Sabtu, 26 Disember 2015

Berkelah di Pantai Rhu Tapai

Ini adalah sambungan entry aku di Terengganu. Baru berkesempatan. Lama dah sebenarnya aku ke Pantai  Rhu Tapai ni. Aku ke Pantai Rhu Tapai ni pada bulan Ogos yang lalu. Kebetulan pula pada bulan Ogos. Sebenarnya aku suka bulan Ogos. Bulan Ogos semua warga Malaysia tahu, bulan ini merupakan bulan kemerdekaan bumi bertuah Malaysia. Bagi aku pula bulan Ogos adalah bulan aku lahir ke dunia. Bulan Ogos biasanya pada tiap-tiap tahun akan berlaku banyak perkara menarik dalam hidup aku. 

Untuk tahun ini aku ke Terengganu bersama sahabat. Sebelum ke Terengganu ni aku bercuti di Perak juga bersama sahabat-sahabat. Ada juga aku catatkan diblog ni. Macam cerita di Terengganu ni juga, belum sempat nak diceritakan semuanya. Aku nak cerita juga dalam blog ni pekara paling menyeronokkan, tanpa disangka aku dapat hadiah tinted kereta. Bertuah betul bulan Ogos. Tak kisahkan lambat cerita. Selagi aku boleh recall semula. Bila lupa nanti, padan muka aku.


Sebenarnya kali ni aku mengikut sahabat aku Ain ni ke Terenganu dengan hajat yang sangat besar. Lebih besar dari dunia. Wow besarnya hajat. Mudah-mudahan dipermudahkan. Mana tahu di bumi Darul Iman ini semuanya selesai. Manalah tau rezeki pada kali ini. Tak malukan ikut orang balik Kampung? Apasalahnya kan menumpang kasih? Orang tak ada mak ayah macam ni lah menumpang kasih pada yang sudi. Alhamdulillah syukur. Jauh-jauh sampai ke Terengganu. Urusan selesai juga. Hajat tercapai dan urusan dipermudahkan.

Kenapa mesti aku sibuk nak ikut Ain ni balik kampung?Siap ada hajat lagi. Rapat sangat ke? Apa istimewanya antara aku dan Ain ni. Mesti ke nak kena rapat-rapat sangat baru boleh ikut balik kampung? Kadang-kadang tu lama kenal bukan lah ukuran. Kami bukan sekadar berkongsi bulan kelahiran malahan turut berkongsi tarikh lahir. Pulak tu kami sama-sama anak bongsu. Banyak persamaan. Itu tidak bermakna kami kongsi boyfriend yang sama yer. Dia juga peneman bila nak makan sushi. Inilah antara sahabat yang aku ada. Aku kalau bersahabat memang sampai kenal mak ayah.

Alang-alang berada di Setiu ni. Ain yang bawa aku ke Pantai Rhu Tapai ni. Masa datang sini, aku tak tau pun tempat-tempat menarik dekat-dekat sini. Selalunya aku nak ke mana-mana mesti nak tanya Mr Google. Kali ni aku memang ikut ajer di mana aku di bawa. Pasrah betul. Rupanya pantai ni sangat indah. Pasir pantainya yang putih dan lautnya biru. Refleksi dari kebiruan langit yang membiru. Pokok-pokok Rhu banyak di tepi pantai. Adakalanya bagaikan melambai tetamu yang hadir. Kelihatan juga Bot-bot nelayan di tepi pantainya yang indah dan luas.


Sebelum datang ke Pantai Rhu Tapai ni Ain dan Mami beria membuat persiapan untuk berkelah di tepi pantai. Macam-macam makanan dimasak. Ada juga ikan yang siap diperap untuk dibawa ke Pantai untuk dibakar. Meriah nya nanti. Sebab berkelah ni bersama keluarga Ain. Masa ni program BMI letak tepi dulu. Paling penting nikmati saat ini. Tiba di Pantai kami memilih kawasan paling hujung. Hanya beberapa meter dari rumah lama yang mungkin ditinggalkan. Berehat di bawah pokok Rhu. Sambil menikmati belaian angin. Kami siap bawa tikar dan bantal tau. Sememangnya nak berehat sambil makan-makan.


Selesai makan. Matahari sedang memancar dengan terik. Pasir pantai pun panas waktu kami semua sibuk nak mandi. Aku mula-mula rasa was-was. Takut panas, takut muka terbakar. Tapi bila dah mula badan terendam. Rasa sejuk, walau hakikatnya matahari sedang mencanak naik. Tiba-tiba Mami rasa gatal-gatal. Aku pun rasa jugak. Tapi aku tak hiraukan. Punyalah seronok. Tak hirau dah. Tapi Mami dah mula ajak naik. Takut keadaan makin teruk. Macam tak rela jer. Kami pun naik. Warna hijau tulah yang buat gatal. Ain kata tu rumpai. Ni kut yang digunakan untuk buat kerabu sare.


Sambil-sambil berehat kami tunggu nelayan tiba di Pantai. Manalah tahu ada ikan segar atau sotong. Tidak sia-sia menunggu. Penuh teruja aku pun segera berlari melihat nelayan naikkan bot ke Pantai. Sebelum ni aku lihat di Pantai di Yogjakarta. Mereka bekerjasama menolak bot ke Pantai. Di sini dapat lihat mereka saling membantu. Semangat tolong-menolon jelas kelihatan sesama mereka. Sempat pula aku lihat ada bendera Malaysia. Kan dah kata masa aku ke pantai ni bulan kemerdekaan. Pada bot  berkibar megah bendera Malaysia.


Bot baru sahaja naik ke Pantai kami  sibuk merapati bot. Tak sabar  hendak melihat hasil tangkapan. Sanggup berada di atas pasir yang panas. Sanggup terkena pancaran terik matahari. Bukan aku sahaja, anak buah Ain pun sama juga sibuknya. Bagi aku ini pengalaman yang berharga. Mami sibuk membeli. Aku pun sangat sibuk waktu ni. sibuk ambil foto.


Mak cik ni berurusan jual beli. Pak cik nelayan tadi pas baton untuk urusan jual beli pada mak cik ni. Untuk ikan kerisi dan sotong, kami dapat harga yang berpatutan. Sebenarnya bukan kami, Mami yang dapat harga berpatutan dan Mami yang bayar. Harga yang diletakkan membuatkan aku berfikir, berbaloikah harga itu dengan masa yang diambil untuk berada di laut? Berbaloikah harga itu dengan panas terik matahari yang menyelar tubuh dan Wajah? Mulianya pekerjaan mereka sebagai nelayan. Hanya mereka yang cukup mengerti kehidupan mereka sebagai nelayan.


Jika dilihat sotong ni. Besar-besar. Macam sotong yang aku pilih di Bagan Lalang atau di tempat makan ikan bakar terkenal di Melaka untuk sotong celup tepung. Teringat sotong celup tepung yang aku makan pada hari sebelumnya. Bila lihat ni. Teringin pula aku nak rasa mencandat sotong. Besar-besar ni sotong. Di acara tahunan di Terengganu. Acara yang bermusim. Harap-harap dapat rasa.


Waktu siang sotong ni. Aku tolong tengok jer Ain siang. Sambil tu aku belajar. Padanlah, kalau di Melaka atau Bagan Lalang sotongnya ala-ala cincin. Di sini lain pula rupanya. Kali pertama aku tengok orang siang sotong besar ni. hasilnya adalah seperti di dalam gambar di bawah. Resepi si Ain. Sedap sungguh. Sotong segar-segar dari laut. Rasa tak nak berhenti makan. Tapi kena berhenti sebab sudah habis.

Aku sangat gembira hari ni, bukan sahaja sebab makanan atau bukan sahaja keindahan pantai tapi sebab aku dikelilingi oleh orang-orang yang penyayang jiwanya. Walau kami tiada pertalian darah tapi aku dapat rasa kehangatan kasih sayang mereka. Dalam hidup ni tak rugi apa pun apabila menggembirakan orang lain. Budi dan jasa tidak terbatas. moga Allah merahmati kalian.

Aiskrim Magnum di IoI City Mall

IOI City Mall memang terkenal dengan macam-macam kedai makan. Makanan laut, makanan darat makanan udara, semua ada. Makanan Korea, makanan Cina, makanan Jepun, makanan barat, makanan tempatan dan macam-macam negara semua ada. Nak cuba satu-satu dalam masa sehari memang tak akan dapat. Ambil masa berbulan. Tak dapat nak ke sini setiap minggu. habis budget melancong nanti. Tapi tak semua kedai nak dicuba. Antara yang  mesti dicuba oleh aku adalah Aiskrim Magnum. Aku suka makan aiskrim. Tengah hati panas lagi suka aku cari aiskrim. Aku selalu lihat kelibat iklan aiskrim Magnum ni di ruang Fb. Menggoda sungguh. Lihatlah gambar di bawah ni. Nampak sangat sedap.


Sebenarnya dah beberapa kali aku lalu depan kedai Aiskrim Magnum ni. Aku tengok ajer dari luar. Masa aku lalu tu bulan 12 rasanya 2014 lagi masa tu. Aku tengok-tengok harganya dulu. Masa aku menikmati aiskrim Magnum ni pada bulan Jun. Baru nak terbitkan. Simpan sampai bersawang. Entry ala-ala macam dah basi. Tapi nak jugak catatan ni ada di blog ni. Banyak benda aku dah tak ingat. Bila aku baca blog aku ni aku sedarlah aku dah pernah makan di sini. Kalau tak ingat nanti tiap-tiap bulan aku pergi.

Sudah di depan pintu. Jadi aku perlu buat pilihan. Jika nak makan di luar, aiskrim sahaja dalam harga tak sampai RM 10. Aiskrimnya custom made. Pilihlah nak macam mana. Tapi aku nak duduk rehat-rehat. mahu makan di dalam. Aku buka buku menu macam-macam pilihan menu. Tapi aku tengok aiskrim sahaja. Masa ni lupa ambil gambar buku menu. Aiskrimnya ada juga yang harga sampai Rm 25. Pilihan aiskrim yang ada terhad tak berapa banyak. Apa kenalah aku hari tu. Padahal baru jer makan di Dubu-dubu.


Duduk berehat sambil menikmati aiskrim. Satu saat yang sangat indah bagi aku. Tak kira di mana. Walau di parking kereta di stesen minyak. Bila dapat menikmati aiskrim di kerusi yang empuk. Dalam premis yang indah susun aturnya. Tentunya dalam sejuk aircond. Nyaman jer suasana. Hilang penat. Jika sedang penat hilang penat. Jika sedang marah, hilang marah. Jika panas hilang panas. Di Bawah ni gambar aiskrimnya. Lihat pun menarik. Gambar ni sebelum aku curah kuah. boleh ke kata kuah? Bolehlah. 


Makan aiskrim lepas tu nak minum air panas pulak. Macam-macam pulak selera hari ni. Lepas geram ke apa ni? Aku teringin pulak nak minum coppucino. Layankan ajerlah. Bukan kehendak siapa-siapa pun selera diri sendiri jugak kan? Lama lah jadinya aku melepak di sini.

Baiklah dah rasa. Jadi cukuplah sekali. Bukan sebab tak sedap. Tapi cukuplah dah rasa. Kalau ada orang baik hati nak belanja, boleh ajer.

Khamis, 24 Disember 2015

Terlekat di Kedai Buku DuBook di Bangi

Masa aku ke kedai buku Dubook ni hari Jumaat tapi aku cuti.  Jumaatkan hari kerja. Kenapa yer? Kerana aku ada saudara mara. Macamlah aku jer yang ada saudara mara kan? Hari ni aku ambil cuti. Sebab masa yang ada merupakan masa untuk bersama saudara mara kerana esok adalah hari perkahwinan sepupu aku. Jadinya sebagai seorang sepupu serta anak buah yang ringan tulang aku pun bersedia untuk memberi pertolongan semampu diri aku. Padahalnya bukanlah berat sangat yang aku nak tolong pun. Gempak jer lebih. Kenduri diadakan di dewan dan menggunakan khidmat katering. 

Seperti yang dijanjikan aku telah pun tiba tepat pada masanya di Hotel Arina, Bandar Baru Bangi. Terletak di depan bangunan yang berhadap  Billion. Memandangkan aku sampai awal dari keluarga Pak Usu aku. Sebab teruja nak tolong masukkan telur pada bunga telur. Itu jer pun tugasannya. Jadi aku melilau di kawasan tu. Dalam banyak-banyak kedai aku tertarik dengan kedai buku. Kedai buku yang bernama Dubook. Sekali dengar macam nama binatang. Tapi memang gambar binatang tu sebagai logonya. 

Apakan daya hati terpaut. Lalu depan kedai ni pun buat dua kali toleh. Perlahan aku jalan sambil memerhati. Pertama yang mencuri hati adalah coretan-coretan pada dinding luar kedai. Coretan-coretannya diambil dari penulis-penulis agung Malaysia dan Indonesia. Siapa dalam dunia penulisan yang tak kenal Usman Awang? Siapa yang tak kenal dengan Chairil Anuar? perkara ke dua adalah gambar Usman Awang Black and white. Teringat aku banner pertama aku diusia belasan tahun. Aku lukis gambar pengasas PBSM dan gantung di sekolah masa hari PBSM. Suka bereksperimen aku ni.  


Mula-mula hajat hati aku nak cari kedai. Nak duduk-duduk sambil menikmati air kopi. Sambil-sambil tu boleh berangan. Sambil-sambil on line.  Apa yang membuat aku patah balik dan melekat dalam kedai DuBook ni adalah ayat pada pintu kedai. Ayat itulah yang membuatkan aku masuk kedai ni. lepas baca aku senyum. lepas tu bagai disihir aku pun menolak pintu dan melangkah masuk kedai. Nak tahu apa ayatnya. Datanglah sendiri. Ada unsur-unsur kejutan sikit kali ni. Jeng...jeng.....jeng.....

Masa aku di dalam kedai ni. Aku belek buku-bukunya. Tiada tanda harga. Aduhai. Aku masih lagi terus membelek. Dalam pada itu kepala aku ligat berfikir rm berapalah harganya. Yerlah nak buat budget. Kalau boleh nak beli satu buku dari sini. Dalam pada aku membelek. Aku ternampak buku bertajuk Terima Kasih Si Babi Hutan. Penulisnya Lepat. Aku ada like page Lepat ni. Kenal tak Lepat? Aku suka ajer mengikuti kisah dirinya. Secara tidak langsung banyak yang boleh dipelajari dari kisah-kisah dirinya. Apa pun aku suka tengok video anak-anaknya terutama Aminah. Manis dengar dia berbahasa Melayu. Walau membesar di negara orang.


Akhirnya aku tanya adik yang jaga kedai ni. Kenapa tak ada ada tanda harga? Adik tu kata "barulah hipster kak". Aduh terlopong lagi aku. Apa pulak hipster ni? Sebagai orang yang bekerja dengan orang muda. Aku kena klik dengan minat orang muda. Tak pasal jadi satu kerja pulak pada diri aku. Carilah maksud hipster ni. Barulah aku tahu wujud genre hipster dalam penulisan. Orang muda macam-macam idea. Darah panas dan adakalanya masih dalam krisis identiti. Semangatnya membuak-buak. Teringat pula aku isi buku yang aku beli di sini. terbitan DubookTajuknya "Lalu Aku Hidup Sebagai Apa". Buku yang menggabungkan penulisan berinspirasi untuk anak muda dan mengambil semangat HAMKA. Terselit juga kisah anak muda yang berjaya. Seperti HAMKA sendiri. Terlibat dalam penerbitan islam pada usia hujung 20 an.  Kisah Muhamed Al-Fateh berjaya menakluk Constatinopel. Bagus juga hasil garapan penulis-penulis ni.

Selain buku-buku hipster ni. Ada juga buku-buku cinta karya dari penulis dari seberang. Seperti Bila Cinta Bertasbih. Ternyata karya mereka juga mendapat tempat dihati orang-orang hipster ni. Jadinya tak salah mencuba sesuatu yang baru. Masing-masing ada cara masing-masing. Sebenarnya hanya untuk mendapatkan yang satu. Bagi aku yang satu itu adalah keredhaan Ilahi. Aku tertarik dengan konatasi dari hasil penulisan HAMKA

 "kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup, kalau kerja sekadar kerja, kera di hutan juga bekerja".

Jadinya....kesimpulannya di sini Lalu Aku Hidup Sebagai Apa?



Apa pun kedai ini walau motonya "Liar dan Angkuh" memberikan satu dimensi yang baru dalam hidup aku. Aku beli buku disini pada hujung Oktober dan berkesempatan membacanya ketika perjalanan aku di Turki. Ketika melihat keindahan Bursa. Laut Marmara yang terbentang luas. Memang penulisannya memberi inspirasi. Ada juga penulisan Hamka berinspirasikan alam yang sangat seiring frekuensinya dengan hati dan keindahan alam yang sedang aku nikmati dan juga hasil pembelajaran yang diperolehi.

Cari lah buku di sini. Mana tahu ada yang berkenan di hati. Jika tidak tahu nak pilih yang mana satu. Tidak mengapa, kerana di satu sudut tersenarai 10 buku yang terlaris. Dari situ bolehlah dijadikan panduan.Apa pun aku suka dengan "freedom of writing". Orang macam aku yang tiada asas penulisan pun boleh menulis.