku ni buat di rumah dia aku pun tak tau itu pulut lepa. Ingatkan pulut panggang. Inilah pertama kali aku jumpa pulut lepa di Terengganu ni. Dulu manalah tau pasal pulut lepa ni. Bila jumpa buat tak tau jer la. Esok Ain akan bawa aku makan pukut lepa di ke kedai kakaknya pula. Tak sabarnya.

Ahad, 9 Ogos 2015

Beraya Di Tepi Sungai di D'River Resort, Janda Baik

Raya tahun ni aku cuti lama sikit daripada tahun-tahun sebelum ni. Tapi anak-anak buah aku mula sekolah awal. Hari raya ke 5 dah mula bersekolah. Jadi aku kenalah layankan kerenah mereka ni yang sejak dari mula jumpa aku sibuk nak ajak aku mandi sungai. Walau pun kampung aku dekat sangat dengan Sungai Gabai, Along merangkap Pak Long anak-anak buah aku memang dah pangkah harapan anak-anak ni untuk mandi sungai. Bahayalah, tak elok raya-raya mandi sungai. Aku ni asalnya dah bersetuju nak bawa mereka mandi seawal pagi raya ke 2 terus terbantut. Kata orang-orang tua. Tak patah pesek. Jadi dengar jer lah. Nak mandi kat Sungai Tekala, aku tengok berlilit dengan tali kuning.

Nak dijadikan cerita, hari raya ke 3 balik dari beraya, rumah aku tak ada elektrik. Esoknya pulak tak ada air. Jadinya aku pun bawa anak-anak ni dengan maknya mandi di tempat kerja aku. Kemudian lepas sarapan aku layankan mereka ni jalan-jalan di IoI City kononnya nak makan makanan Korea. Peminat k-pop anak-anak buah aku ni. Kemudian aku pun terus gerak untuk hantar mereka ni ke Pahang. Dalam kereta aku buka cerita pasal Janda Baik. Terujalah anak-anak ni. Walaupun hanya 2 orang tapi meriahnya macam ramai. Selepas mereka bersetuju untuk tong-tong bayar chalet, aku pun setuju. Ajar mereka susah senang bersama. Biar mereka hargai RM. Bila guna duit raya depa, barulah depa tau susahnya nak keluarkan duit Rm 50. Masa tu dah lewat petang. Aku kata pada depa. Mak Usu boleh bawak tapi gelap. Mereka kata tak apa. Yer la depa memanglah kata tak apa, aku yang bawa.

Dalam pukul 8 malam juga tiba di Janda baik. Baguskan? Tak booking main redah jer pulak tu. Malam dah lah gelap. Susah nak cari chalet. Aku pun dah tak berapa ingat keadaan di Kampung Janda Baik ni. Nak layankan anak-anak ni. Tak apa lah. Lepas ni harap mereka belajar rajin-rajin, biar berjaya di dunia dan di akhirat. Selepas berlegar-legar dalam Kampung Janda Baik dekat 2 jam. Barulah dapat chalet. Almaklumlah nak cari yang murah dan depan chalet ada sungai. Biar bangun pagi-pagi terus terjun. Mula-mula aku terus ke Hawa Resort. Sebab tahun lepas aku ada ke sana dengan rakan-rakan. Tapi sayang dah penuh. Masa aku pergi tu D'River ni penuh. Tu yang duduk Hawa Resort. Kali ni rezeki duduk di River pula. D'Ark masa aku pergi tutup. Ada juga chalet yang aku pergi, tutup tapi ada no hp. Aku wasap, tapi bila depa reply aku dah pun dapat chalet. Tak ada rezeki aku duduk di chalet depa. Walaubagaimanapun tercapailah juga akhirnya hajat anak-anak buah aku ni. Sepanjang pencarian tu macam-macam jenis penginapan ada. Hotel tiga bintang, villa ala-ala bali, ada juga yang berhampiran sekolah pondok, Sakinah aku rasa namanya. Ada jambatan gantung. Aku pun tak tahu mana jalan masuknya, almaklumlah dah malam. Tapi nampak dari luar macam cantik. Ada juga banyak homestay di Kampung Janda Baik ni. Jadi banyak pilihan di sini, bolehlah pilih mengikut kemampuan. Di bawah inilah rupa chalet yang masih kosong. Mujur ada.


Masa kami sampai tu hari dah malam, chalet kebanyakannya dah berpenghuni. Alhamdulillah, kalau tidak, keluar dari Janda Baik teruslah ke Jengka kami ni, putuslah harapan anak-anak ni. Nasib baik empunya tempat ni mahu terima kami yang datang malam-malam. Empunya tempat ni sangatlah ramah dan baik hati. Suami isteri, dua-dua baik. Walau malam kami sampai tetap dilayan dengan baik. Kereta pun boleh di letakkan hampir dengan penginapan. Jadi mudahlah nak turunkan barang-barang. Di bawah nilah rupa chalet kami dari belakang. Hampir dengan jambatan masuk D'River.

Chalet di sini ada macam-macam jenis dan macam-macam bentuk, Chalet aku duduk dengan jiran sebelah jer pun dah tak sama. Berbeza rupanya. Dapat jiran yang baik juga. Siap bagi kami Ayam BBQ lagi. Mereka bawa barang lengkap. Lain kali bolehlah datang sini lagi dengan aktiviti yang terancang. Seronok bakar-bakar ayam atau ikan di sini. Lepas mandi, makan, lepas makan, mandi. Sampai puas. Anak-anak mesti suka.


Pak Cik tuan empunya chalet ni kata bilik ini ada katil untuk 2 orang, Bilik air di dalam. Bilik ni bagi aku luas dan selesa untuk kami berempat. Ada ruang untuk solat dan letak barang-barang. Masih juga ada ruang untuk Dhuan tidur. Ada juga cermin, perempuankan suka cermin. Senag nak pakai tudung lilit-lilit. Kain-kain solat atau tuala pun tidaklah bersepah ada disediakan penyangkut. Keatle tu pun dari chalet ni, kami minta siap-siap. Senang nak masak air malam-malam atau pagi nanti. Kalau boleh bawa dari rumah lagi bagus.


Memandangkan kami berempat, Dhuan terpaksa tidur atas lantai, beralas kain batik. Mujur ada karpet. Jadi tak lah dia sejuk. Lain kali datang bawa toto yer. Boleh tidur tiga orang di lantai tu. Kalau datang 6 orang pun boleh ni. Chalet yang kami sewa ni satu malam RM 130. Berbaloilah dengan harganya. Paling penting bagi aku adalah tepi sungai.


Warna pink lagi alas tilamnya, ada disediakan 2 selimut dan 2 bantal. Jadi adalah yang tidur tak berbantal malam ni. Lain kali bawa bantal siap-siap. Bukan itu sahaja. Bawa sekali periuk nasi dan dapur gas kecil tu. Senang nak masak-masak. Aku dapat bayangkan meriahnya bawa keluarga besar datang ke sini. BBQ sama-sama, borak-borak dan mandi manda. Moga ada rezeki aku nak berkumpul adik beradik nanti.


Tandas di sini tiada shower, mandi pakailah gayung sahaja. Disediakan baldi juga di dalam ni. Tandas seperti dilihat adalah tandas duduk. Air adalah dari sungai juga. Jadi airnya kelihatan keruh sedikit. Di kampung aku pun pakai air sungai, pakai air sungai Leweng. Pagi-pagi mandi  airnya sejuk sangat. 


Memandangkan tak dirancang jadi kami tak bawa apa-apa makanan. Kami juga belum makan. Aku hanya ingat kedai yang di simpang. Masa aku datang sebelum ni pun di situlah aku makan dan beli barang. Di situ ada kedai makan dan kedai runcit. Mujur kami sempat untuk makan malam yang dah lewat dan beli sarapan pagi esok. Anak buah aku yang Ain nak sardine dan roti. Si Ridhuan pula nak makan maggie. Kakak aku beli kopi kacip fatimah untuk aku dan dia dan milo untuk anak-anak. Siap beli cawan lagi. Layankan ajerlah. Malam tu semua tidur awal, masing-masing keletihan. Esok anak-anak ni kata pagi-pagi nak bangun awal nak mandi. Aku pun tak sabar tunggu esok. Nak tengok yer ker bangun awal. Tapi masa hari raya ke 2 tu aku janji nak bawa mandi sungai pukul 7. Tapi aku dah batalkan malam tu, esoknya Ridhuan bangun awal dari aku. Bila sesuatu yang depa suka. Sanggup bangun awal. Malam tu sebelum tidur kami sempatlah buka pintu besar-besar, menikmati angin malam yang sejuk dan bunyi deruan air sungai. Nyaman sekali. Betul-betul tepi sungai. Tapi di bawah ni gambar waktu siang.


Pagi esoknya, aku bangun dulu. Bila aku kata jom mandi sungai, hari dah siang. Mudah jer depa ni bangun. Kalau tidak, berkali-kali kena dibangunkan. Sampai uminya naik suaralah. Bezakan, bila bangun pagi melakukan pekara yang disukai dengan bangun pagi melakukan pekara yang tak disukai. Semua orang belum turun sungai lagi, Ain dengan Dhuan dah turun mandi sungai, tak sejuk ke? Sanggup depa ni. 


Siapa nak mandi bawah jambatan, bolehlah mandi di sini. Airnya bersih di sini dan arus sedikit deras. Bagi aku selamat madi tempat berarus. Khuatir juga aku bawa anak orang mandi sungai ni. Sekarang ni tengah sensitif tentang kencing tikus, Apa-apa kang habis aku kena marah dengan Along aku. Itu satu hal. Kalau apa-apa sanggup ke nak tanggung rasa bersalah tu. Tapi aku tawakal. Langkah keselamatan perlu ada. Jadi aku pun pesan supaya mereka mandi ditempat ada arus.


Kawasan sungai di sini berbatu, dan tak begitu dalam, jadi selamat untuk bawa anak-anak mandi di sini. Malam masa tiba di sini, sewaktu mencari chalet di kawasan Sakinah, aku adalah juga merentasi jambatan gantung tu, aku dengar air sangat deras, bila aku tengok air memang deras. Aku dalam hati, selamat ke nak mandi ni? Mungkin malam ni jer kut. Kalau deras sangat alamat, Ain dengan Dhuan tengok ajerlah air sungai tu.


Masa kami nak sewa chalet, pak cik tu kata, chalet bahagian dalam gambar di bawah ni tak boleh di sewa, kerana kena banjir, rupanya sehari sebelum kami ke sini kawasan ni banjir, Jadi kami pun tak dapat nak pesan sarapan. Kalau tidak ada sarapan di jual. Boleh dipesan dan dihantar ke bilik. Ada menunya diletakkan di chalet. Tak ambil gambar la pulak. Tapi tempat memasak pun kena banjir. 


Kawan D'River ni luas, ada surau di sediakan di sini. Surau ni terletak berhadapan chalet yang aku sewa. Jadi mudah jika keluarga mahu solat berjemaah beramai-ramai. Kawasan ni bersih dan terjaga rapi. Jadi sedap mata memandang. Ditambah pula dengan kehijauan. 


Chalet-chalet yang pelbagai ni juga menghadap sungai, Sebenarnya chalet-chalet di sini ada ada pelbagai pilihan harga. Jadi bolehlah dipilih mengikut kemampuan.


Gambar di bawah dari seberang sungai. Pejabat adalah di kawasan seberang ni. Masa aku sampai tu pejabat tutup. Aku cuba telefon nombor yang ada di situ tapi tak diangkat. Aku hampir putus asa. Tapi mesin basuh di luar tu sedang membasuh. Mungkin ada tuannya. Tiba-tiba dengar bunyi pinggan mangkuk. Kami pun bagi salam. Alhamdulillah salam disambut.

Anak-anak buah aku mandi sampai puas. Betul-betul masa untuk check out baru aku check out. Panggil Ain dan Dhuan naik tukar baju tak semudah suruh bangun pagi tadi. 30 min lagi, 20 min lagi. Jenuh nak suruh naik. Mereka sungguh gembira dapat mandi puas-puas. 
Tiba masanya untuk balik. Pukul 5 Ain kena masuk asrama dah. Jadi perlu bergerak ke Bandar Pusat Jengka. Dhuan pula esoknya mula sekolah. Moga mereka menghargai alam sekitar. Jika tidak dijaga, sampah dibuang merata. Mana nanti kelihatan keindahannya.
Ni plan kawasan D'River. Luas kawasan ni dengan pelbagai kemudahan:-
-Dewan Taba
-Dormitory (120 orang)
-Dewan kursus terbuka
-Chalet (25 unit)
-Dormitory kecil (18 orang)
Tempat ni hanya 36 km dari Kuala Lumpur yang mengambil masa 35 minit perjalanan. Kalau tak jem. Senang sangat nak cari tempat ni. Macam dalam peta di bawah.

Butiran tempat ni:-

Tel: 014-6322676/017-3721195
website: www.deriverresort.com.my