Ini adalah sambungan entry aku di Terengganu. Baru berkesempatan. Lama dah sebenarnya aku ke Pantai Rhu Tapai ni. Aku ke Pantai Rhu Tapai ni pada bulan Ogos yang lalu. Kebetulan pula pada bulan Ogos. Sebenarnya aku suka bulan Ogos. Bulan Ogos semua warga Malaysia tahu, bulan ini merupakan bulan kemerdekaan bumi bertuah Malaysia. Bagi aku pula bulan Ogos adalah bulan aku lahir ke dunia. Bulan Ogos biasanya pada tiap-tiap tahun akan berlaku banyak perkara menarik dalam hidup aku.
Untuk tahun ini aku ke Terengganu bersama sahabat. Sebelum ke Terengganu ni aku bercuti di Perak juga bersama sahabat-sahabat. Ada juga aku catatkan diblog ni. Macam cerita di Terengganu ni juga, belum sempat nak diceritakan semuanya. Aku nak cerita juga dalam blog ni pekara paling menyeronokkan, tanpa disangka aku dapat hadiah tinted kereta. Bertuah betul bulan Ogos. Tak kisahkan lambat cerita. Selagi aku boleh recall semula. Bila lupa nanti, padan muka aku.
Sebenarnya kali ni aku mengikut sahabat aku Ain ni ke Terenganu dengan hajat yang sangat besar. Lebih besar dari dunia. Wow besarnya hajat. Mudah-mudahan dipermudahkan. Mana tahu di bumi Darul Iman ini semuanya selesai. Manalah tau rezeki pada kali ini. Tak malukan ikut orang balik Kampung? Apasalahnya kan menumpang kasih? Orang tak ada mak ayah macam ni lah menumpang kasih pada yang sudi. Alhamdulillah syukur. Jauh-jauh sampai ke Terengganu. Urusan selesai juga. Hajat tercapai dan urusan dipermudahkan.
Kenapa mesti aku sibuk nak ikut Ain ni balik kampung?Siap ada hajat lagi. Rapat sangat ke? Apa istimewanya antara aku dan Ain ni. Mesti ke nak kena rapat-rapat sangat baru boleh ikut balik kampung? Kadang-kadang tu lama kenal bukan lah ukuran. Kami bukan sekadar berkongsi bulan kelahiran malahan turut berkongsi tarikh lahir. Pulak tu kami sama-sama anak bongsu. Banyak persamaan. Itu tidak bermakna kami kongsi boyfriend yang sama yer. Dia juga peneman bila nak makan sushi. Inilah antara sahabat yang aku ada. Aku kalau bersahabat memang sampai kenal mak ayah.
Alang-alang berada di Setiu ni. Ain yang bawa aku ke Pantai Rhu Tapai ni. Masa datang sini, aku tak tau pun tempat-tempat menarik dekat-dekat sini. Selalunya aku nak ke mana-mana mesti nak tanya Mr Google. Kali ni aku memang ikut ajer di mana aku di bawa. Pasrah betul. Rupanya pantai ni sangat indah. Pasir pantainya yang putih dan lautnya biru. Refleksi dari kebiruan langit yang membiru. Pokok-pokok Rhu banyak di tepi pantai. Adakalanya bagaikan melambai tetamu yang hadir. Kelihatan juga Bot-bot nelayan di tepi pantainya yang indah dan luas.
Sebelum datang ke Pantai Rhu Tapai ni Ain dan Mami beria membuat persiapan untuk berkelah di tepi pantai. Macam-macam makanan dimasak. Ada juga ikan yang siap diperap untuk dibawa ke Pantai untuk dibakar. Meriah nya nanti. Sebab berkelah ni bersama keluarga Ain. Masa ni program BMI letak tepi dulu. Paling penting nikmati saat ini. Tiba di Pantai kami memilih kawasan paling hujung. Hanya beberapa meter dari rumah lama yang mungkin ditinggalkan. Berehat di bawah pokok Rhu. Sambil menikmati belaian angin. Kami siap bawa tikar dan bantal tau. Sememangnya nak berehat sambil makan-makan.
Selesai makan. Matahari sedang memancar dengan terik. Pasir pantai pun panas waktu kami semua sibuk nak mandi. Aku mula-mula rasa was-was. Takut panas, takut muka terbakar. Tapi bila dah mula badan terendam. Rasa sejuk, walau hakikatnya matahari sedang mencanak naik. Tiba-tiba Mami rasa gatal-gatal. Aku pun rasa jugak. Tapi aku tak hiraukan. Punyalah seronok. Tak hirau dah. Tapi Mami dah mula ajak naik. Takut keadaan makin teruk. Macam tak rela jer. Kami pun naik. Warna hijau tulah yang buat gatal. Ain kata tu rumpai. Ni kut yang digunakan untuk buat kerabu sare.
Sambil-sambil berehat kami tunggu nelayan tiba di Pantai. Manalah tahu ada ikan segar atau sotong. Tidak sia-sia menunggu. Penuh teruja aku pun segera berlari melihat nelayan naikkan bot ke Pantai. Sebelum ni aku lihat di Pantai di Yogjakarta. Mereka bekerjasama menolak bot ke Pantai. Di sini dapat lihat mereka saling membantu. Semangat tolong-menolon jelas kelihatan sesama mereka. Sempat pula aku lihat ada bendera Malaysia. Kan dah kata masa aku ke pantai ni bulan kemerdekaan. Pada bot berkibar megah bendera Malaysia.
Bot baru sahaja naik ke Pantai kami sibuk merapati bot. Tak sabar hendak melihat hasil tangkapan. Sanggup berada di atas pasir yang panas. Sanggup terkena pancaran terik matahari. Bukan aku sahaja, anak buah Ain pun sama juga sibuknya. Bagi aku ini pengalaman yang berharga. Mami sibuk membeli. Aku pun sangat sibuk waktu ni. sibuk ambil foto.
Mak cik ni berurusan jual beli. Pak cik nelayan tadi pas baton untuk urusan jual beli pada mak cik ni. Untuk ikan kerisi dan sotong, kami dapat harga yang berpatutan. Sebenarnya bukan kami, Mami yang dapat harga berpatutan dan Mami yang bayar. Harga yang diletakkan membuatkan aku berfikir, berbaloikah harga itu dengan masa yang diambil untuk berada di laut? Berbaloikah harga itu dengan panas terik matahari yang menyelar tubuh dan Wajah? Mulianya pekerjaan mereka sebagai nelayan. Hanya mereka yang cukup mengerti kehidupan mereka sebagai nelayan.
Jika dilihat sotong ni. Besar-besar. Macam sotong yang aku pilih di Bagan Lalang atau di tempat makan ikan bakar terkenal di Melaka untuk sotong celup tepung. Teringat sotong celup tepung yang aku makan pada hari sebelumnya. Bila lihat ni. Teringin pula aku nak rasa mencandat sotong. Besar-besar ni sotong. Di acara tahunan di Terengganu. Acara yang bermusim. Harap-harap dapat rasa.
Waktu siang sotong ni. Aku tolong tengok jer Ain siang. Sambil tu aku belajar. Padanlah, kalau di Melaka atau Bagan Lalang sotongnya ala-ala cincin. Di sini lain pula rupanya. Kali pertama aku tengok orang siang sotong besar ni. hasilnya adalah seperti di dalam gambar di bawah. Resepi si Ain. Sedap sungguh. Sotong segar-segar dari laut. Rasa tak nak berhenti makan. Tapi kena berhenti sebab sudah habis.
Aku sangat gembira hari ni, bukan sahaja sebab makanan atau bukan sahaja keindahan pantai tapi sebab aku dikelilingi oleh orang-orang yang penyayang jiwanya. Walau kami tiada pertalian darah tapi aku dapat rasa kehangatan kasih sayang mereka. Dalam hidup ni tak rugi apa pun apabila menggembirakan orang lain. Budi dan jasa tidak terbatas. moga Allah merahmati kalian.